Total Pageviews

Monday, August 12, 2013

Ipoh dan Cerita

“Mak Yang pernah sekolah di Ipoh?” dia bertanya hairan.

“Ya. Di MGS Jalan Kampar. Tapi tinggal di Asrama Kinta, berhampiran Jalan Gopeng...”

“Tingkatan berapa?”

“Satu hingga lima. Kemudian dapat sambung tingkatan enam ke Anglo Chinese School. Tapi Mak Yang mohon ke Clifford School KK sebab ayah tengah sakit masa itu. Kasihan ayah kena turun naik bas untuk datang ke Ipoh”.

Mukanya masih kaget. Rupa-rupanya selama hari ini adik ipar bongsu itu tidak tahu sejarah pendidikan saya.

Saya di Ipoh, menguruskan hal pertukaran nama kereta kepada nama kakak saya. Kakak dan adik bongsu jiran setaman. Di kampung, rumah mak terlalu ramai orang. Kakak melarikan saya ke Ipoh. Biar otak saya sihat sedikit.

“Mak Yang memang pandai...” katanya.

“Tidak. Cuma keras hati. Keras hati itulah yang menghasilkan kejayaan. Mak Yang sekolah rendah di kampung. Tidak pandai Ilmu Hisab, tidak pandai bahasa Inggeris. Apabila ditawarkan ke sekolah di Ipoh, Mak Yang mengalami kehidupan yang sangat sukar digambarkan. Sekolah itu sekolah orang putih".

"Pernah dapat anugerah?"

"Alhamdulillah, Mak Yang masih pelajar terbaik Peperiksaan Penilaian Darjah Lima, pelajar terbaik aliran sastera SPM, pelajar terbaik STPM Parlimen Chenderoh dan pelajar terbaik Jabatan Penulisan Universiti Malaya...”

Saya memang bukan pelajar pandai. Tidak pernah mengikuti kelas tusyen sebab mahu berjimat. Saya menyalin nota dari buku rujukan kawan-kawan, maklumlah masa itu belum ada mesin fotostat. Saya hanya bergantung sepenuhnya kepada apa yang diajar guru dalam kelas, menghafal nota-nota yang diberi dan apa yang ada dalam buku teks. Nota-nota kecil yang berlipat-lipat dan kumal sentiasa ada dalam kocek baju sekolah. Saya menghafalnya waktu rehat sebab jarang makan atau semasa pertukaran waktu.

Meskipun ada biasiswa, saya tidak boleh boros. Oleh sebab itulah, saya dan beberapa kawan sanggup mengambil risiko berjalan kaki ke sekolah. Kawan-kawan lain naik bas yang dibayar bulanan.

Duduk di asrama tetapi naik bas?

Ya, sebab sekolah dan asrama jauh.

Kulit kami hitam-hitam kena bakar matahari. Kalau musim hujan, memang kebasahan. Kena kejar anjing yang terlepas dari pagar banglo-banglo jutawan Tionghua sudah jadi kelaziman. Mujur tahun-tahun itu tidak banyak orang jahat yang sakit jiwa. Kalau tidak, entahlah apa yang akan jadi dengan anak-anak gadis seperti kami yang saban hari melalui jalan dan lorong sunyi untuk ke sekolah.

Saya tiada wang saku yang banyak. Jika orang lain boleh keluar outing untuk membeli belah, saya tidak boleh berbuat seperti mereka. Uniform sekolah saya hanya sepasang. Pakaian harian pun pemberian orang. Saya kena makan apa yang dihidangkan di dewan asrama meskipun hanya sayur bening yang berulat.

Bagaimana saya lalui kehidupan yang sebegitu payah selama lima tahun?

Sebab saya degil.

Tetapi saya puas. Sebab kejayaan yang saya dapat meskipun tidak sehebat mana adalah daripada keringat yang mengalir laju tatkala saya berjalan pulang balik ke sekolah. Allah telah memberikan saya ibu bapa, abang sulung, kakak-kakak dan guru-guru yang pengorbanan mereka tidak mampu diukur dengan sebarang alatan.

Alhamdulillah. Saya tidak pernah menggunakan kabel untuk masuk ke mana-mana institusi. Allah yang membantu saya. Itu sebabnya saya berkeras untuk melakukan hal yang sama terhadap anak-anak saya. Lakukan sendiri, usaha sendiri, supaya kita jangan mengambil hak yang sepatutnya menjadi milik orang lain. Jika memang itu hak kita, jauh atau dekat, Allah akan mengembalikannya kepada kita.

Memang, kadangkala pada zaman ini, jika tiada kabel, peluang kita akan terlepas ke tangan orang lain. Tidak mengapa. Berkatkah rezeki kita jika kita mengambil tempat yang sepatutnya diberi kepada orang yang lebih memerlukan?

Ingat, ada orang lain yang lebih susah daripada kita. Yang sesusah hidup saya dahulu. Jika dahulu, tempat yang sepatutnya menjadi milik saya, diambil orang lain dengan kekuatan “kabel”, sudah tentu nasib saya sekeluarga tidak berubah.

Hidup kita hanya sementara. Berusaha untuk menjadi manusia yang sering memberi supaya Allah tetap melapangkan hidup kita meskipun di mata orang lain, kita dikelilingi musibah. Apabila hati kita sudah boleh menganggap kesukaran itu sebagai rezeki dan keberuntungan, itulah anugerah Allah yang maha hebat untuk insan sedaif kita.

“Moksu tak tahu pun Mak Yang ada cerita menarik macam itu. Mak Yang tak pernah cerita pun...” dia meminta diri untuk ke pasar dengan janji supaya saya bercerita lagi kisah zaman remaja saya itu.

Tidak ada cerita menarik. Cuma jika anak-anak saudara saya mahu menjadikannya sebagai satu motivasi, mungkin berguna juga. Mereka dan anak-anak saya tidak pernah mengalami kesusahan hidup sebagai pelajar. Apa yang mereka mahu mereka akan dapat, malah boleh demand lagi.

Mereka tidak perlu memikirkan kesusahan ibu bapa mencari nafkah. Salah siapa? Kita sebagai ibu bapa yang telah berbuat silap. Kemewahan akan melemahkan keperibadian tatkala berdepan dengan realiti kehidupan.

Mudah-mudahan kita masih ada getah pemadam untuk menghapuskan contengan di halaman kehidupan.