Total Pageviews

Saturday, October 19, 2013

Sayapnya Tidak Berkembang Lagi

Malam itu meskipun penat, saya membuka laman maya.

Sudah begitu lama tidak menjenguk berita teman-teman dan dunia sekitar.

Sangat mengejutkan. Saya membacanya berkali-kali. Status yang ditulis oleh pensyarah senior, Puan Hajah Amanah menjadikan saya terkedu.

Benarkah?

Saya menulis balas. Dengan rasa tidak percaya yang begitu mengakar. Jawapan Puan Amanah adalah benar. Dia telah pergi pada petang Jumaat semalam.

Kak Ros kita? Tanya saya.

Ya. Kak Ros cantik kita telah pergi.

Saya tidak lama dengannya, sekitar enam bulan. Tetapi dakapan dan pesanan akhirnya masih kekal di ruang ingat. Saya bacakan sajak yang saya tulis buatnya dalam majlis perpisahan di sebuah hotel. Saya masih ingat juga hadiah kecil yang saya berikan. Hadiah yang cukup berbeza dengan rakan lain. Komik-komik Datuk Lat! Dan sebuah buku Islamik untuk menangani kesedihan.

Kenapa begitu? Nasib kami sama meskipun tidak serupa. Saya memahami nyanyi hati Kak Ros. Saya mahu dia gembira membaca komik-komik dan buku itu, sekali gus membaca nostalgia zaman kecil yang kosong masalah.

Setelah bersara, sesekali saya menghubungi Kak Ros. Pesanannya masih sama. Dan pesanan-pesanan itu bersipongan dalam gerabak minda saya. Tahun lepas, dia menunaikan haji. Allah telah menjemput Kak Ros untuk menjadi tetamu-Nya.

Tahun ini, tahun yang dipenuhi perpisahan.

Mula-mula, Ramadan yang lalu, sahabat baik saya Ustaz Mokhlis telah kembali ke sisi Allah disebabkan kanser lidah tahap empat. Kemudian, suami Puan Hajah Rafiah Daud yang dijemput pergi secara tiba-tiba oleh pemiliknya. Meskipun tidak mengenali allahyarham secara peribadi, tetapi melihat mendung di wajah Puan Hajah Rafiah, sangat melukakan hati.

Dan sekarang, di bulan Zulhijjah ini, giliran Kak Ros.

Mudah-mudahan Allah mencantikkan kehidupan Allahyarham Kak Ros di dunia sana disebabkan cantiknya kesabaran beliau mendepani kemelut hidup di dunia ini.

Kak Ros cantik telah pergi.

Dan sayapnya sudah tidak berkembang lagi.

Ya Allah, ampunilah dia. Dia ibu yang sangat mulia.