Total Pageviews

Friday, May 24, 2013

Mak



Petang murung. Sesekali guruh meraung. Patutlah siangnya panas pijar. Rupa-rupanya langit mahu menangis.

Kalau ikutkan hati, saya mahu pulang. Berada di depan mata mak, hati mak pasti lega.

“Mak kata kalau Yang masuk hospital lagi dan mahu mak pergi, beritahu. Mak asyik duduk menung di luar. Katanya hari ini Yang belum telefon,” saya baca mesej kakak dari Ipoh.

Menyesal pula saya beritahu mak bahawa saya akan menjalani rawatan minggu hadapan. Sekarang, mak sudah mula susah hati.

Malam selepas menerima panggilan dari hospital, saya menelefon mak.

“Mesti buat juga ke? Bukankah Yang dah sihat?”

Bagaimana saya mahu ceritakan ya? Memang saya nampak sudah sihat. Kalau disuruh berlari pun, rasanya saya masih boleh memecut. Tetapi bagaimana saya mahu beritahu bahawa ada sesuatu yang jahat sedang berada dalam tubuh dan perlu dibunuh?

“Biasalah. Dulu pun begitu. Bukan masuk wad. Ulang alik dari rumah. Sebulan, kecuali hari cuti. Prosedur biasa, mak!”

Mak di rumah sendirian, macam saya juga. Sudah tentu macam-macam bermain dalam mindanya jika tiada tetamu teman bercerita.

Bukan tidak mahu ajak mak ke sini. Saya susah hati melihat mak yang tidak betah duduk di rumah yang seperti kepuk padi ini. Mak sudah biasa di rumah kampung yang lapang, dia tidak boleh hanya duduk-duduk meriba tangan. Kadang-kadang saya fikir barangkali mak ada darah Cina. Asyik sahaja bekerja. Tidak penatkah mak?

Bercerita tentang keturunan itu, saya teringat apa yang tertulis di sijil lahir saya. Keturunan Ibu: Chinese.

Akhirnya saya dan mak pergi berjumpa pesuruhjaya sumpah. Tulisan Chinese itu dipotong dan ditulis Malay dengan pen merah.

Saya tidak kisah keturunan apa pun asalkan agama saya Islam. Saya beruntung menjadi Islam baka, ertinya lahir sahaja sudah Islam. Apabila mendengar ceramah, baru saya teringat, para sahabat nabi seperti Saidina Abu Bakar pun tidak dilahirkan sebagai Islam. Tetapi hebatnya mereka itu setelah memeluk Islam sebab nur Islam sudah menjadi sebati dalam diri masing-masing.

“Mak jangan risau banyak-banyak. Yang kan anak mak!”

Harapnya mendung di hati mak segera berlalu. Kalau sudah namanya ibu, dia tidak akan lena tidur sebaik sahaja kita dilahirkan sehinggalah hayatnya berakhir.

Penatnya menjadi mak!

Maka, Oh Allah...kasihanilah mak dan ayah sebagaimana mereka mengasihani kami semasa kecil. Lapangkanlah kehidupan ayah di barzakh dan tenangkan hati mak di dunia ini. Mereka ibu bapa yang baik, yang mengajar kami akan ketauhidan-Mu, mendidik lidah kami dengan ayat-ayat-Mu, mengenalkan kami dengan keagungan-Mu!