Total Pageviews

Thursday, May 16, 2013

Cinta Itu...Cikgu!



Sejujurnya memang saya lupa.

Saya bercinta selepas mengahwininya secara paksa.

Dia bukan pilihan saya. Langsung tidak terlintas di minda. Saya tidak berminat. Memandang sebelah mata pun tidak.

Tetapi takdir Allah siapalah tahu. Buruk bagi kita tetapi baik bagi-Nya.

Saya terpaksa memilihnya disebabkan desakan keadaan. Meskipun sudah masuk dua puluh tiga tahun, sesekali saya masih tidak percaya.

Ya, masih ada sedikit terkilan sebab saya hanya manusia biasa. Banyak kemahiran saya hilang ketika bersamanya. Saya sudah tidak lancar berbahasa Inggeris seperti sebelumnya. Daya kreatif sedikit terbantut. Minda terbeban dengan hal-hal yang cerewet dan kadang-kadang tidak praktikal.

Namun, duduk diam merenungnya, saya kena bersyukur kerana memilih dia. Dengannya, saya punya anak yang ramai. Anak-anak itu bertebaran di seluruh Malaysia, malahan ada yang sedang bekerja di luar negara. Anak-anak itu ada yang berkulit gelap, kuning langsat atau sawo matang. Itu kata orang. Saya buta warna sebab bagi saya warna kulit mereka adalah sama.

Dengannya juga, saya boleh membahagi waktu agar anak-anak itu diberi perhatian sama rata.

Cinta saya yang lama terpaksa saya lupakan. Tetapi cinta pertama terlalu sukar untuk dibuang begitu sahaja.

Nampaknya anak-anak saya juga tidak meminatinya persis saya. Saya tidak boleh memaksa. Paksaan boleh menyebabkan hati derita.

Meskipun dia bukan cinta sejati saya, tetapi demikianlah suratan takdir yang ditentukan Allah buat saya. Saya gembira tatkala ada anak-anak yang sudah puluhan tahun terpisah, kembali menyapa ibunya. Itulah kebahagian saya.

Sekali bersamanya, sehingga hujung nyawa saya tetap akan bersamanya.

Saban tahun, kami menyambut hari peringatan itu.

Cuma oleh sebab masih terkenang cinta pertama, kadang-kadang saya terlupa.

Mudah-mudahan apa yang saya serahkan kepadanya menjadi amalan baik yang akan membantu saya menuju syurga.

Saya akan berusaha menyintainya sehingga menjadi satu jiwa. Tatkala menyanyi lagu cinta kami saban tahun, ada rasa yang meremangkan bulu roma, air mata seakan mahu menitis. Keazaman tiba-tiba muncul.

Selamat Hari Guru buat guru-guru saya. Tadika Banggol Belimbing, SK Banggol Belimbing, Methodist Girls School, Clifford School, Universiti Malaya, Institut Bahasa, Universiti Utara Malaysia...di situ saya mengenal para pendidik yang berdedikasi, mengajar saya tulis baca, berhujah mencanai minda.

Untuk guru pertama saya, mak yang hebat, dan guru kedua saya yakni almarhum ayah; terima kasih saya ucapkan. Mak mengajar saya banyak perkara yang tidak tertulis dalam buku sehingga saya merangkul bergulung-gulung ijazah dalam universiti kehidupan.

Ramai yang telah menjadi guru saya. 

Pengalaman adalah sekolah hidup.

Terima kasih cikgu!

Dua puluh tiga tahun, saya masih bertahan dalam pelukannya. Jika umur saya masih panjang, lagi dua belas tahun kami akan berjodoh.

Meskipun selepas saya meninggalkannya, saya tetap akan disapa dengan panggilan keramat itu... “cikgu”!