Total Pageviews

Thursday, September 19, 2013

Ujian Aleya

Aleya dihantar ke Hospital Taiping. Kemudian pagi ini dia dibawa dengan ambulans ke Hospital Alor Setar. Usus Aleya dikatakan ada mengeluarkan air bisa.

Semalam semasa menelefon mak, mak bersastera, “dalam perut mak ada ribut!”

Hari ini barangkali dalam perut mak sudah dilanda taufan. Mak sangat susah hati. Itu pasti.

Aleya teman berbual mak selepas balik dari Tadika. Kalau pandai bodek, bukan main rajin membantu opah di dapur.

Sengaja saya tidak menelefon abangcho atau isterinya. Saya susah hati dan jika saya tahu dengan lebih lanjut, maka hati akan semakin susah. Saya hanya bertanya kepada mak akan khabar Aleya. Saya tahu kepandaian mak menapis berita.

Anak-anak saudara saya sudah ramai yang besar. Beberapa orang telah berkahwin dan punya anak. Yang kecil-kecil hanya Aleya dan Irfan yang berusia enam tahun, juga Zuhaira yang usianya tiga tahun. Hanya tiga itu sahaja yang masih kecil dan bermulut becok.

Dari jauh saya mendoakan Aleya. Moga dia cepat sembuh dan kembali ceria seperti dahulu. Kemalangan yang “sangat kecil” rupa-rupanya memberikan impak yang sangat besar.

Dan itulah pengajaran untuk kami dalam mengawasi anak-anak yang bermain basikal!