Total Pageviews

Saturday, September 28, 2013

Mencari Kesan Tapak Kaki

Awal pagi saya dan Dr. Wan ke UM lagi. Destinasi sama, haluan berbeza. Dr. Wan ada raptai konvokesyen di Dewan Tuanku Canselor. Saya ke perpustakaan.

Jam sembilan baru perpustakaan dibuka. Jadi, saya duduk di bangku kayu sambil menikmati bau pagi. Kereta sarat di jalan, ada siswa siswi yang berjoging juga. Berada di kampus sangat nyaman. Orang berbual dengan buku dan nota di depan.

Sungguh lama. Paling akhir saya ke perpustakaan itu ialah pada tahun 1997, saat saya mahu menyempurnakan ijazah kedua.

Dua puluh tujuh tahun lalu, waktu saya menjadi pelajarnya, bangunan ini belum ada. Bangunan perpustakaan lama, tidak silap saya berada di belakangnya, di sebelah bangunan itu adalah speaker's corner, tempat para pemimpin yang kita ada sekarang mengasah bakat berpidato.

Saya hilang jejak. Kampus sudah berubah hampir lapan puluh peratus.

Masuk ke perpustakaan, saya seperti mahu melompat. Hati sangat gembira melihat buku dan bau hapak yang menandakan ketuaan sesetengah naskah. Saya duduk bersila, melayani hati yang seperti bertemu kekasih lama. Buku-buku itu, rak-rak, tangga yang berkeriut, kesunyian yang sangat mengasyikkan...alangkah!

Dr. Wan sudah selesai raptai dan mengambil saya di bawah. Macam mahu menangis meninggalkan bangunan ini. Buku-buku itu dan bau hapak yang masih melekat dalam minda.

Kami pergi mencari kesan tapak kaki yang puluhan tahun telah kami tinggalkan. Memang tidak akan ketemu sebab bangunan Jabatan Penulisan (sekarang Pengajian Media) telah berubah lokasinya. Bangunan lama tempat kami menjadi warganya telah diambil alih oleh Fakulti Pengajian Asia Tenggara. Kami jumpa bangunan Pengajian Media. Kemudian ke bangunan lama yang banyak menyimpan kenangan.

Saya menahan air mata yang bergenang. Dr. Wan juga! Dia junior saya. Selepas saya menamatkan pengajian, Dr. Wan pula menjadi siswi. Kami tidak pernah bertemu sebab saya keluar dan dia masuk. Tetapi ada sesuatu yang kami kongsi bersama. Maha Suci Allah yang mempertemukan kami akhirnya.

Begitu lama waktu meninggalkan kita. Ada beberapa rasa yang bercampur dalam nubari. Melihat anak-anak siswa yang membawa jubah konvo, sedih dan gembira seperti ombak pasang surut.

Jika ada pun rasa terkilan ialah legasi universiti tertua itu tidak diteruskan oleh anak-anak.

Sangat letih. Tetapi hati terlalu riang.

Bertambah girang tatkala mendapat mesej daripada Puan Mahaya Mohd Yassin.

“Bukumu sedang dilukis oleh Puan Norrin di Villa Residence, Ampang hari ini dan esok. Sangat cantik jika dapat datang untuk berbincang”.

Saya tidak dapat ke sana sebab saya hanya menumpang orang. Saya yakin dengan lukisan Puan Norrin untuk buku puisi kanak-kanak pertama saya! Seronok juga mencuba genre baharu.