Total Pageviews

Tuesday, September 17, 2013

Montel Yang Comel

Semua orang ada keunikan yang tersendiri. Kelainan itu yang menjadikannya unik.

Kelainan-kelainan itu akan diingati selalu.

Mak suka orang yang bertubuh montel. Lagi gemuk lagi comel bagi mak. Oleh sebab itu setiap kali anak cucu berkumpul, mak gemar membilang cucu-cucu yang montel.

Mak bangga sekali menyebut anak-anak yang “berhasil” menggemukkan cucu-cucunya. Lima daripada enam anak mak ada anak yang montel kecuali kakak yang di atas saya. Anaknya lelaki, tunggal. Artis kebudayaan yang bertubuh tegap dan lengan berketul tetapi tidak gemuk.

“Kakak ada seorang, abang seorang, Yang seorang, abang cik seorang dan acu dua orang...”

Tapi, “cucu yang lain pun comel juga walaupun kurus...” demikian mak memujuk. Bimbang kalau sekalian yang kurus-kurus sekeping berkecil hati.

Ketika mak menjaga saya selepas pembedahan, kawan-kawan sejabatan datang ziarah. Bukan main suka hati mak sebab kawan-kawan saya itu comel-comel belaka di mata mak.

Selepas kawan-kawan balik, mak masih seronok sebab dapat jumpa kawan-kawan saya yang comel.

Anak bongsu saya pernah tinggal dengan emak sepanjang cuti semester. Hasilnya sangat memeranjatkan ketika kami mahu menjemputnya pulang. Anak yang sedia montel semakin bertambah isi.

Kata anak, “opah masak sedap. Opah juga ajar adik masak”.

Maknanya yang tersirat ialah ibunya kurang pandai masak hehehe...

“Adik tak mahu duduk dengan opah lagi...” dia bergurau. Gurauan itu tak mungkin terjadi.

Sebab duduk dengan opah adalah satu keseronokan. Dan nasi ulam opah memang superb!