Total Pageviews

Sunday, May 26, 2013

Ketukan Itu...



Ustaz Zul bercerita tentang satu peristiwa dalam LRT.

Tatkala LRT berhenti di satu stesen, seorang bapa masuk bersama dua anak lelakinya yang masih kecil. Bapa itu terus duduk, menyandarkan kepalanya ke belakang dan menutup mata. Dua anak lelakinya dibiarkan berlarian dari satu hujung ke satu hujung, bergumpal, bergantungan di tiang, berlompatan, menarik majalah dan akhbar penumpang lain.

Semua penumpang di koc itu berasa begitu terganggu.

Sedangkan si bapa masih terus duduk bersandar dan memejamkan mata seperti langsung tidak peduli.

Salah seorang penumpang akhirnya membuat keputusan. Daripada membiarkan, lebih baik dia cuba untuk menyelesaikan masalah. Lalu dia bangun dan duduk di tepi si bapa. Diletakkan tangannya atas paha si bapa, ditepuk-tepuk sedikit dan akhirnya bapa itu membuka mata.

“Encik, sebenarnya saya ingin beritahu. Anak-anak encik mengganggu dan kami rasa sangat terganggu...”

Bapa itu tadi dapat melihat dengan jelas, dua anak lelakinya yang sedang bergumpalan di lantai LRT. Dia bangun mahu mendekati anak-anaknya, tetapi kemudian dia berhenti. Dia kembali ke tempat duduk dan menutup wajah dengan kedua-dua belah tangannya, langsung menangis.

Melihatkan kelakuan si bapa, sahabat yang bertanya itu kehairanan.

“Encik, jika encik mahu ceritakan sesuatu kepada saya, ceritakanlah...”

Bapa itu, setelah esakannya reda, mula bercerita:

Jika encik mahu memukul anak-anak saya, silakan. Saya izinkan.

Sebenarnya begini, saya ada seorang isteri yang sangat saya sayangi. Dia selalu mengadu kepalanya sakit. Saya selalu memicit kepalanya. Suatu hari saya mendengar jeritan dari dapur. Saya dapati isteri saya sedang terbaring. Saya membawanya ke hospital. Rupa-rupanya doktor mengesahkan bahawa ada ketumbuhan yang sedang menghimpit otaknya. Itulah punca kesakitan isteri saya.

Dia kemudiannya dimasukkan ke dalam wad yang paling rapi dalam hospital itu. Anak-anak saya tidak dibenarkan bertemu ibu mereka. Ibu dan anak-anak ini tidak pernah berpisah. Apa yang berlaku kepada anak-anak saya? Mereka menjadi murung, enggan berkawan, hanya duduk diam dalam bilik, tidak mahu makan dan tidur malam selalu terbangun menyebut-nyebut nama ibu mereka.

Selama sebulan itu mereka dipisahkan. Isteri saya memohon agar anak-anak dibenarkan bertemunya tetapi doktor tidak membenarkan. Dan semalam adalah hari yang paling menggembirakan saya. Isteri saya mengatakan jika pertemuan itu boleh dibeli dengan wang, keluarkanlah semua wang dalam akaunnya supaya dia dapat bertemu dengan anak-anak. Setelah didesak, akhirnya doktor membenarkan kami bertemu dengan syarat hanya sebentar cuma.

Saya pulang ke rumah dan memberitahu anak-anak saya. Mereka berlompatan kegembiraan dan berlarian di sekeliling rumah, menjeritkan nama ibu mereka. Mereka terlalu gembira. Mereka tidak sabar untuk menunggu ketibaan pagi hari ini.

Akhirnya siang hari ini pun tiba. Kami bangun dengan cepat dan anak-anak saya keriangannya luar biasa. Mereka menarik-narik saya agar segera membawa bertemu ibu mereka.

Waktu saya sedang menutup pintu pagar, telefon berdering. Di hujung sana, ada suara yang menyebut nama saya.

Saya mengiyakan. Apa katanya? “Encik, ini panggilan dari hospital. Kami mahu maklumkan bahawa isteri encik telah meninggal dunia...”

Pada saat saya mendengar berita itu, anak-anak sedang menarik seluar saya dengan permintaan agar segera membawa mereka bertemu ibu.

Bagaimana saya mahu memberitahu mereka bahawa selama sebulan dipisahkan daripada ibu mereka adalah sebagai satu latihan persediaan buat mereka untuk berpisah selama-lamanya.

Encik, jika encik boleh menghentikan kegembiraan anak-anak lelaki saya sekarang dan memberitahu mereka perkara sebenar, saya mohon encik melakukannya.

Sahabat itu terpaku. Berbanding penumpang lain dalam LRT itu, dia melihat anak-anak tersebut dengan pandangan berbeza setelah mengetahui cerita sebenar.

Rupa-rupanya begitu.

Ada orang yang menjadi begitu dan begini disebabkan sesuatu hal yang melingkari kehidupan mereka.

Kita juga.

Namun, jangan dibiarkan perlakuan-perlakuan itu menjadi dominan. Menuding jari kepada keadaan biarlah sebentar, sebagaimana lazimnya kita respon terhadap sesuatu kejadian. Selebihnya kita baiki kerosakan dan kekurangan itu dengan ilmu.

Kita juga sebagai orang yang melihat, perlu memandang dengan hati dan memahami dengan ilmu.

Apabila kita saling mengerti, segala kepedihan perlahan-lahan mengucap pamit. Kita akan berlapang dada untuk memberi dan menerima kemaafan.

Saya mengesat mata. Muzik iringan dan suara ustaz menyebabkan saya teresak.

Ada ketukan kuat di pintu hati saya.

Ketukan yang begitu menginsafkan.