Total Pageviews

Thursday, December 26, 2013

Ustazah Mukarramah, Selamat Berangkat Kak!

Beberapa hari ini saya keletihan.

Kadang-kadang saya boleh terlena lima minit di sofa. Saya jarang begitu.

Malam itu saya payah mahu lena. Jam sudah melewati dua pagi tetapi saya masih gelisah. Kemudian saya tertidur sebentar. Mimpikan gemulah ayah yang kemas berpakaian seakan berkata, “ayah dulu pun macam itu juga...”

Jam empat saya terjaga dan tidak dapat lena lagi. Hati saya rusuh. Ada apa sebenarnya?

Jam delapan saya mendapat khabar bahawa Ustazah Mukarramah telah berangkat ke negeri abadi. Jenazahnya masih di hospital. Saya kebingungan. Saya lekas menghubungi beberapa teman pensyarah di Kolej Matrikulasi sebab saya pasti jenazah akan dikebumikan di kampungnya di Johol.

Bergegas ke rumahnya di Taman Cengal, orang masih tiada. Khemah sedang dipasang. Saya jumpa teman lama Ustaz Faridon dan Encik Muhammad. Sebetulnya saya sedang menggigil. Kaki seakan lemah begitu. Ini kejutan kali kedua. Ramadan lalu, saya kehilangan sahabat juga. Ustaz Mokhlis Komari. Kedua-dua orang ini banyak sekali membantu saya khususnya tatkala saya ditimpa musibah.

Hal tidak dapat lena itu semacam berulang. Sama seperti yang berlaku semasa pemergian ustaz.

Saya menghubungi suami, anak dan mak. Kata suami, “ustazah yang selalu tolong Yang tu?” Saya masih ingat ustazah sangat suka makan telor asin yang dibuat suami.

Mak ingat-ingat lupa wajah ustazah tetapi tahu bahawa allahyarham selalu datang ke rumah melawat saya atau membantu membelikan ubat.

Jika ada kematian rakan-rakan, orang pertama yang akan saya hubungi ialah ustazah. Kemudian saya akan mengambil ustazah di institut. Dalam kereta biasanya ustazah akan cakap dalam loghat Pilahnya yang pekat, “apo lak terbalik kito ni Yang. Oghang sakit lak eh yang mandu. Oghang sehat sodap yo duk sobolah...”

Saya akan menjawab, “ini latihan, kak. Lagi pun saya memang suka memandu...”

Dia rakan pensyarah semasa kami masih di Kolej Matrikulasi. Biar pun berbeza unit tetapi masih dalam jabatan yang sama. Kemudian ustazah menyambung pengajian sarjananya di UM. Bertugas pula dengan saya di institut, jabatan kami sebelah menyebelah. Selalulah saya ke sana ke mari dengannya.

Dia macam pagar yang mampu mengelakkan saya terbabas. Suaranya lembut. Tidak lepas daripada ucapan Alhamdulillah. Kalau saya berlucu, gelaknya panjang tetapi terkawal.

Bulan Oktober lalu saya sempat bertemunya. Terkejut melihat wajahnya yang sedikit kurus. “Kak masuk hospital hujung bulan puasa. Sakit lama. Maaflah tak dapat jenguk Yang,” katanya.

Waktu bicara tentang pencen, saya beritahunya bahawa kalau boleh saya mahu pencen awal. Dia pun begitu. Rupa-rupanya memang dia “pencen” awal.

Selalu sangat dia menenangkan saya, mengingatkan bahawa itu adalah “bahagian” saya, sebab Allah tahu setakat mana kekuatan saya.

“Entah-entah Yang, Kak Mah yang sihat ni yang dijemput dulu...”

Dan benarlah katanya.

Sepatutnya saya ikut turun ke Pilah, tetapi kaki saya sudah lemah. Sekali lagi saya rasa kebingungan. Sebenarnya dalam menghadapi kematian, rasa tidak percaya itulah yang menguasai minda.

Saya suka ikut Kak Mah ada sebab. Dia tidak bersembang-sembang macam orang lain. Dia akan ajak saya dan beberapa yang lain untuk buat tahlil sementara menunggu jenazah siap diurus di hospital.

Itulah juga yang berlaku kepadanya. Sementara menanti van jenazah sampai ke rumah, kami sempat buat tahlil. Sebaik sahaja selesai, van pun sampai. Saya melihat wajah ustazah. Wajahnya manis seakan sedang senyum. Dan ada sesuatu juga yang menyebabkan saya gembira dalam kesedihan itu.

Kak Mah dikebumikan petang Khamis 26 Disember 2013 di Johol. Hujan lebat turun sepanjang petang dan malam.

Kembali bertugas menjelang tahun baharu, sudah pasti ada sedikit lompong dalam hidup saya.

Berehatlah Ustazah Mukarramah di sisi Tuhanmu.

Kami yang ditinggalkan masih lebat hujan di hati.