Total Pageviews

Wednesday, July 3, 2013

Hari Bagus



Minggu-minggu terakhir radioterapi, dia menghantar ke hospital tapi balik sendiri. Jam tujuh pagi, saya sudah memasuki lobi. Hari ini saya menjadi orang pertama yang berjaya meletakkan kad ke dalam kotak giliran.

Minggu-minggu terakhir ini juga, saya mengalami satu hal luar biasa. Saya yang jarang sekali lena dalam kenderaan, tertidur juga sepanjang satu jam lima belas minit perjalanan tren. Nasib baik tidak terlepas ke Senawang atau ke Sungai Gadut.

Cuma tak seronoknya waktu pulang itu, koc untuk wanita selalu dicerobohi lelaki sama ada warga asing atau tempatan. Sangat tidak selesa mahu bertiduran.

Agaknya mereka kepingin mahu jadi wanita. Dapat duduk dalam koc khas untuk wanita pun jadilah.

Hari ini saya menelefon si sulung. Awal pagi di sana, sudah tengah hari di sini.

Suaranya perlahan.

“Kawan-kawan kakak biasanya bangun tidur lewat. Kakak seorang bangun awal, solat dan cuci kain...”

Oh, patutlah bersuara perlahan, takut mengganggu rupa-rupanya.

Dan dia beritahu juga, rakannya dari Turki itu malam tadi mabuk-mabuk minum arak parti hari jadi. Aduhai...

Dia bertanyakan pandangan saya tentang apa yang akan dibentangkannya kepada pelajar-pelajar universiti nanti. Gilirannya akan tiba hujung minggu ini.

“Kakak nak guna contoh Nabi daripada aspek leadership. Kakak terfikir yang Nabi terima pandangan hamba foreigner tu dengan maksud bahawa Nabi sangat open meskipun baginda seorang pemimpin...”

Wah, sudah tentu saya setuju! Saya sebut tentang bagaimana baginda menerima usul Salman Al-Farisi yang bukan orang tempatan untuk membina parit dalam Perang Khandaq.

Si bongsu pula menghantar mesej. Pensyarahnya sangat suka akan installation dengan magazine yang dibuatnya.

“Pensyarah mahu ambil untuk buat koleksi fakulti tapi adik cakap kat dia adik nak bawa balik nak tunjuk kat ibu. Nanti adik bawa balik minggu depan. Berbaloi adik tak tidur dua hari...”

Err...comelnya beri alasan macam tu...hahaha. Pensyarah pun kasihan agaknya sebab budak itu mahu tunjuk kepada ibu.

Hari ini Allah berikan yang bagus-bagus.

Mudah-mudahan cuaca hati akan selalu cerah.

Semoga Allah terangkan hati kita semua dalam melaksanakan semua tugasan yang diberi.