Total Pageviews

Saturday, July 6, 2013

Dia Tidak Jumpa Ramadan



Malam tadi Kak Yam mengirim mesej, mengkhabarkan berita kematian isteri kepada Tuan Haji Masnan. Mak cik itu? Dia yang mengurut saya sambil memberikan petua dan nasihat. Meminta saya bersabar dengan ujian Allah.

Rupa-rupanya dia tidak sempat berjumpa Ramadan tahun ini. Dia kelihatan sangat sihat waktu saya ke rumahnya untuk berurut awal tahun sebelum saya dioperasi. Takdir Allah, dia yang dijemput ke pangkuan Allah terlebih dahulu.

Tentu anak-anak, menantu dan suaminya akan berasa begitu kehilangan. Ramadan dan Syawal tanpa ibu dan isteri.

Saya pernah tertarik dengan kaedah kenduri perkahwinan yang dijalankan pasangan itu. Mereka lari daripada kebiasaan. Jamuan perkahwinan anak mereka dibuat pada waktu pagi berkonsepkan sarapan. Meskipun namanya sarapan, tetapi bagi masyarakat Asia, sarapan pasti dimulakan dengan hidangan yang berat juga.

Majlis itu tidak bingit dengan lagu-lagu yang boleh menenggelamkan isi perbualan. Yang menyambut tetamu pula ialah pasangan pengantin, bukan ibu bapa.

Bagusnya konsep ini. Pertamanya, tetamu boleh datang dengan perut kosong untuk bersarapan. Kedua, cuaca pasti sahaja masih tidak panas terik. Ketiga, tanpa muzik yang berdentum-dentum, tetamu boleh berbual dengan selesa. Keempat, tetamu akan mengenali pasangan pengantin, dan ibu bapa masih boleh beramah tamah dengan para tetamu dan kenalan. Kelima dan yang paling utama ialah tuan rumah, pengantin dan orang yang berdatangan boleh pulang untuk bersolat Zuhur tanpa sebarang alasan.

Menarik, bukan?

Saya sendiri tidak selesa dengan majlis yang dibuat dalam tengah hari terik sambil menahan telinga mendengar lagu yang kuat. Tetamu berpeluh, pengantin pun berpeluh. Dengan solekan tebal, kemudian sibuk melayani tetamu, ada kalanya solat ditinggalkan. Betapalah beratnya pundak tuan rumah untuk menanggung dosa anak menantu dan para tetamu yang terabai solatnya.

Mudah-mudahan mak cik itu dalam rahmat Allah. Hari ini kita melihat dia yang pergi. Giliran kita belum tahu.

Hari ini juga cubaan untuk berpuasa ganti. Saya berdoa agar diberikan kekuatan. Lagi empat hari akan bertemu Ramadan yang mulia. Memang sepanjang hari saya terbaring sahaja. Saya menelan ubat siap-siap, minum air sebanyak-banyak yang mampu.

Tengah hari itu, Kak Noriah menelefon.

“Kak sedang tolong buat sinopsis. Menitik air mata kak membaca manuskrip Yang. Kak mahu cadangkan kepada kawan kak supaya manuskrip ini diangkat ke layar...”

Hehe...saya memang tidak suka buat sinopsis. Itu kelemahan saya. Manuskrip saya selalu ditolak sebab saya tidak suka menulis sinopsis. Dalam proses pemilihan, editor mana ada banyak masa untuk membaca keseluruhan cerita.

Kata-kata kakak itu memberikan saya motivasi untuk mencuba nasib dalam genre novel sekali lagi walaupun tangan kanan saya ini selalu kesakitan. Bisanya kadang-kadang mampu menitikkan air mata.

Menulis apa pun kena berhati-hati. Jangan sampai tulisan kita memberikan kita dosa. Saya tetap dengan pendirian dan tidak akan mengubah prinsip saya. Penggunaan bahasa yang betul (dan saya mencontohi gaya penulisan Almarhum Azizi Haji Abdullah, sifu saya) juga tidak mempertaruhkan seksualiti demi meraih minat pembaca remaja.

Itu sebab tatkala diminta mengubah gaya bahasa kepada “bahasa terkini remaja” oleh penerbit yang sangat terkenal dengan novel pop, saya menolak. Biar manuskrip saya jadi basi. Biar manuskrip itu diterbitkan oleh penerbit yang tidak dikenali, asalkan jangan meminta saya mengubah kepada gaya bahasa “sistem pesanan ringkas”!

Hujung minggu ini saya sendirian. Punya banyak waktu untuk mengetuk dada komputer. Budak yang di Puncak Alam sedang sibuk untuk assesment akhir pada hari Isnin. Tidur dan jaga sudah tidak ketahuan. 

Budak yang di Manama, kerap menghantar mesej tetapi masanya agak tidak sepadan. Lima jam perbezaan waktu antara negara itu dan Malaysia. Katanya, mereka dibawa ke pantai. Semua orang seksi meksi dan dia diminta buka tudung.

“Apabila kakak kata tak boleh, kakak kena explain sebabnya...” Semua orang mengerumuninya dan bertanya.

Tahniah, kata saya. Ingat, kakak mewakili agama kita. Itu yang penting.

Esok Ahad dia ada dua pembentangan. Satu tentang leadership dan satu lagi tentang Malaysia. Ada dua peserta berketurunan Tionghua Malaysia dari UPM, tetapi salah seorang daripadanya asyik bercakap dalam bahasa ibunda.

“Terus terang sahajalah. Katakan, tolong hormati rakan senegara dan bicaralah dalam bahasa Inggeris!” saran saya.

Anak saya dua-dua itu tidak becok. Pasti sukar untuk mereka menghadapi situasi semacam itu. Macam saya juga, sukarnya kalau kena berterus terang. Tetapi kena belajar juga. Kalau tidak, diri sendiri yang susah.

Memang ada kalanya orang tidak suka terima. Tapi saya melihat mereka hidup dengan tenang sebab tidak menyimpan keluhan dalam hati. Muka pun tidak keruh. Muka itu cerminan hati, bukan?

Setiap hari kita doakanlah semoga kita sentiasa berasa cukup dengan apa yang diberikan Allah kepada kita. Dia memang sangat mendengar segala keluhan dan kedukaan dalam hati. Sepantas itu dilorongkannya jalan untuk membantu kita keluar daripada kesukaran hidup.

Alhamdulillah.