Total Pageviews

Sunday, July 14, 2013

Menikmati Ramadan



Betapa besarnya bertemu nikmat Ramadan.

Ada orang yang meninggal dunia sebelum bertemu Ramadan. Ada orang yang tidak boleh berpuasa sebab terlantar sakit. Tetapi kita telah diberi peluang untuk menikmati Ramadan dengan usia dan kesihatan yang memungkinkan kita menghiasi sepertiga malam dengan memuji Allah SWT.

Awal pagi saya ke mesin deposit untuk mengirim Dinar Bahrain yang diminta. Atika Laila ada program susulan ke Jordan dan Turki selama seminggu sebelum kembali ke Bahrain. Di muka pasar raya itu orang sudah ramai membeli barangan basah dan kering. Saya melihat wajah-wajah yang masam. Saya cuba menjual senyum meskipun tidak laku.

Bagaimana mungkin kita menikmati pagi Ramadan dengan wajah masam?

Orang mula membeli baju dan kelengkapan berhari raya. Tetapi tahun ini kami tidak begitu. Sebenarnya sejak anak-anak sudah dewasa, keghairahan untuk membeli persiapan hari raya sudah amat berkurangan. Pakai sahaja apa yang ada. Makan sekadar yang termampu. Budak-budak itu pun sudah tidak merengek mahukan baju raya. Belanja pengajian bukan sedikit. Itu sangat mereka insafi.

Maha Suci Allah yang memberikan peluang hebat kepada kita untuk menikmati Ramadan dan keberkatannya. Menonton suasana malam Ramadan di bumi Mekah mampu menitiskan air mata. Betapa malam diisi dengan kemeriahan ibadah. Keinginan untuk menjadi tetamu Allah membuak-buak.

Teringat cerita mak dan kerinduannya untuk kembali mengisi Ramadan di bumi Mekah. Dengan izin-Nya, mudah-mudahan suatu ketika nanti Allah akan memanggil kita ke sana.

Rebutlah nikmat Ramadan yang tidak terhingga ini.

Kurangkan kekerapan mengunjungi bazar Ramadan sehingga berlakunya pembaziran. Mujahidin kita di Syria, saudara-saudara kita di Mesir, iftar dan sahur dengan makanan sekadar ada. Mereka yang merindui syahid, tidak pernah memikirkan soal makanan enak.

Madrasah Ramadan tersedia buat kita untuk sebulan.

Bersegeralah untuk menyantuninya sebaik mungkin!