Total Pageviews

Friday, August 9, 2013

Sesi Bertemu Ayah

Sepatutnya mengunjungi pusara almarhum ayah pada 29 Ramadan.

Tetapi kami tiba di halaman rumah emak hampir tengah hari 29 Ramadan itu. Kepenatan dan kantuk sebab kawasan rehat dan rawat sesak. Tidak boleh mencari parkir untuk melepaskan lelah.

Tangan kanan mengalami kesakitan luar biasa. Saya lalui hujung Ramadan dan 1 Syawal dengan hanya mengaji di kamar.

Kakak sulung yang sesekali baru dapat berjumpa mengunjungi emak pada satu Syawal. Saya masih berteleku di sejadah tatkala dia masuk ke kamar dan memeluk saya. Dalam tangisan dia menyebut-nyebut, “ya Allah, mengapa adikku jadi kurus macam ini. Kesiannya adik. Kesiannya adik...”

Alamak! Menangislah pulak. Mahu sahaja saya katakan, "kak...saya hanya kurus, hapuskanlah air matamu," tetapi gurauan itu hanya saya pendamkan dalam hati. Dia sedang bersedih, saya pula mahu buat lawak bodoh!

Memang semua yang melihat saya berkata begitu. Oleh sebab kasihan melihat “kekurusan” saya itu, sepanjang waktu saya hanya jadi VVIP.

Syawal kedua barulah saya dapat ke pusara ayah. Itu pun adik lelaki nekad memandu mendaki tanah perkuburan berbukit tinggi itu, padahal saya katakan bahawa saya boleh berjalan ke sana.

Sesi bertemu ayah yang telah berangkat pada Jumaat tiga Mac tahun dua ribu itu, yakni pada bulan Zulkaedah; memang selamanya mengharukan biar pun sudah belasan tahun ayah pamit.

Santalia yang ditanam emak di hujung kepala dan kaki ayah sudah dikemasi anak saudara yang berkunjung lebih awal. Hujung daunan bertaut di tengah pusara seperti menaungi pusara ayah.

Kebanyakan pusara ada yang sudah mendap. Tanah di situ memang begitu. Mujur pusara ayah masih bagus. Pusara ayah sangat sederhana berbanding yang lain. Demikianlah almarhum berpesan, jangan sesekali ditinggikan binaan. Cukuplah dengan susunan bata yang ditanam di tanah guna mengepung tanah. Kemudian letakkan batu gunung sebagai nisan. Batu yang asli dan alami itu akan selalu berzikir kepada Allah. Catatan nama ayah dan tarikh keberangkatannya yang ditulis oleh abang sulung dengan tulisan jawi di atas simen sudah ditutupi tanah.

Melihat sekitar kawasan, banyak sekali penghuni baharu di sekitar ayah.

Ya Allah, lapangkanlah pusara ayah. Tempatkan rohnya bersama golongan yang soleh. Ayah dan mak adalah ibu bapa yang baik. Yang mengajar kami mengenal-Mu sehingga kami dapat membasahi lidah-lidah kami dengan keajaiban ayat-Mu.

Alhamdulillah. Mak pun sudah kelihatan sihat. Syawal dan kehidupan akan lebih bermakna dengan adanya orang tua di sisi kita.

Kesayuan meninggalkan ayah saya bisikkan di hati, kami bakal menyusul ayah nanti. Meskipun entah bila.