Total Pageviews

Monday, August 19, 2013

Menunggu Aleya

Sabtu itu dari Hospital Gerik, Aleya dipindahkan ke Hospital Taiping.

Saya menghubungi kakak di Ipoh. Dia segera pulang sehabis masa pejabat.

Aleya anak bongsu abangcho, abang sulung saya. Berusia enam tahun, mulutnya bijak dan pandai buat kelakar.

Petang Jumaat itu, dia berlumba basikal. Entah bagaimana basikalnya terlanggar pembahagi jalan dan dia jatuh. Handle basikalnya tertusuk ke bahagian perut.

Malam itu apabila dia masih mengadu sakit dan muntah, Aleya dibawa ke Klinik Kesihatan Lenggong. Akibat tiada hospital di daerah ini, Aleya diperiksa secara manual dan dikatakan tidak mengalami komplikasi apa pun lalu disuruh pulang.

Esoknya Sabtu, kami mencadangkan Aleya menjalani pemeriksaan di Hospital Gerik yang tidak begitu ramai orang berbanding Hospital KK. Sebab Aleya masih menangis kesakitan dan muntah.

Di Gerik, air dimasukkan. Ujian air kencing dan darah dibuat. Separuh perjalanan pulang, mereka diminta berpatah balik ke Gerik. Sementara itu, pihak hospital menghubungi Klinik Lenggong untuk menghantar ambulans. Saat ambulans masuk ke halaman rumah, kakak saya sudah diserang sakit kepala. Kakak saya itu memang sangat mengambil berat akan kesihatan Aleya yang juga menghidapi asma.

Aleya dihantar ke Hospital Taiping. Kebiasaannya mesti ke KK dahulu. Tetapi ini terus ke Taiping. Itu yang sangat membimbangkan kami sebab biasanya kes yang tidak dapat dilakukan di KK akan dihantar ke Taiping dan seterusnya ke Ipoh.

Kami ke Taiping dengan tiga kereta, termasuklah jiran-jiran sekampung yang mahu pergi. Abang melarang saya ikut. Katanya, dia takut saya tidak larat. Tapi saya berdegil.

Di sana, doktor mengerumuni Aleya. Dia disyaki mengalami jangkitan kuman akibat luka dalaman. Wayar dimasukkan ke hidung, di tangan dan juga di saluran kencing.

Kami menunggu lama sehingga jam menghampiri sepuluh malam, barulah Aleya selesai menjalani ujian demi ujian dan dimasukkan ke wad. Itu pun beberapa doktor pakar masih memeriksa. Kami menunggu di luar wad dan bergerak pulang dengan hanya dua buah kereta pada jam sebelas setengah malam dalam hujan.

Wad Aleya berdepan dengan bangunan yang menempatkan kawasan berpagar untuk pesakit mental yang sudah sedikit sihat. Bermacam ragam yang dapat dilihat. Simpati sekali melihat pesakit-pesakit itu. Entah bagaimana rupa latar belakang dan cerita hidup mereka sehingga mereka berakhir di situ.

Keesokan hari, saya dan si bongsu bergerak ke Taiping sekali lagi untuk menghantar pakaian abang. Saya memang sudah berasa tidak sihat. Batuk saya menjadi-jadi. Pinggang sengal. Tetapi mengenangkan abang, kakak ipar dan Aleya yang sakit, saya gagahkan juga. Budak itu kalau saya sakit, dia memang sangat ambil berat. Siap sendukkan nasi dan minta kakaknya gorengkan telur untuk saya.

Aleya sedang tidur kerana dilenakan dengan ubat penahan sakit. Saya menunggu Aleya pula sebab ibunya mahu solat dan meluruskan badan di surau. Keadaan di wad itu memang kurang selesa. Jururawat berbual dengan suara kuat.

“Tak macam hospital ibu...” komen si bongsu.

Hospital ibu? Kayanya ibu kalau sampai ada hospital!

Budak kecil dan wanita dewasa berada dalam satu wad. Khabarnya itu wad surgeri. Mujur Aleya tidak dibedah. Dia mengalami demam. Dua hari itu dia puasa. Tetapi petang waktu saya mahu pamit, dia masih boleh buat aksi lawak.

Kasihan melihat dia terbaring begitu. Wayar untuk saluran kencingnya itu yang saya tidak sanggup lihat.

Budak-budak sekarang memang mulutnya bijak. Sepupu yang sebayanya, anak adik bongsu, Irfan namanya memang rapat dengan Aleya. Dia ikut ke hospital.

Waktu menunggu uminya solat, dia beritahu saya. “Tadi saya nampak mata Kak Mira merah. Kemudian ada air keluar dari mata Kak Mira. Cuba Mak Yang fikir kenapa Kak Mira jadi macam tu?”

Saya pura-pura berfikir dengan keras.

“Irfan fikir kenapa?” tanya saya semula.

“Saya fikir, sebab Aleyalah Kak Mira jadi macam tu...”

Amira ialah kakak yang di atas Aleya, sudah berada di tingkatan satu. Dia sedih sebab ternampak doktor sedang memasukkan saluran ke dalam pundi kencing adiknya. Dia tidak sanggup lihat Aleya menangis kesakitan.

Hari ini hari ketiga Aleya di wad. Saya mungkin tidak dapat menjenguknya sebab badan sudah sedikit lemah.

Tetapi saya akan terus menunggu Aleya di rumah. Mudah-mudahan dia cepat sembuh supaya saya boleh mengusiknya semula, “kalau Aleya jadi zombi atau drakula, Mak Yang sikit pun tak takut...”

Sebabnya, semua gigi depan Aleya tidak ada. Dia rongak!