Total Pageviews

Thursday, September 5, 2013

Setelah Tiga Puluh

Jam enam setengah petang si adik memandu ke arah Lukut. Kami bertiga.

By hook or by crook saya mesti jumpa dia. Itu janji saya meskipun badan berasa sangat penat.

Anehnya, waktu bertemu dia dan rakan sejawatannya yang baik, saya seakan lupa kepenatan itu.

Tiga puluh tahun sangat lama. Saya masih kenal wajahnya jika ketemu di jalanan. Tidak banyak berubah. Fizikal? Biasalah. Kami sudah hampir lima puluh. Mana boleh disamakan dengan fizikal semasa kami remaja tujuh belas!

Dia masih cergas. Macam dulu. Orang aktif bersukan. Tentu sihat selalu. Saya selalu berasa orang sukan ini jenis manusia yang hebat. Energetik!

Banyak yang mahu dikisahkan tetapi waktunya tidak banyak. Tiga jam dan orang keliling pun ramai. Tidak boleh jadi hikayat, hanya cerpen sahaja. Cerita pendek-pendek! Sambil menghayati angin laut di PD Waterfront!

Anaknya dua, berjarak jauh. Seorang perempuan, yang tua itu sebaya si adik. Yang bongsu lelaki berusia dua belas tahun. Untungnya saya sebab anak dua orang itu sudah dewasa. Untungnya dia sebab anaknya sepasang.

Adil sekali Allah merencanakan kehidupan kita. Memberikan keberuntungan di sebalik kekurangan.

Bertanya-tanya perihal rakan, ada yang timbul dan ada yang tenggelam. Paling terluka tatkala mengetahui ada rakan yang telah meninggal dunia.

Saat mahu pamit, pelukannya erat. Dia menangis sedikit. Saya yang juga penangis berasa ajaib sekali. Saya gembira sehingga lupa bagaimana mahu menangis. Saya seakan yakin bahawa ini bukan perpisahan yang jauh. Kami akan bertemu lagi dengan keizinan-Nya.

Ya, kami pasti bertemu lagi!