Total Pageviews

Sunday, May 5, 2013

Allah, Jagalah Hati-Hati Kami!



Kami memandu dengan hati yang riang. Lebuh raya menuju utara dipenuhi kereta.

Ini kali kelima saya mengundi. Dua kali di Lembah Pantai dan tiga kali di Perak.

Anak saya yang bongsu membawa kamera DSLRnya bersama-sama. Banyak yang saya mahu dia rakam sebagai kenangan.

Dia mengiringi saya ke pusat mengundi. Saya mahu dia melihat dengan hati. Sebelum itu saya sudah berpesan, “ini kawasan pedalaman. Suasananya barangkali berbeza. Itu Saluran Satu, saluran mengundi untuk yang berusia lima puluh tahun ke atas. Saluran Dua, untuk mereka yang lebih muda”.

Saya beratur panjang dalam hangat matahari pagi di Saluran Dua. Jari telunjuk saya dicat dengan apa yang didakwa dakwat kekal. Dengan Bismillah, saya memangkah. Dakwat itu tidak kekal. Saya mencucinya dengan sabun. Hilang lesap begitu sahaja.

Kami kemudian meronda di sekitar kawasan parlimen P055, kubu kuat kepada sebuah parti politik.

Seorang penyokongnya bising-bising selepas selesai mengundi.

“Pengundi yang balik mengundi di Kampung A dan Kampung B, malahan di kampung-kampung lain, semuanya dapat wang selepas mengundi. Tapi apabila saya minta kepada ketua kampung di sini, katanya tiada peruntukan...”

“Eh, mintalah,” kata saya, mengacum. “Mana boleh begitu. Sudah ada peruntukan, ke mana pula perginya wang itu?”

Dia tidak puas hati. Rupa-rupanya memang ada peruntukan, tetapi ketua kampung kami hanya memberikan peruntukan balik mengundi kepada mereka yang rapat dengannya sahaja.

“Makyang tak mahu minta?” dia bertanya. Saya tergelak. Cepat pula saya menggeleng. Saya pulang jauh berkilometer bukan kerana wang.

Kami menunggu pengumuman. Terlalu lama dalam sejarah pilihan raya yang saya pernah hadapi, yang keluar di muka TV hanyalah keputusan di Sarawak yakni sebuah negeri yang kemudahan logistiknya ada masalah. Saya membuka internet. Cuba mencari info di maya.

Entah kenapa bekalan elektrik terputus di seluruh kawasan. Mujur ada lampu daripada telefon bimbit. Dua puluh minit kami bergelap.

Tiba-tiba hujan turun dengan lebat. Kilat dan guruh sabung menyabung. Hujannya sangat lama. Mak sudah mula mengemas, bimbang banjir. Kilatnya lain macam. Guruhnya sangat kuat. Hati saya berdetik. Petaka apakah ini?

Adik saya menelefon dari Ipoh mengkhabarkan berita gembira.

"Petugas dari SUK sudah beri makluman, Alhamdulillah!"

Tetapi hati berdetik. Pengalaman kali pertama "dikenakan" bermain di minda. Apa-apa pun boleh berlaku.

Kemudian dia menelefon lagi, "FRU sudah mengepung pejabat SUK. Wakil xxx ditolak keluar. Tiada siapa di dalam kecuali dua pihak terbabit".

Bukankah betul kata hati saya?

Jam satu pagi, barulah ada pengumuman. Sudah bertukar!

Hujan dan guruh yang menjerit-jerit itu rupa-rupanya memberi makna.

Mak yang hanya diam malam itu, pagi esoknya mula menenangkan hati kami. Mak yang tidak sekolah, orang kampung yang miskin kepingan ijazah tetapi kaya pengalaman, menyiram hati dengan kata-kata.

“Mak mentua mak dulu, sebelum ke Mekah dan meninggal di sana suami isteri, telah berpesan pada mak. Yang penting ialah kemenangan di akhirat. Kita orang kecil, bayangkan para ulama yang bersusah payah sepanjang hidup mereka; bagaimana rasa hati mereka menghadapi segala kegetiran, dizalimi dan dihina. Apa pun yang berlaku dengan izin Allah. Kita tidak tahu apa perancangan Dia. Sebulan, dua bulan, setahun, sepuluh tahun atau beratus tahun, kita tidak tahu...”

Ya, kita tidak tahu.

Pagi itu dalam cuaca yang senyap, saya berdoa. Mudah-mudahan Allah terus memakmurkan negara saya. Tiada lagi politik lucah, indeks jenayah dan rasuah menurun, tiada lagi konsert-konsert yang melalaikan, masjid dipenuhi majlis-majlis ilmu.

Mudah-mudahan ia bukan sekadar impi dan mimpi.

Satu hari nanti...

Sebab hidup kita tidak berakhir di jalan mati.

Ada jalan lain yang bersambung dengannya ke akhirat kelak.

Maka selalulah kita berdoa, jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan jadikanlah keturunanku juga orang-orang yang mendirikan solat.

Solat akan menjaga hati. Hati yang baik pasti takut untuk menipu. Hati yang baik akan membenci semua kebatilan.

Rabb, Kau peliharakanlah hati-hati kami!

Saya faham akhirnya bahawa Allah mahu melindungi keselamatan nyawa dan harta benda kami, maka itulah diberikan kekalahan. Jika sebaliknya, entah apa yang akan terjadi!