Total Pageviews

Tuesday, April 2, 2013

Berdoalah...



Ustazah yang masih muda dan lemah lembut itu menyebut dengan jelas. Ayat yang berupa peringatan kepada ibu bapa.

“Kita bukan sahaja menjadi pembimbing kepada anak ketika mereka melakukan kebaikan tetapi kita juga perlu membimbing ketika mereka melakukan kesilapan. Mudah-mudahan ketabahan, doa dan kekuatan hati ibu bapa ketika menghadapi kesilapan anak itu menyebabkan Allah memberikan taufik dan hidayah-Nya kepada anak-anak kita...”

Ulasan saya...

Selalu dalam kalangan kita, apabila anak membuat kesilapan dalam kehidupan, kita cenderung untuk sukar memaafkan. Kita marah semarah-marahnya dan langsung tidak mempedulikan.

Cuba duduk diam-diam dan merenung diri. Kita ini sempurnakah? Akhlak kita saat muda dahulu suci murnikah?

Barangkali kesabaran ibu bapa dalam menangani kesilapan yang pernah kita buat dahulu telah menjadikan Allah memberikan taufik dan hidayah-Nya kepada kita. Daripada jahat kita menjadi baik. Daripada jahil kita menjadi tahu. Kita keluar dari lubang yang kita jatuh ke dalamnya. Kita mulakan hidup baharu dengan menghapuskan jejak-jejak lama.

Kata Allah, sesungguhnya orang-orang yang bertaubat itu amat mulia di sisi-Ku!

Mengapa banduan yang keluar penjara akhirnya kembali semula ke dalam sel? Mengapa bekas penagih yang sudah bertekad mahu membebaskan hatinya daripada ketagihan akhirnya kembali menagih? Mengapa pelacur yang mahu kembali ke dunia bersih akhirnya kembali semula ke lorong kotor?

Mengapa?

Sebab ramai antara kita yang berasakan bahawa kita ini manusia suci. Kita dalam golongan kasta tinggi dan mereka itu tidak layak sama sekali minum daripada gelas yang sama dengan kita.

Bak kata UAI, kalau Allah tidak menutup keaiban kita dan membuka kesemuanya, maka tiada satu pun yang baiknya kita ini.

Bukan maknanya jika anak melakukan kesilapan, kita langsung tidak marah, malahan melompat-lompat kesukaan.

Bukan begitu.

Marah itu perlu. Menegur itu wajib. Mengingatkan itu mesti.

Tetapi bukan langsung tidak peduli. Tidak mengaku anak atau apa sahaja yang setaraf dengannya.

Apa akan jadi jika ada yang mengambil kesempatan? Banyak kes yang berlaku dalam kalangan muslim yang akhirnya murtad disebabkan hal sebegini.

Mubaligh-mubaligh yang berselindung di sebalik pertubuhan tertentu mengambil peluang mendekati anak yang terkontang-kanting ini lalu membantu mereka.

Mula-mula tiada elemen dakwah tetapi ibarat menarik benang dalam tepung, perlahan-lahan jarum disuntik. Apa yang akan kita jawab tatkala ditanya Allah di akhirat kelak?

Kalau anak itu menagih, sudah pasti hati ibu bapa sentiasa dirundung resah. Doa mereka sentiasa mengiringi si anak. Mahu diikat kaki, anak sudah dewasa. Sudah puas dinasihati, masih begitu. Kadang-kadang sampai ke tahap anak itu dipulaukan. Berubahkah dia jika begitu?

Jika ada rezeki, maka dia akan berubah. Tetapi tidak kurang juga yang terluka hati. Apabila berasa jauh hati dengan layanan “kelas ketiga” ibu bapa dan adik beradik, apa akan terjadi?

Ada doa ibu bapa yang puluhan tahun baru dijawab Allah. Wahai ibu bapa, bergembiralah dengan jawapan Allah itu. Itu petanda bahawa Dia masih peduli.

Jika belum, bukan maknanya Dia membenci. Allah merindui rintihan hamba-Nya. Dia mahu hamba-Nya selalu dekat. Bukankah Dia Maha Pengasih?

Siapalah kita untuk menyerah kalah jika baru sahaja belajar berdoa kepada-Nya atas kesilapan yang anak kita lakukan.

Berdoalah. Itu senjata kita. Senjata orang-orang yang mengaku beriman kepada Allah Yang Maha Mendengar.