Total Pageviews

Wednesday, April 24, 2013

Perlukah Berubah?



Perlu berubahkah setelah tiba-tiba bergelar datin?

Itu soalan yang pernah ditanya oleh seorang kawan.

Dia seorang yang bergelar datin setelah suaminya dikurniai gelaran dato'. Sudah hampir berbelas tahun dia bergelar datin.

Datin ini seorang guru. Kalau melihat luarannya, dia macam guru yang lain. Waktu sekitar hujung delapan puluhan, jika tidak bertudung, satu hal biasa. Demikianlah datin itu. Rambutnya panjang hingga ke pinggul. Rambut itu diikat kemas. Dia mengajar bahasa Inggeris.

“Kak tak nampak mengapa kita mesti berubah menjadi orang lain. Maksud kak, macam perangai datin yang kita selalu tengok di kaca TV. Tak terfikirkah bahawa masyarakat sedang mengejek kita melalui drama TV?”

Bukan “kita”, kak! Saya bukan datin dan tak mungkin bergelar datin.

Betullah katanya. Maaf, kadang-kadang suami tidak apa-apa, tetapi isteri pula yang lebih-lebih. Suami bina busut tetapi isteri bina gunung! Itu perumpamaan baharu yang saya cipta!

Bagi sesetengah orang, yang bernama datin itu mesti gojes! Di pergelangan tangannya mesti ada gelang emas yang tebal-tebal. Jari jemarinya mesti berhias indah dengan cincin permata. Rantai macam rantai basikal mesti menghiasi baju yang kainnya diimport khas dari luar negara. Kasut juga dibeli dari Harrods. Tas tangan jenama Birkins.

Datin juga mesti berjalan dengan anggun, tidak boleh jalan bersepah. Bercakap pun mesti bahasa Inggeris. Tidak pandai belakang kira, janji ada seketul dua bahasa Inggeris dalam perbualan. Mekap juga kena jaga. Penampilan yang gojes sangat penting, takut-takut nanti ada artis yang mengendap si dato'.

“Penampilan itu memang penting, kalau pun bukan sebab jadi datin,” saya masih ingat kata-katanya.

Datin-datin ini mesti ada ilmu protokol sebab banyak menghadiri majlis melibatkan orang kenamaan. Biasanya mereka akan diberi kursus etiket berpakaian, etiket di meja makan, sehinggalah kepada cara masuk dan keluar kereta, cara berjalan dalam majlis, cara duduk dan berdiri. Etiket ini ala-barat sebab protokol yang diamalkan di negara kita diambil daripada protokol barat. Cuma waktu saya mengajar dahulu, saya menyebut juga bahawa itu hanyalah sekadar ilmu, praktikalnya bergantunglah kepada budi bicara dan budaya kita.

Seorang teman lagi, saya nampak dia di surat khabar; memang penampilan sudah lain. Dahulu dia bertudung labuh dan berjubah. Apabila sudah jadi datin, memang dia sudah bertukar. Barangkali dia pun mengalami tekanan sehingga terpaksa menukar gayanya. Apa boleh buat, kalau sudah demikian definisi kedatinan yang wujud dalam masyarakat kita.

Kawan-kawan pun berebut-rebutlah mahu rapat dengan mak datin. Mana tahu aura kedatinan akan menyinggah pula kepada mereka.

Begitulah cerita dunia.

Bukan semua datin berperangai macam yang kita lihat di TV. Ada datin yang mahu makan pun susah! Duduk di flat dua bilik yang sempit. Pergi ke sana sini dengan bas.

Ada juga datin yang tidak kelihatan macam datin. Pakaiannya biasa-biasa, menghormati orang lain, menjaga tertib percakapan, tahu batasan agama, tidak berlagak, malahan sangat merendah diri.

Tetapi ada juga yang tidak menoleh kalau kita memanggil mereka tanpa pangkal datin. Atau kalau menoleh pun, muka sudah kecut sedikit. Ada juga yang siap mengherdik, “I datin tau! Datin! Sila panggil I dengan gelaran datin!”

Mati esok cubalah herdik malaikat yang datang bertanyakan soalan kubur!

Melihat seorang sultan yang berada di dalam liang kubur untuk membantu mengebumikan salah seorang rakyatnya, cukup mengharukan. Figurnya sangat sederhana, dengan kopiah putih dan baju pagoda.

Alangkah manisnya pemandangan itu.

Tiba-tiba saya berangan-angan mahu menjadi salah seorang rakyat baginda!

Masalahnya, saya tidak suka budu, tempoyak atau yang seumpama dengannya!

Nampaknya, saya akan gagal dalam temu duga pusingan pertama!