Total Pageviews

Saturday, July 20, 2013

Masih Mampu Mengenang



Ramadan sebelas.

Alhamdulillah. Sekali pun kami belum ke baram (bazar Ramadan). Menu berbuka hanya yang biasa-biasa. Sama seperti hari-hari sebelum Ramadan.

Kata mak, Ramadan hanya ada sebulan ini sahaja. Kena rebut betul-betul pahalanya. Kena kuatkan diri walaupun rasa kurang larat. Biarlah bulan ini berbeza daripada bulan-bulan yang biasa. Kalau tidak, rugi sahaja kita menghabiskan sebulan Ramadan ini jika masih sama seperti bulan-bulan lain.

“Pagi ini kami sudah khatam Quran di masjid”, kata mak.

Suara mak macam letih waktu saya menelefon. Kudrat sudah habis untuk membesarkan anak-anak. Tetapi semangat mak masih macam dahulu.

Ramadan kali ini terasa dingin dan redup. Perasaan saya sahajakah?

Zaman ayah muda-muda, ada satu permainan dalam bulan puasa yang dipanggil “menghantar”. Ayah selalu mengkisahkan kepada kami mengenai permainan ini dan kenakalan beliau serta kawan-kawannya. Kami hanya mampu membayangkan sahaja sebab pada zaman saya, permainan itu sudah pupus.

Pada zaman saya menjadi kanak-kanak pula, kemeriahan Ramadan ialah pada panjut tempurung yang dibuat ayah. Juga buluh panjang yang ayah tebuk beberapa lubang dan diisi dengan minyak tanah serta dibuatkan sumbu.

“Panjut? Apa itu?” tanya anak. Kasihan dia. Generasinya akan jadi seperti saya, hanya dapat membayang-bayangkan sahaja.

Seperti generasi anak-anaknya nanti yang hanya dapat membayang-bayangkan bagaimana rupa kad hari raya yang menjadi penyambung ikatan kasih sayang.

Masa telah mengubah segala-galanya. Keadaan sudah menjadi tidak sama lagi seperti sebelumnya. Hari ini kita yang terkial-kial mendepani kepesatan teknologi, esok-esok giliran anak-anak kita pula merasai benda yang sama.

Yang tinggal pada kita hanya nostalgia.

Mujur kita masih mampu untuk mengenang.