Total Pageviews

Wednesday, January 29, 2014

Kulit Khatulistiwa

Cuti Tahun Baru Cina. Tahun kuda mengikut kalendar masyarakat Tionghua. Institut cuti enam hari. Ramai siswa-siswi pelatih berketurunan Cina di sini. Melayu dan India pun tumpang sekaki mahu berhari raya juga.

Konsep 1Malaysia ini sebenarnya cantik tetapi kelihatannya semacam hanya di kulit. Isinya masih liat dan sarat prejudisme.

Kalau CNY ini biasanya semua orang pun rasa susah. Ekonomi dikuasai masyarakat Tionghua. Kalau mereka bercuti lama, akan ada banyak masalah di pihak pengguna.

Biasalah kalau kita dengar alasan begini, “tak dapat baiki kereta sebab susah nak dapat alat ganti. Orang Cina raya...”

Itu pun ada suara-suara chauvinist yang mahu boikot memboikot!

Memanglah dalam semua bangsa ada penipu. Tetapi dalam semua bangsa juga ada orang yang hatinya baik. Kita selalu dirasiskan oleh persepsi. Persepsi pula ada yang benar dan ada yang hanya berasaskan sangkaan dan pengalaman terpencil.

Sehingga usia sudah mendekati lima puluh ini, saya sudah biasa dengan persepsi bahawa Melayu itu malas dan iri hati, Cina itu penipu dan India itu pembelit.

Kadang-kadang memang betul sebab kita membesar dalam lingkungan budaya bangsa kita. Kita duduk dalam kelompok bangsa kita sehinggakan akhirnya menjadi gaya hidup yang sebati. Alangkah baiknya jika kita turut melihat sisi positif dalam setiap bangsa. Santun dan budi Melayu atau rajinnya Cina dan...

"Kalau adik mahu melintas jalan, orang India yang selalu beri laluan. Selalu begitu..." kata anak saya.

Bagus! Maknanya orang India sangat bertimbang rasa!

Sepatutnya kita tidak boleh terlalu banyak memberi sejak awal dan ironinya kelompok yang banyak memberi itu pula sedang riuh mempertahankan sesuatu yang mereka telah beri. Seperti anak-anak kecil yang selalu kita beri mainan atau gula-gula, lama-lama mereka pun akan memberontak kalau tidak lagi diberikan benda-benda itu.

Peribadinya, saya tidak selesa apabila ada kumpulan-kumpulan yang terlampau ultra-bangsa. Sebab saya bimbang orang akan mengaitkan bangsa dengan agama.

Agama Islam bukan milik satu bangsa. Ia agama universal. Ajarannya cantik dan penuh dengan mesej kedamaian. Saya baru dapat tahu ada bekas ratu cantik Thailand yang baru memeluk Islam setelah bertahun-tahun mencari kebenaran. Seperti kata seorang ulama, “jangan lihat penganutnya tetapi selami ajarannya”.

Saya masih ingat kisah Nabi Muhammad SAW yang sangat menghormati seorang Yahudi yang dianggapnya sebagai guru. Baginda akan berdiri sebagai menghormati orang tua ini. Baginda telah memberikan teladan bahawa kita kena saling menghormati antara satu sama lain.

Boleh sahaja awas, berhati-hati apabila berurus niaga dengan apa bangsa pun sebab di mana-mana sekarang ini ramai penipu yang berwatak baik.

Cuma janganlah mendidik anak-anak dengan elemen rasis yang “terlampau” sebab kita tidak tahu entah-entah orang itu akhirnya mendapat hidayah satu hari nanti.

Bukankah seronok jika kita dapat hidup dengan harmoni tanpa menyentuh sensitiviti agama. Kita jaga agama kita dan mereka jaga agama mereka. Jangan mengganggu-gugat keharmonian hatta sampai berebut kalimah.

Sebagai guru, saya memang buta warna kulit. Bagi saya, mereka yang di hadapan saya sama sahaja. Saya harap mereka akan jadi pendidik yang baik. Yang juga buta warna kulit. Jangan hangatkan dunia pendidikan dengan isu memberi murid makan rumput seperti kambing. Sampai bila pun profesion kita tidak dihormati kalau kita sendiri bersikap tidak menghormati manusia lain.

Semua orang daripada bangsa apa pun kena berusaha hentikan api yang diam-diam membakar dalam sekam.

Itu pun kalau kita masih sayangkan negara kita ini...

Walaupun cuacanya panas dan hujan, kulit kita sudah biasa dengannya.