Total Pageviews

Tuesday, September 24, 2013

Jangan Pandang Ke Langit

Budak yang seorang ini memang suka melaporkan apa sahaja yang berlaku kepadanya, hatta untuk hal yang remeh-temeh.

Yang seorang lagi pula ikut mood. Kalau hari itu cuaca hatinya bagus, dia akan membuat laporan bersiri.

Budak yang mula-mula itu memberitahu, “kakak sebilik adik ni kasihan. Bapanya meninggal waktu dia semester empat. Kemudian hujung semester lima ibunya pula. Bapanya diabetes. Ibunya meninggal sebab rindukan bapanya yang telah meninggal tu. Adik rasa sedih...”

Jadi?

“Baru adik sedar, betapa bertuahnya adik...”

Alhamdulillah.

“Doakan ibu panjang umur dan sihat semula. Supaya adik terus bertuah masih punya ibu...” saya bercanda.

Kemudian malam berikutnya dia melaporkan lagi, “Kakak sebilik adik ni diabetes juga macam allahyarham bapanya. Operation tahun lepas. Dia tunjukkan kesan pembedahan. Teruknya. Adik rasa mahu menangis. Kasihan lagi sekali”.

Bagusnya jika dalam hati kita ada rasa kasihan. Itu sebabnya jika kita tidak ada kasut baharu, pandang sahaja orang yang tidak punya kaki sepasang. Jangan selalu melihat langit yang indah tetapi kena tunduk juga melihat tanah yang kering-kontang.

Merasa tidak cukup itu baik asalkan tidak tamak haloba. Atau kepingin memiliki sesuatu yang kalau tidak ada pun tidak mengapa. Ukur baju di badan sendiri, demikian kata orang tua-tua.

Kehidupan akan selalu menguji kita. Macam kakak sebilik budak itu. Masih di universiti, kedua-dua orang tuanya meninggal. Dia pula diuji sakit. Sangat sukar jika difikir-fikirkan. Maknanya ialah jika kita rasa kita sudah sebegitu susah, masih ada orang lain yang lebih susah. Barangkali kakak sebilik itu ada wang biaya tetapi hatinya barangkali masih tidak bahagia sebab ibu ayahnya sudah tiada. Mahu dikongsi rasa luka dan gembira dengan siapa?

Seperti adik, saya pun bertuah.

Langsung saya menghubungi mak di kampung.

Saya masih ada mak. Dan alangkah bertuahnya saya sebab ada tempat untuk saya berkongsi sesuatu yang adakalanya tidak boleh diceritakan kepada orang lain.