Total Pageviews

Sunday, April 14, 2013

Sembuhkanlah Dia, Ya Rabb!



Kata Ustaz, ada tiga tahap bagaimana kita menghadapi ujian dalam kehidupan.

Pertama, sabar. Kita rasa susah dan sakit tetapi kita sabar.

Kedua, redho. Saat itu susah pun kita tidak rasa susah. Sakit pun kita tidak rasa sakit.

Ketiga, syukur. Kesusahan dan kesakitan itu menjadi satu nikmat pula kepada kita.

Masya-Allah, demikianlah rupa-rupanya tangga-tangga yang perlu ada dalam hati kita apabila diributi dengan ujian.

Mendengar berita sahabat kita dalam kesakitan merupakan sesuatu yang sangat melukakan.

Saya memanggilnya “Ustaz Handsome”. Dia sahabat baik saya sewaktu menjadi pensyarah di sebuah kolej. Dia lahir sama tahun tetapi sebagaimana yang lain, dia selesa memanggil saya “kakak”. Saya sendiri sangat gembira dan berasa dihargai jika mereka yang sebaya atau yang lebih tua memanggil saya begitu.

Ada tiga tempat yang saya biasa dan pernah dipanggil demikian.

Pertamanya, di universiti pertama saya sekitar awal 1980-an, di kolej itu dan di TMS.

Kenapa saya memanggilnya “Ustaz Handsome”?

Pertamanya, dia bermisai dan misainya kemas. Selebihnya memang dia tergolong lelaki kacak. Orangnya pendiam, tidak gemar meninggi diri.

Saya masih ingat, selepas era reformasi, kami berenam, empat lelaki dan dua perempuan, adalah kumpulan yang mula-mula dihantar untuk “dicuci otak” di Kem Ulu Sepri.

Suatu pagi, saya memanggilnya “Ustaz...kak tak nampak ustaz semalam...”

Semua orang menoleh.

“Ustaz?”

Rupa-rupanya sepanjang berada di kem, dia menyembunyikan identitinya. Memang selama mengenalinya, dia jarang sekali kelihatan berkopiah atau berjubah. Pakaiannya kemas. Dia memang benar-benar berperibadi merendah diri.

Dengan saya, dia suka juga mengeluarkan pendapatnya khususnya berkaitan politik dan isu semasa. Orang pendiam sepertinya tatkala mengeluarkan hujah, memang sangat bernas. Selepas saya berpindah, beberapa kali juga saya dan sahabat-sahabat ini bertemu. Malahan waktu mengetahui saya sakit, dia ada menelefon dan mendoakan kesembuhan.

Itulah sebabnya hati sangat sedih tatkala menerima khabar bahawa Ustaz menderita sakit. Kata anak angkat saya, badannya sudah kurus dan sukar mahu bicara. Bagaimana saya mahu menziarahi sahabat saya itu sedangkan hati saya tidak tega melihat kondisinya?

“Ustaz ambil cuti tanpa gaji. Dia berubat alternatif”, cerita seorang sahabat lagi, juga yang sebaya saya tetapi turut membahasakan saya “kakak”. Sahabat saya ini sedang menyiapkan pengajian doktor falsafahnya dan juga diuji dengan sakit yang sukar dibuktikan dengan ilmu medikal.

“Orang baik-baik, begitulah. Allah sayang dia, Che Wan. Allah sayang dia”, kata saya tidak tahu bagaimana mahu mengungkapkannya lagi.

Mudah-mudahan Ustaz berada pada tahap syukur. Ustaz menikmati ujian sakit itu dengan doa agar Allah menggantikan ujian-ujian itu dengan sesuatu yang lebih baik.

Mudah-mudahan Allah juga memberikan kekuatan kepada isteri dan anak-anak Ustaz. Menganugerahkan ketabahan yang berganda kepada mereka sekeluarga.

Saya selalu ingat kebaikan-kebaikan saudara saya itu. Dia antara yang kukuh menyokong saat saya ditindas. Dia antara sahabat yang tidak pernah berpaling ketika saya dibuli dengan teruknya.

Dengan kebaikan-kebaikan itu, moga-moga Allah melorongkan penyembuhan buat Ustaz.

Ustaz pasti sembuh dengan izin Allah.

Bersyukurlah Ustaz. Allah mahu membuang sisa-sisa dosa Ustaz. Dia mahu anugerahi Ustaz dengan syurga-Nya.