Total Pageviews

Saturday, December 21, 2013

Memandu Di Lebuh raya Hidup

“Memandu tidak bermula dengan tangki yang penuh minyak atau tayar yang sempurna tetapi hati yang lapang, tenang dan sabar” - Allahyarham T. Alias Taib dalam Tuan Ibarat Songket Berkilau: 2005.

Saya melihat ungkapan penyair yang saya minati itu bukan hanya daripada pemaknaan ekstrinsik. Kita meneropongnya dari sudut intrinsik. Analogi memandu yang bersimilariti dengan kehidupan.

Saya baru berpengalaman kurang lebih dua puluh satu tahun dalam pemanduan kereta. Seusia anak bongsu saya. Waktu dia masih sangat kecil, saya nekad belajar memandu meskipun tidak pasti punya wang yang cukup atau tidak untuk memiliki sebuah kereta.

Hidup dengan gaji bermula sekitar satu ribu tiga ratus di kota Kuala Lumpur dalam tahun awal 90-an, dengan perlu melunaskan sewaan rumah, upah pengasuh dua anak, susu dan lampin anak, belanja runcit, kiriman wang ke kampung...adalah sesuatu yang sangat mustahil untuk memiliki sebuah kereta terpakai, apa lagi kereta baharu.

Tetapi akhirnya berjaya juga membeli sebuah Honda Civic first generation warna maroon dan selalu monopouse di tengah jalan. Rahmat Tuhan juga, dengan kereta mini yang tiada pendingin hawa dan selalu berasap enjin itu, saya kerap memandunya balik kampung melalui jalan lama (waktu itu belum ada lebuh raya PLUS). Dengan kereta buruk itu jugalah saya sudah sampai ke Johor dan Pulau Pinang.

Saya membeli kereta atas dasar keperluan. Anak dua orang yang masih kecil, jarak ke tempat kerja yang agak jauh dan kepentingan-kepentingan lain. Orang geleng kepala melihat saya memandu dalam jarak jauh. Kereta itu memang bermasalah tetapi saya tiada pilihan.

Kemudian saya membeli kereta terpakai yang kedua warna biru muda jenis Datsun 120Y. Selepas itu tiga kereta baharu iaitu model kancil 600 kuasa enjin warna maroon. Berganti pula dengan Saga kereta kebal warna hitam dan selepas itu Saga BML warna putih. Kedua-duanya dengan kuasa kuda satu perpuluhan tiga.

Saya mengasihi kesemua kereta sama ada yang lama atau baharu. Saya akan melepaskan mereka dengan tangisan dan kesedihan yang bukan lakonan. Sungguh. Saya memang menangisi pemergian mereka seperti mereka itu seekor kuda bernyawa. 

Akhirnya sebab kasihankan kereta putih , kami menyerahkannya percuma kepada kakak di Ipoh. Dia hanya perlu menyambung bayaran sekitar lima tahun lagi. Kakak sangat cermat dan pembersih. Setiap kali pulang, saya sangat gembira melihat kondisi si Shiro. Jika Shiro itu seekor kuda putih, saya pasti dia pun bahagia bersama tuan baharu.

Kini saya kembali memakai kereta terpakai. Saya membayar tunai. Kereta itu sudah tua dalam umur sekitar empat belas tahun. Kalau kerajaan menitahkan kereta tua seperti itu dilupuskan, jawabnya saya akan ke pejabat dengan basikal!

Saya belum menamakannya walaupun sudah setahun menggunakannya. Barangkali sahaja saya panggil dia Si Tua Dumbledore, profesor berjanggut putih di Hogwart School. Honda City dengan warna asal hijau tua. Betul-betul warna orang tua.

Saya sudah tidak boleh memandu jauh. Kereta bukan lagi keutamaan saya, hanya untuk ulang alik ke pejabat dan ke kedai runcit atau sesekali menjenguk anak. Untuk balik kampung, saya menggunakan perkhidmatan kereta api ekspres.

Apakah saya malu memandu kereta yang setua itu? Peduli apa saya! Saya tidak pernah berasa malu dikelilingi oleh rakan-rakan pensyarah yang berkereta mewah dan moden. Ada keinginan tetapi bukan kegilaan. Ada keutamaan-keutamaan lain yang mendahului senarai. Saya sudah berpenyakit, untuk apa saya menggilai sesuatu yang akan menyusahkan waris-waris saya jika saya meninggal dunia kelak.

Yang penting ialah bebas hutang. Saya hanya perlu melunaskan hutang kereta-kereta anak sehingga mereka tamat pengajian. Dan selepas itu terpulanglah kepada mereka sama ada masih mahu menggunakan kereta yang saya belikan itu atau menukarnya dengan yang baharu.

Niat saya mudah. Kamu mesti belajar memandu, berdikari dan mengenal pasti masalah yang datang. Esok-esok jika ibu sudah tiada, kamu tidak perlu bergantung seratus persen dengan orang. Belajar untuk berdikari bukan mudah. Kena ada kekuatan dalaman, faktor tolakan dan tarikan. Baru mereka sensitif dengan kenaikan harga minyak (kereta mereka kuasa enjinnya satu perpuluhan lima dan auto, juga ada unsur-unsur lain yang pelahap minyak), baru mereka tahu bahawa memiliki kereta bukan sesuatu yang hebat! Banyak masalah, penipuan dan akibat daripada masalah!

Keutamaan saya ialah anak mesti cukup makan. Anak tidak boleh susah hati memikirkan yuran pengajian, bayaran kediaman dan wang bulanan. Anak mesti dibekalkan dengan buku. Kemudian mesti didedahkan dengan pengalaman di negara orang biarpun bermakna tabungan di buku akaun saya tinggal nihil.

Mak saya di kampung mesti juga cukup makan. Bekalan suplimennya sentiasa ada. Paling kurang delapan kali setahun saya mesti melihat muka mak, ertinya balik kampung. Balik kampung sekarang memerlukan belanja yang banyak. Kenaikan tol dan minyak sangat menyakitkan sebab kampung saya jauh. Setiap hari saya mesti memperuntukkan wang dan waktu untuk menelefon mak.

Itu dua keutamaan saya. Untuk diri sendiri sudah tidak banyak permintaan ke hadrat Tuhan Rabbul Jalil. Saya hanya mahu kesembuhan dan ketenangan. Barangkali juga sedikit masa lagi untuk menyempurnakan tanggungjawab sebagai ibu, anak, isteri dan pekerja.

Seperti memandu, sebenarnya bukan keutamaan-keutamaan itu yang mendominasi hidup, tetapi kata kuncinya ialah ketenangan dan kebahagiaan. Bagaimana kita menafsir dan mengelolakan dua unsur itulah yang membolehkan keutamaan-keutamaan itu berjalan dengan baik.

Wang itu perlu tetapi jangan terlalu berkira dengannya. Hidup di rumah kecil dan berkereta lama bukan ukuran kebahagiaan. Ada satu elemen kecil yang akan membesarkan ruang yang sempit dan memberikan warna kepada yang usang.

Hati yang gembira dengan apa yang ada.

Rumah yang kecil serikan dengan alunan zikir dan bacaan ayat-ayat suci. Rumah yang kecil hiaskan juga dengan amalan berjemaah meskipun sekali dalam sehari. Jangan terlalu meletakkan kesempurnaan dalam sasaran tahunan. Akhirnya kalau gagal sedikit, ia akan memakan diri sendiri.

Tidak perlu menjadi orang lain. Mencontohi tidak mengapa, tetapi bukan mengambil bajunya dan cuba menjadi dirinya. Kita adalah kita. Pengalaman hidup dan didikan kita berbeza. Pegangan agama dan anutan budaya juga berlainan.

Biarkan orang dengan gaya hidup mereka. Kita mesti yakin dengan jalan yang kita pilih asalkan ada payung agama di atas kepala. Tetapi bukan bermakna kita hanya duduk menyerah kepada ketentuan. Berusaha untuk memperbaiki diri dan berdoa. Selebihnya di tangan Allah Penguasa Alam.

Wang, rumah, kereta, segala kemewahan emas permata adalah minyak dan tayar kereta tidak kira yang bersaiz 15 atau 17.

Semua itu mesti didahului dengan hati yang tenang dan redho, barulah “pemanduan” hidup kita mudah dan lancar. Namun harus diingat, minyak penuh dan tayar yang bagus pun mestilah bergerak di atas permukaan jalan yang bagus juga, bukan yang berlubang-lubang.

Mungkin suatu hari nanti saya akan memandu sebuah Mercedes baharu. Siapa tahu?

Apa pun keinginan itu mesti ada, tetapi bukan kegilaan.

Ukur baju di badan sendiri.

Jangan membebankan hati dengan hutang-piutang yang melampaui batas kerasionalan.

Hidup akan menjadi susah jika kita terlalu banyak permintaan.

Jangan keliru antara perjalanan ke luar negeri dengan perjalanan ke dalam diri. Yang pertama, menambahkan pengalaman dan yang kedua ialah menambah kebijaksanaan.