Total Pageviews

Sunday, September 15, 2013

Bukan Ibu Penyu

Sepatutnya sudah seminggu dia balik ke kampus.

“Kuliah belum mula...” katanya.

Barang-barangnya sembilan puluh peratus telah dihantar ke bilik sewa. Bagus juga dia tidak pulang. Boleh dia membantu mengangkat bagasi kakaknya yang juga kembali ke pengajian. Mereka berkonvoi ke Bangi.

Kemudian keretanya yang diparkir di UKM itu mengalami masalah. Ramai yang datang membantu tetapi gagal termasuklah auto assistant daripada Kurnia Insurance.

Biasanya kalau stereng lock, bukanlah satu masalah besar. Tetapi entah mengapa dengan kereta si adik hari itu. Akhirnya terpaksa panggil orang untuk towing. Kereta adik ditarik balik ke Seremban dengan bantuan Cik Sham dari Ilham Jati yang baik hati. Walaupun kakak menawarkan kami balik dengan keretanya, tetapi kami memilih untuk menaiki komuter.

Alhamdulillah sebab kejadian itu berlaku sebelum adik pulang ke kampus. Alhamdulillah juga sebab ada orang yang baik macam Cik Sham. Rupa-rupanya dia sudah bersedia untuk mengambil kami di Bangi sedangkan hari itu Ahad dan dia duduk di Seremban. Patutlah dia asyik bertanya, “kak balik naik apa? Saya boleh ambilkan...”

Kereta adik sudah sihat setelah seharian masuk wad. Kuncinya total ditukar. Kami pergi menjenguk kakak seminggu selepas itu sebab kakak minta dibawakan buku Speaking For Success. Melihat jadualnya, dia mengikut jejak langkah saya mengambil subjek bahasa Sepanyol. Adik mengambil bahasa Jepun. Asasnya sudah ada, rasanya mereka tidak akan menghadapi masalah besar untuk faham. Kata kakak, pensyarahnya mungkin penutur native berdasarkan gambar dan nama.

Hari ini mendung. Adik akan bergerak balik sekejap lagi. Tinggallah ibu tua menenun sepi.

Untungnya jadi manusia ialah anak-anak yang kita lahirkan akan kembali ke pangkuan kita setelah mereka dewasa. Kalau jadi anak penyu?

“Kasihan anak penyu. Kena belajar survive sebaik sahaja menetas. Kena menentang para kapitalis dalam lautan luas. Kadang-kadang sang kapitalis itu berada di langit, menjunam ke bawah membaham mereka. Ibu penyu pula meskipun anaknya begitu ramai, tidak sempat melihat mereka membesar. Pergi dan tidak kembali lagi buat selama-lamanya.”

Alhamdulillah sebab Allah jadikan saya ibu manusia. Bukannya ibu penyu!

Walaupun sedih, saya kena lambaikan tangan kepada mereka. Dengan doa yang sentiasa mengalir siang dan malam.

Tiada istilah putus asa dalam kamus seorang ibu. Itu yang saya pelajari daripada mak. Dan saya melihat bagaimana mak menghadapi hari tuanya dengan anak-anak yang begitu mengambil berat.

Ya, jika sehari tidak mendengar suara mak, hidup seperti tiada cinta.

Mudah-mudahan anak-anak saya juga begitu. Saya perlukan doa mereka untuk ke syurga.