Total Pageviews

Thursday, July 4, 2013

Dia Pasti Menang



Beberapa hari lalu teringatkan budak itu.

Seperti mahu hubungi suaminya, mahu bertanya khabar si isteri.

Tetapi kemudian saya terfikir, barangkali Khamis ini, dia ada temu janji di Klinik Surgeri.

Memanglah. Allah itu selalu mendengar bisikan hati.

Akhirnya saya jumpa juga si Faiz. Dia ditemani suami dan anak gadisnya. Saya datang awal, jadi dapat giliran ke tiga belas. Dia agak lewat.

Rindunya akan budak itu. Saya lihatnya badannya masih gempal macam dulu. Berbeza dengan saya yang asyik mengalami penurunan berat badan.

Membelek-belek tangannya, saya berlucu. “Tengok, kulit kita sudah jadi tua. Berkedut-kedut...”. Sebenarnya bukan berkedut, tapi kulit jadi kering sebab kesan kimo, radio dan ubat hormon.

Dia akan menjalani pembedahan dan beberapa bulan selepas sembuh, menghadapi radioterapi pula. Dia bertanyakan saya di mana letaknya unit rawatan radioterapi.

“Di tingkat atas, kan?” katanya.

Bukan. Itu Klinik Radioterapi dan Onkologi. Unit Perancangan dan Rawatan Radioterapi berada di aras basement, aras bawah tanah!

“Mentang-mentanglah penyakit kita begini, mereka awal-awal lagi letakkan kita di bawah tanah...hahaha...” Dia ikut ketawa mendengar gurauan saya.

Oleh sebab badannya masih macam dulu, kalau tidak perhatikan betul-betul perubahan kulit; dia bukan seperti orang sakit. Macam saya jugalah!

Bukankah dia protege saya! Hehehe...

Seronok bertemu dengan adik itu. Orangnya berwatak baik, rajin dan mengambil berat. Sepanjang tempoh dia bercuti, tentu kawan-kawan rasa lain macam. Dia pensyarah cemerlang. Bukan mudah untuk mencapai tahap itu.

Saya selalu doakan dia. Dia antara yang ada dalam senarai nama yang saya sebut dengan jelas usai solat. Usianya masih muda. Anak-anak masih perlukan seorang ibu yang sihat. Saya yakin dia akan menang dalam pertarungan melawan tentera yang tidak kelihatan itu.

Dia menghantar saya ke lobi. Memegang-megang tangan saya.

Saya pulang dengan hati riang.

Alangkah indahnya persahabatan.