Total Pageviews

Friday, September 27, 2013

Apabila Janji Tidak Ditepati

Seseorang menghantar mesej kepada saya.

“Yang ada sajak yang telah ditulis tentang wanita?”

Saya betul-betul mengantuk tengah hari itu tetapi mata saya buntang tatkala melihat siapa yang mengirimnya.

Barangkali dia mahu mendeklamasi sajak dalam acara yang melibatkan wanita. Saya menjawab sekadar ada kemudian terlelap sekejap. Ada beberapa mesejnya yang menyusul kemudian.

Memang ada tetapi mahu mencarinya itu yang sukar. Yang ada dalam antologi mudahlah sebab telah disusun dalam almari. Tetapi yang disiar di majalah dan akhbar, entah di mana saya simpan.

Saya jadi munafik juga. Malam, kata saya. Saya akan e-mel kepada beliau pada sebelah malam. Tetapi saya benar-benar penat. Beberapa tugasan mesti saya siapkan. Langsung saya biarkan janji itu tidak dikota.

“Ashraf kirim salam. Jumpa dia di Pokok Sena semalam...”

Oh, barangkali dia mengiringi suaminya yang hadir ke pengebumian Ustaz Azizan, mantan MB Kedah di Muassasah Darul Ulum. Allahyarham ustaz merupakan pensyarah suaminya semasa allahyarham bertugas di universiti dahulu. Dan Ashraf itu pula adalah rakan sekuliah kami semasa di UM sekitar dua puluh tujuh tahun yang lalu.

Saya memang ada nombor telefon rakan saya itu. Saya mencatatnya sebagai “DatinSriPah” tetapi atas sebab prinsip, saya tidak pernah menghubungi beliau. Sahabat baik saya itu masih sama sikapnya. Masih merendah diri. Pendek katanya, dia masih “Pah” saya!

Mak dan ayah selalu pesan, jangan mengambil kesempatan kalau kita bersahabat dengan “seseorang”. Itulah yang saya buat. Saya tidak mahu berjumpa, tidak mahu menghubungi meskipun dia sudah memberikan nombor telefonnya beberapa kali. Bertemu pun sebab sudah terserempak di sebuah festival puisi antarabangsa dan suaminya menjadi VVIP.

Teruk betul saya. Mesti dia sedih juga sedikit-sedikit. Sebab waktu bergelar siswi, kami sangat akrab. Dahulu dia bertudung labuh dan berjubah. Berbeza dengan saya.

Saya rakyat marhaen. Pakai kereta buruk, tak ada babu, tak ada pemandu. Rumah pun kecil, gaji kecil, baju tanpa jenama. Minyak naik harga sedikit pun, bajet sudah lari berbatu-batu.

Demikian orang yang pesimis merintih-rintih...hahahaha!

Dia orang baik. Meskipun sudah ada sedikit perubahan penampilan, saya percaya dia begitu sebab mahu menyesuaikan dengan kedudukan si suami dan parti yang didukungi. Dia masih sederhana. Tiada protokol keterlaluan. Tidak pakai tas tangan Birkin.

Kena ingat selalu bahawa status kita di sini tidak memberi makna apa-apa di mata Allah. Agaknya itulah yang diamalkan Si Pah. Asas agama yang dimiliki hasil tarbiah ABIM dahulu masih ada di hati.

Seperti yang saya janjikan dalam hati, saya hanya akan menghubunginya setelah dia bukan lagi isteri seorang MB!