Total Pageviews

Wednesday, July 24, 2013

Hujan Masih Turun



Hujan tengah hari Rabu.

Hujan juga masih turun di hati saya.

Dan di hati isteri, anak-anak, kaum keluarga dan sahabat handai yang ditinggalkan.

Orang baik. Perginya ditangisi.

Malam tadi ustaz terbaring sendirian di liang lahad. Berpisahlah dia dengan dunia yang sementara. Dengan anak isteri yang mengasihi. Dengan sahabat handai yang masih dikurung rasa tidak percaya.

Allah meminjamkan empat puluh tujuh tahun sebelum mengambil hak-Nya kembali. Dia telah tiada. Dia telah pergi. Itulah realiti.

Daripada tiada kepada ada. Daripada ada kepada tiada. Itu petanda kita insan yang lemah, yang diciptakan oleh pemilik kita nan abadi.

Ramadan empat belas. Kami kehilangan sahabat yang sangat baik. Yang selalu low-profile. Yang tidak berpaling saat kami dikhianati. Yang selalu menghulurkan tangannya untuk membantu. Yang diamnya lebih banyak daripada bersuara.

Kata-kata semangatnya kepada saya lima tahun yang lalu...

“Tak apa, kak. Orang baik memang selalu diuji. Allah tahu kekuatan kak. Itu sebab Dia beri ujian demi ujian untuk kak...” Dia memujuk. Tapi saya bukan orang baik, ustaz!

Dan saat dia sakit, saya mengirim mesej. Mengulang semula kata-katanya. Saya yakin Allah memberikan ujian demi menganugerahkan syurga. Dan yang mahu menjadi penghuni syurga ada kelasnya yang tersendiri yakni bersih daripada segala dosa meskipun sedikit. Maka sebab itulah diberikan kesakitan sebab rasa sakit itulah yang akan menghapuskan dosa jika kita redho.

Cantik percaturan Allah. Dia masuk ke hospital iaitu sesuatu yang agak mustahil untuk ustaz sebab dia alergik dengan hospital. Hospital itu di Pilah. Tatkala dia dijemput pergi, mudah untuk rakan-rakan di Pilah dan Seremban ziarah. Kediamannya di Bahau agak jauh. Perginya pada jam 10.40 pagi dan pengurusan jenazah berjalan dengan lancar. Sebelum Zuhur, kenderaan jenazah meluncur ke Banting, kampung asal ustaz untuk disemadikan.

Seperti kata isterinya, “tak apalah Allah nak ambil ustaz. Kesian dia. Tak sanggup biar ustaz terus begitu...”

Doa saya, Allah berikanlah kekuatan berganda kepada wanita bertubuh kecil itu.

Apabila Allah mengambil, Dia pasti akan memberi. Sebab Dia Maha Adil dan penuh kasih sayang.

Kita tidak tahu sama ada Ramadan ini Ramadan terakhir kita bersama orang-orang tersayang. Sama seperti kita tidak menyangka bahawa Ramadan dan Syawal tahun lalu adalah Ramadan dan Syawal terakhir ustaz.

Tambahkan amalan kita, bersegera dalam berbuat kebaikan. Padamkan api dendam, penuhi hati dengan cinta Ilahi.

Sebab kita tidak tahu bilakah tibanya giliran kita...

Petang ini, Encik Wan menelefon. Mengkhabarkan bahawa semalam dari HUKM, dia terus ke Banting. Sebelum Asar, jenazah ustaz dikebumikan.

"Tinggal kita berdua saja, Cik Wan. Ustaz yang paling akhir sakit tapi dia yang pergi dulu..." kata saya menahan hujan.

Encik Wan yang baik, sahabat seperjuangan allahyarham ustaz dan saya. Dia mengaku masih kebingungan sebab rancangnya Jumaat ini mahu menjenguk ustaz di hospital.

Dia hilang seorang teman baik. Saya juga.