Total Pageviews

Wednesday, July 17, 2013

Merisik Khabar



Terima kasih Dr. K sebab bertanyakan khabar saya.

Mesej pesanan ringkas dan panggilan telefon rakan-rakan selalu meriangkan nyali. Sebab saya tahu saya masih diingati meskipun tidak dirindui.

Saya sedang mengedit tulisan sepanjang enam ratus lapan puluh muka surat tatkala Dr. K menghubungi. Sudah seminggu tetapi masih belum siap. Hanya setengah jam saya boleh duduk mengedit. Selepas itu kena baring.

Doa saya semoga saya sempat juga menghabiskan pengeditan sebelum Aidilfitri supaya penerbit tidak tertunggu-tunggu dan proses penerbitan tertangguh lama. Barangkali inilah sumber rezeki yang ditunjukkan Allah kepada saya dalam usaha saya mengumpul dana untuk tujuan perubatan.

Duduk berkurung bukanlah satu pilihan bijak tetapi untuk sesetengah kondisi, ia adalah perlu. Untuk beberapa waktu, saya langsung tidak bertemu muka dengan jiran. Gua ini adalah dunia saya. Mudah-mudahan Tuti memahami, saya tidak boleh keluar rumah dalam keadaan yang “tidak bertamadun” hahahaha...

Sunyi tatkala si adik masih tidur walaupun matahari ada di langit. Selepas dia bangun atau ketika Daddynya balik, sunyi pun minggir. Mereka berdua buat lawak jenaka sebab ibu kena ada hiburan juga.

Kalau ikutkan hati, saya mahu menghidupkan Ramadan dengan mak. Tetapi janji saya pada mak terpaksa dibatalkan. Pertama, sebab kondisi saya yang “tidak bertamadun” itu. Kedua, perjalanan jauh dan panas matahari akan menyebabkan gangguan terhadap “sistem yang tidak bertamadun”. Ketiga, saya kena menunggu si Atika Laila pulang ke Malaysia sehari sebelum Aidilfitri.

Maka, duduklah saya di rumah kecil. Menelefon mak setiap hari dan si Atika Laila sekali seminggu.

Mak qiamulail di masjid, ada tadarus juga. Walaupun kurang sihat, mak nekad mengisi Ramadan. “Umur mak sudah tujuh puluh lima...” demikian mak berkata dan saya mengerti maksudnya. Sangat mengerti. Dan hati saya kecut memikirkan kata-kata mak.

Semalam menelefon Atika Laila, “kakak di Jordan sekarang. Kakak seorang sahaja muslim. Waktu kawan-kawan makan tengah hari, kakak tunggu di luar restoran. Kakak sihat tapi letih sedikit. Kelmarin di hotel, kakak tak terjaga untuk sahur. Tapi kakak masih puasa. Kawan-kawan non-muslim kagum...”

Saya mendengar antara jelas dengan tidak. Alhamdulillah.

“Kakak musafir,” kata saya. “Kalau kakak benar-benar tidak berdaya, kakak bukalah. Nanti pastikan ganti semula dengan segera...”

Kena ada kekuatan tatkala berada dalam kelompok yang bukan muslim. Kita kena menjadi ikan di laut lepas yang tetap tawar dalam kemasinan air.

Ada sekali dia bersahur biskut sahaja sebab malam itu rakan-rakan berparti mabuk-mabukan di dapur. “Tidak boleh masak,” katanya. Mungkin dapur sudah hanyir dengan bau arak.

Bagus juga dia berkelana seperti itu. Dalam keterpaksaan dan jauh daripada ibu, dia kena masuk ke dapur juga, iaitu satu perkara yang dia kurang suka.

Kita boleh lakukan jika keadaan memaksa. Tiada yang mustahil selagi Allah mengkehendaki.

Moga Allah memelihara iman dan akidah kita, memelihara maruah dan kehormatan kita, memelihara aurat dan solat kita.

Semuanya akan berakhir dengan kesudahan yang baik. Waktunya akan tiba juga. Insya-Allah.