Total Pageviews

Tuesday, April 23, 2013

Mencari Cahaya Illahi Rabbi



Allah tidak melihat di mana kita bermula tetapi Allah melihat penghujung kita.

Ayat itu benar-benar memberikan rasa lega kepada sesiapa yang merasakan dirinya berdosa. Saya selalu membaca ayat ini tatkala hati tiba-tiba diburu rasa sedih.

Menimbun dosa kita kepada Allah, kepada mak, ayah, suami, anak-anak dan kehidupan. Tetapi seperti yang saya katakan, semalam telah berlalu. Esok adalah harapan. Dengan harapan itulah kita cuba mendekati kebaikan, cuba meninggalkan dunia jahiliyah yang kita sendiri memilih untuk berada di dalamnya.

Tengah malam yang sunyi ini, terasa seperti mahu menangis. Entah sempat atau tidak kita menebus segala dosa silam sebelum berangkat ke sisi-Nya. Entah bagaimana keturunan yang kita tinggalkan. Entah apa nasib kita di dunia sana.

Kita membesar dan mendidik anak dengan mengutamakan dunia. Maka dunialah yang mereka kejar. Mahu keputusan akademik yang bagus, mahu pekerjaan yang bagus, mahu semua yang bagus-bagus. Kita berbangga apabila anak kita cemerlang dalam peperiksaan awam. Hebatnya kita menjadi ibu bapa kepada seorang bijaksana.

Ada atau tidak rasa bangga kita tatkala melihat anak yang sangat mematuhi syariat agama? Adakah kita berasa susah hati melihat anak kita selamba sahaja mengabaikan solat, merangkak-rangkak untuk mengaji atau menghafal surah pendek?

Kita telah melepaskan masa lalu dengan sia-sia. Kalau pun ada masalah kewangan sehingga tidak mampu menghantar anak ke sekolah agama swasta, itulah penyesalan saya yang terbesar. Memang anak-anak kita bersolat, tetapi adakalanya tertinggal juga sebab tertidur kepenatan. Memang anak-anak kita boleh mengaji tetapi tidak menghayati. Memang kelihatan menutup aurat tetapi imannya bagaimana?

Mudah-mudahan kita masih ada waktu mencukupi untuk membetulkan kesilapan. Siapa kita di dunia dan apa yang kita lakukan di sini adalah gambaran apa yang bakal kita peroleh di akhirat kelak.

Allah tidak melarang kita untuk menjadi kaya. Allah juga menggalakkan kita menuntut ilmu duniawi dan ukhrawi. Kitalah yang kena mengawal dan memastikan bahawa apa sahaja yang kita lakukan tidak tersasar daripada landasan.

Masihkah ada cahaya Illahi buat kita?

Masih!