Total Pageviews

Wednesday, May 15, 2013

Kita Suburi Ladang Ibadah!



“Kalau kita meninggalkan anak isteri kita di padang tandus, apa doa kita? Kita pasti mendoakan agar anak isteri kita dicukupkan makanan, mohon sihat sejahtera dan dilindungi daripada bahaya...” sebut ustazah.

“Tetapi apa yang didoakan oleh Nabi Ibrahim tatkala meninggalkan isteri dan anaknya Ismail di tengah gurun yang tandus itu? Nabi Allah Ibrahim berdoa dengan doa yang sangat masyhur yakni, Ya Allah, Kau jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan keturunanku juga keturunan yang mendirikan solat...”

Demikianlah, apabila Nabi Ibrahim meletakkan kepentingan solat dalam semua urusannya, hatta ketika mendoakan isteri dan anak yang ditinggalkan itu.

Satu perkara yang dari muda sampai tua kita tidak henti-henti belajar ialah solat.

Dulu-dulu, kuat betul bisikan syaitan. Solat bukan sahaja dilewat-lewatkan, bahkan kadang-kadang ditinggalkan terus. Alasan? Letih, kerja banyak, malas, rancangan TV, asyik membeli-belah, tak sempat!

Sebenarnya, kesimpulan daripada semua alasan itu ialah LALAI!

Waktu kecil, bukan main rajin solat. Masuk usia remaja, sudah mula bermalas-malasan. Kadang-kadang ayah tegur melalui penasihatnya iaitu mak. Adik-adik lelaki lagi teruk. Bukan setakat curi-curi makan waktu bulan puasa, solat pun mereka main curi-curi juga.

Nasib baik Allah masih sayang. Sempat untuk kita berpatah balik, melakukan semakan ibadah dan bertaubat. Nasib baik juga Allah tidak ambil nyawa kita. Bayangkan siksanya hati mak dan ayah disebabkan perangai kita yang malas solat.

Salah mak dengan ayahkah? Mereka sudah cukup memberi tunjuk ajar. Ayah yang garang dan mak yang bertimbang rasa, satu kombinasi pendidikan yang hebat. Mereka ajar mengaji, mengenal al-Quran, ajar solat, ajar buat baik.

Yang salahnya kita. Kita yang telah diajar di sekolah dan rumah tetapi masih lagi patuh kepada arahan syaitan. Tenggelam kita sekejap dalam keseronokan sahabat baik kita si syaitan dan kumpulannya.

Solat itu wajib. Ertinya, kalau kita sakit sekali pun, wajib solat. Sudah menutup aurat dengan sempurna, solatlah walaupun tanpa pakaian “rasmi” muslimah Malaysia dan Nusantara yakni telekung berwarna putih. Jangan beri alasan tidak solat sebab tiada pakaian “rasmi” itu yang seakan “mesti” dipakai muslimah Nusantara. Di negara Arab, benua China dan Eropah, muslimah solat dengan pakaian yang dipakai mereka asalkan memenuhi syarat. Solatlah di mana-mana jika tidak menemui surau atau masjid asalkan tempatnya bersih.

Membudayakan solat di Malaysia? Dengan izin-Nya, pasti akan terjadi. Jangan memandang jengkel jika ada anak-anak muda yang berpakaian jeans koyak atau tidak bertudung, masuk ke masjid untuk bersolat. Jika kita melihat dengan jelingan, mereka akan semakin jauh daripada agama. Barangkali dengan penerimaan kita, hati mereka menjadi lunak terhadap agama. Hidayah Allah tidak mengenal siapa. Semalam mereka bobrok, esok barangkali mereka berubah mulia.

Ingat selalu (kepada diri sendiri juga) bahawa Allah tidak melihat di mana permulaan kita tetapi Dia melihat di mana pengakhiran kita.

Semoga akhir usia kita berada dalam pelukan kasih sayang Allah. Apa yang telah berlalu, biarkan berlalu. Kita isi masa yang masih ada dengan mendekati-Nya. Yang berlalu itu bukan setakat pengalaman, bahkan menjadi pengajaran. Apabila kita mengorak langkah berusaha menjadi baik, akan ada yang mengorek-ngorek kekhilafan kita pada masa lalu. Tidak mengapa. Orang yang mahu berubah baik, memang begitulah ujiannya.

Sekali berbuat silap akan menenggelamkan sepuluh kali berbuat baik. Itu hal biasa. Ayuh, mari kita tebas dosa-dosa silam. Kita suburi ladang hidup dengan amalan-amalan baik.

Bersolatlah sebelum sampai masanya kita terbaring kaku di hadapan sekumpulan orang yang menyolati kita!