Total Pageviews

Monday, July 15, 2013

Penulis Jutawan



Dulu-dulu, orang kata kalau mahu kaya jangan jadi penulis.

Sebuah sajak pada zaman 80-an dibayar RM10 oleh suratkhabar arus perdana. Kalau akhbar nyamuk, langsung tiada bayaran.

Sekarang jumlahnya sudah naik sedikit. RM50.

Saya tidak dapat menahan kerterujaan tatkala terserempak dengan novelis jutawan, Pak Abdul Latip Talib. Novelis kelahiran Rembau yang menjadi kaya dengan menulis novel sejarah.

Saya mahu mengutip pasport Atira Laila siang itu. Di muka pintu Jabatan Imigresen, saya tiba-tiba ternampak wajah yang amat dikenali.

“Pak Latip!” sapa saya.

Dia mendepani saya.

“Siapa ya?” tanyanya mesra. Kulitnya agak cerah berbanding foto-foto yang saya nampak di laman sosial.

Saya sangat pasti dia tidak kenal saya. Penulis bilis sedang berdepan dengan jerung raksasa!

Saya memperkenalkan diri. “Tapi saya tidak sehebat bapak!”

Ya, zaman ini menulis boleh jadi jutawan. Pak Latip adalah antara contohnya. Daripada hasil jualan novel, dia mengembara ke negara-negara di mana tokoh negara tersebut bakal dijadikan watak novel sejarahnya. Dia membuat kajian sebelum menulis.

Dia mengingatkan saya kepada Pak Shahnon Ahmad, Pak Samad Said, Allahyarham Azizi Haji Abdullah, Pak Abdullah Hussain, malahan penulis zaman baharu yakni seperti Saudara Faizal Tehrani. Apabila membaca novel mereka, kita banyak sekali mendapat ilmu baharu sama ada dari sudut pertanian, hukum-hakam agama, sejarah dan sebagainya.

Sangat sukar untuk menemui novel-novel para sasterawan negara sekarang ini. Mereka tenggelam dalam kebanjiran novel pop yang judulnya sahaja boleh membuatkan saya mual. Belum lagi membacanya!

Novel pop itu diangkat pula menjadi siri TV. Ada yang bagus tetapi ada juga yang mempamerkan contoh yang kurang elok untuk anak-anak kita menonton.

Kalau seorang itu ada disiplin dan kesungguhan, dia akan berhasil. Ramai kawan saya yang telah berhenti kerja dan menjadi penulis sepenuh masa.

Di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Cuma kadang-kadang, jalan sudah terbentang tetapi kita yang masih bertangguh-tangguh.

Salah siapa?