Total Pageviews

Saturday, June 8, 2013

Takdir Si Tempayan



Apakah yang lebih manis daripada kenangan zaman kanak-kanak?

Zaman bebas masalah. Zaman tidak peduli dengan karenah politik dan birokrasi. Zaman tidak kisah jika hanya berseluar pendek memanjat pokok rambutan masam.

Itu zaman manis. Meskipun hidup payah tetapi semuanya indah.

Hujan di luar sangat lebat. Dari cucur atap rumah Tuti, air hujan menerjuninya dengan deras. Bunyinya sangat enak. Air itu terjun ke dalam tempayan.

Tempayan.

Ia mengingatkan saya kepada takungan air itu. Tempayan di letakkan di sisi tangga dengan batok yakni gayung yang diperbuat daripada tempurung. Daripadanyalah terhasil peribahasa “melepaskan batok di tangga”. Selesai mencuci kaki, kita mendaki tangga dan melepaskan sahaja batok itu tanpa meletakkan ia ke tempat yang telah dikhaskan.

Orang zaman dahulu, kena cuci kaki dulu sebelum naik ke rumah. Sebabnya jalan penuh lumpur, kadang-kadang kena redah lorong kecil yang ada pacat atau duri. Kaki jadi kotor dan comot. Kadang-kadang ayah letakkan ikan puyu dalam tempayan, gunanya untuk menangkap bayi nyamuk, si jentik-jentik.

Sebab cerita ikan dalam tempayanlah menyebabkan saya tidak makan ikan keli, haruan atau yang seumpama dengannya.

Orang selalu tanya bagaimana saya boleh berkarya? Mak atau ayah orang sasterakah?

Mak tidak pernah masuk sekolah rasmi. Itu tradisi orang dulu-dulu. Pantang anak perempuan dihantar ke sekolah. Anak perempuan tempatnya di dapur.

Hanya di dapur. Noktah!

Saya berhasil menulis sebab mak. Sedikit-sedikit sebab ayah. Mak mesti bercerita sebelum tidur. Kata kakak, kadang-kadang mak sangat penat selagi saya belum lelap. Saya akan minta mak bercerita, lepas satu, satu. Jika kehabisan idea, mak akan mereka cerita. Ayah pun bercerita juga tetapi oleh sebab ayah bersekolah, cerita ayah selalu berkisar tentang sejarah atau susur galur keturunan kami.

Cerita mak tentang ular yang diletakkan dalam tempayan di sisi tangga dengan tujuan membunuh tuan rumah; memberi kesan kepada saya sehingga sekarang. Akhirnya oleh sebab tuan rumah suka membaca Bismillah, ular itu bertukar menjadi ikan haruan. Itulah asal usul ikan haruan, kata mak.

Jadi, apabila melihat ikan haruan, keli, atau sembilang; saya teringat...huhu...saya tidak sanggup!

Sudah belajar tinggi-tinggi pun, saya akur bahawa teknik mak bercerita sangat hebat. Kalau tidak, mengapa sampai sekarang, sudah setua ini, saya masih tidak boleh menjamah ikan itu.

Saya pernah lihat sebiji tempayan dalam salah sebuah bilik air di rumah mak. “Jangan buang,” kata saya. “Nilai seninya sangat tinggi!”

Kalau musim hujan, tempayan zaman kanak-kanak saya persis tempayan di laman rumah Tuti. Airnya bersembur-sembur keluar menghasilkan bunyi semanis kenangan. Tempayan juga ada di selang (pelantar yang dibuat daripada buluh atau batang pinang). Selang ini digunakan untuk membasuh pinggan atau jika kecemasan mahu kencing pada waktu malam.

Saya juga masih tidak lupa bagaimana tapak tangan bergalur merah sebab mengangkut air dari sungai demi memenuhkan tempayan. Penatnya bukan main sebab kena memanjat tebing sungai, selepas itu kena memanjat tangga dengan penuh hati-hati.

Air sungai itu dimasak untuk minum. Air itu juga digunakan untuk mencuci baju dan pinggan mangkuk. Malahan kadang-kadang saya tolong mak mencuci tangga yang dikotori najis ayam. Ayam itu mesti ingat tangga itu tandasnya. Masalah betul!

Macam yang dicakapkan oleh Cik Listen Listen, binatang pun ada masalah!

Kami kanak-kanak kampung peduli apa jika minum air yang tidak dimasak. Sudah penat bermain, buka paip di tepi jalan dan menadah mulut di situ. Kadang-kadang air paip putus, kami suka menghisap paip air sehingga airnya keluar sedikit. Kata kawan saya, jangan buat begitu, nanti keluar lintah.

Entah betul atau tidak dakwaan kawan saya itu.

Tempayan juga tempat mak meletak beras. Beras itu diambil daripada bekalan kepok yakni kepungan kayu tempat menyimpan padi. Ditumbuk-tumbuk dengan lesung kaki, ditampi dan terhasillah beras yang asli. Tidak dibubuh ubat macam sekarang. Nasi berbau wangi, beras hasil penat lelah mak ayah. Saya dan adik beradik lain pun tolong juga. Tolong menyibuk. Selebihnya bermain lumpur atau menangkap ikan karin (ikan laga) yang sarangnya dikesan melalui buih.

Meskipun saya anak kampung, tetapi ketakutan pada lintah tetap ada. Geli betul melihat si moluska itu melekap enak di kulit kita.

Mujur ada air dalam tempayan untuk mencuci darah yang terhasil daripada sedutan makhluk itu.

Musim hujan begini, nostalgia datang seperti tayangan filem.

Kini, tempayan sudah jadi sebahagian aksesori dalam rumah orang kaya-kaya.

Itulah takdir si tempayan.

Dahulu duduknya di dapur, selang dan sisi tangga.

Sekarang, duduknya di banglo-banglo mewah.