Total Pageviews

Saturday, July 27, 2013

Menjenguk Mak



Menuju utara.

Si Atira Laila yang memandu.

“Panas ni. Tak payah balik. Jangan risaukan mak. Nyah ada”. SMS itu saya baca.

“Nak balik jugak...”

Kalau anak yang sakit, macam mana tak larat pun, mak akan usaha sedaya upaya. Jadi, saya kena begitu juga. Dengan Bismillah, saya nekad untuk melakukan perjalanan jauh.

Sebelum Ramadan lagi mak kurang sihat. Tetapi sehari dua ini mak jadi lemah. Di telefon, suara mak lesu.

Saya kena lari balik sekejap. Suami akan menyusul kemudian.

Memang aneh melihat mak terbaring di tilam. Hati saya rusuh.

Kakak yang bekerja di Ipoh ada di kampung. Malam itu adik yang baru tamat syif, juga turut bergerak balik ke kampung.

Mak hanya makan bubur nasi. Jari tangan mak bengkak. Badan jadi lesu. Sudah ke klinik, sudah dibelikan ubat macam-macam.

Kami tidur berkeliling mak. Memicit tangan dan kaki mak yang sudah berkedut dan kurus.

“Mak sudah tua. Selera makan tak ada. Memang jadi tak laratlah. Biasalah tu...” begitu kata mak.

Tapi memang aneh melihat mak terbaring. Sebab mak selamanya wanita perkasa yang biasanya tidak mudah mengalah dengan musibah apa pun.

Saya pun buat lawak.

“Hai jin hantu syaitan yang dikenali. Keluarlah kau. Jangan gigit ibuku. Kalau kau tak keluar, aku gigit kau pulak. Nyah kau dari bumi Malaysia ni...”

Mak tergelak mendengar “jampi serapah” saya.

Semoga “syurga” saya dan adik-beradik saya itu kembali kuat dan sihat.

Allah, makbulkanlah!

No comments: