Total Pageviews

Thursday, August 1, 2013

Ramadan Jangan Pergi



Subuh Ramadan dua puluh empat.

Minggu-minggu yang sibuk.

Beberapa hari pulang ke utara menjenguk mak. Tiga malam itu hanya sejam dua kami melelapkan mata. Membawa mak ke klinik, menyediakan bubur nasi, memicit badan mak, memastikan mak makan ubat dengan betul.

Paling kagum dengan kakak dan adik bongsu yang masih sempat pulang meskipun malam sudah begitu larut. Bukan mudah berulang alik ke kampung dalam kepenatan berpuasa dan kerja yang banyak.

Kami tidur di keliling mak termasuklah dia yang pulang agak kemudian.

Memang sangat aneh melihat mak yang terbaring begitu. Beberapa hari itu kami tidak mendengar suara mak mengaji. Mak hanya bangun untuk solat. Makan pun kena dipaksa-paksa. Selebihnya mak hanya mahu mengelakkan saya risau. Mujur saya balik sebab saya adalah poin adik beradik saya untuk menggalakkan mak makan.

Saya kena pulang juga ke Seremban sebab budak yang sulung itu mohon pulang ke tanah air seminggu lebih awal. Sebelum balik ke kampung, saya ke pejabat Emirates Airline untuk membuat pindaan tarikh.

Dia pun pulang. Kulitnya agak terbakar. Dua negara itu telah berjaya menggelapkan sedikit warna kulit.

Sepanjang dua malam, body clock masih belum betul. Malam dia berjaga dan siang tidur. Asyik sahaja bercakap sebab gembira dapat menggunakan bahasa Melayu semula.

Satu hal yang saya pasti, jika kita seorang sahaja muslim dalam komuniti bukan muslim, kita akan cenderung untuk menjaga akhlak kita sebagai muslim, menjaga amalan-amalan agama, mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan cuba mempamerkan kebaikan agama anutan kita.

Saya membaca nota rakan-rakannya. Mereka teruja dengan info agama yang selalu diterangkan oleh budak itu. Juga bagaimana dia berkeras mempertahankan tudung kepalanya walaupun tatkala di kamar, juga pendirian untuk meneruskan puasa dalam aktiviti mencabar, kurang sihat dan dalam kepanasan cuaca dua negara.

Mudah-mudahan itu titik tolak untuk sebuah kematangan dan kecintaan kepada agama yang dianuti sejak dalam rahim ibu.

Minggu ini juga si budak yang bongsu dapat kereta baharu. Spectra yang gedabak itu memang sesuai sekali dengannya. Shiro-chan saya serahkan hak miliknya kepada kakak di Ipoh. Budak yang sulung dalam proses menanti kereta baharu juga selepas Idulfitri.

Setiap hari menelefon mak. Suatu pagi, anak saudara saya menghantar aduan.

“Makyang, opah buat kerja di stor belakang...”

Saya terus menelefon mak. Mak tergelak-gelak. Dia mahu lawan rasa lemahnya. Sempat juga membersihkan stor yang ada bayi ular beberapa ekor.

“Pastikan opah masuk ke rumah sekarang dan rehat,” saya memberi arahan kepada spy saya yang sedang bercuti sementara menunggu konvo dan akan mula bekerja.

Agak malang sebab minggu akhir memburu Lailatul Qadar ini tidak dapat saya isi dengan mak. Saya perlu ke hospital dua hari sebelum Idulfitri.

Beberapa kenalan penulis telah pergi menghadap Illahi termasuklah seorang yang pernah meminta izin menulis cerpen berdasarkan sajak saya “Anak Tanpa Rumah” yang terbit di akhbar BH. Begitulah adat kehidupan, sedangkan dalam waktu sama para penulis tanah air merancang untuk bertemu di Hari Sastera Ke-16 di Sarawak awal September ini.

Saya juga masih gagal melupakan wajah akhir Allahyarham Ustaz Mokhlis, sahabat saya itu. Sementara menunggu teduh, saya tetap mendoakan agar Allah menempatkan beliau dalam kalangan orang-orang yang soleh.

Semalam terbaca juga cerita seorang bilal di Surau Mujahidin Bangi yang meninggal dalam sujud tatkala sedang berjemaah solat Zuhur. Subhanallah. Beruntungnya dia. Petang Khamis, malam-malam akhir Ramadan dan ketika sedang sujud.

Masya-Allah, dia antara insan terpilih.

Subuh ke dua puluh empat sudah datang. Lagi beberapa hari Ramadan akan pergi. Alangkah baiknya jika dia tidak pamit.

Tetapi seperti kita, Ramadan akan pergi juga.

Meskipun kita merayu-rayu, jangan tinggalkan kami wahai Ramadan.