Total Pageviews

Sunday, July 21, 2013

Bicara Takdir



Tragedi itu berulang lagi.

Guru juga.

Dalam tergesa-gesa mahu menghadiri mesyuarat, si ibu terlupa anak kecilnya yang sedang tidur di kerusi belakang Myvi.

Beberapa jam kemudian, tatkala kembali ke kereta, didapati anak perempuan berusia tiga tahun itu sudah tidak bernyawa akibat kelemasan.

Kereta itu diparkir di kawasan yang tidak berbumbung. Sudah pasti keterikan matahari menjalar masuk bahangnya ke dalam kereta yang bertutup rapat.

Kenapa guru? Ramai orang bertanya begitu. Apakah insiden sebegini menunjukkan betapa tekanan yang dihadapi para guru sudah sampai ke tahap nazak?

Ada seorang rakan penulis yang juga guru bercerita. Ada seseorang yang setiap kali berucap akan bertegas menyebut bahawa, “kerja nombor satu. Keluarga nombor seterusnya. Utamakan kerja!”

“Siapa?” ada yang bertanya.

“Bos dalam pagar sekolah!”

Di maya berlaku perdebatan terbuka. Ada yang menyalahkan kelalaian si ibu, menyalahkan pentadbiran sekolah dan si pembuat dasar.

Tapi paling mengecewakan tatkala ramai yang mahu ibu itu dihukum dengan hukuman yang berat. Dan sangat memeranjatkan apabila yang menyarankan itu termasuklah seorang tokoh. Individu ini sangat diketahui oleh sebahagian kaum penulis, sangat kuat melobi sehingga akhirnya dinobatkan sebagai SN beberapa tahun yang lalu. Seorang tokoh boleh memberi pendapat dengan hujah dangkal dan keanak-anakan?

Ini pendapat peribadi saya atas kapasiti seorang pendidik dan ibu.

Ibu itu telah menerima hukuman untuk sepanjang hayatnya. Malahan jika iman tidak kukuh, dia boleh sahaja menjadi tidak siuman. Tragedi itu seperti torehan pisau tajam yang sentiasa melukai hatinya.

Mana mungkin seorang ibu dengan segala kesengajaan mahu membunuh anak yang pernah berada dalam rahimnya kecualilah dia gila atau berada di bawah pengaruh sesuatu.

Kerja itu ibadah. Anak itu amanah. Kedua-duanya sama penting.

Bagi saya pula, jika sampai membahayakan anak, saya sanggup mengangkut anak-anak ke pejabat biar pun telinga tuli dengan umpatan orang. Itu yang saya lakukan dahulu. Tiada siapa yang boleh menjaga anak saya ketika saya menyambung pengajian sarjana. Saya bawa budak itu dan dudukkan dia di kelas sebelah dengan doa agar Allah menjaganya sepanjang tiga jam kuliah. Sekejap-sekejap saya akan keluar menjenguk biar pun barangkali sedikit mengganggu kelas.

Orang hanya boleh mengata tetapi jika berlaku sesuatu kepada anak-anak kita, ibu juga yang akan disalahkan.

Memang si ibu itu tidak sepatutnya sebegitu lalai. Namun saya pasti kotak fikirnya berkecamuk dengan urusan kerja yang mesti disegerakan sehingga terlupa bahawa anak masih berada dalam kereta.

Tragedi itu sudah berlaku. Anak comel itu pun sedang menuju syurga Illahi.

Menangis air mata darah sekali pun dia tidak akan hidup semula.

Jangan bebankan kedukaan dan kekesalan si ibu dengan memberi saranan yang macam sampah. Demi rasa kemanusiaan dan persaudaraan, kita sepatutnya mendoakan dengan mengambil keberkatan Ramadan ini agar Allah memberikan ketabahan dan kekuatan kepada si ibu itu.

Saya lebih setuju jika si pembuat dasar mengkaji semula beban tugas guru. Mereka bukan robot yang boleh diasak dengan pelbagai tugas.

Robot pun ada ketikanya akan rosak juga.

Kehidupan kita seperti ramalan cuaca. Esok dijangka panas terik tetapi kuasa Allah mampu menurunkan hujan lebat.

Siapa kita untuk menahan tatkala takdir sudah berbicara!