Total Pageviews

Monday, April 22, 2013

Cuaca Yang Berubah



Sekarang cuaca sudah beralih. Menjelang petang, langit kelabu. Kadang-kadang bumi disimbah hujan.

Cuaca apa pun, setiap minggu saya ke hospital. Tahun ini, suami menghantar dan menunggu hingga selesai. Sudah tentu sukar untuk menghadapi situasi duduk-duduk menunggu untuk orang jenis praktikal sepertinya. Minggu ini anak menemani sebab Daddynya menjalani audit.

Minggu ini simulasi radio. Tatu yang dibuat untuk radio tahun lepas sudah tidak kelihatan. Tatu baharu dititik di kawasan yang akan menerima radiasi. Lenguh juga terbaring tidak boleh bergerak, disorong keluar masuk ke dalam CT Scan untuk mengambil bacaan kawasan untuk radio.

Mengunjungi tempat itu buat kali kedua, bukanlah satu keinginan. Tetapi kebanyakan yang datang itu terpaksa menghadapi kenyataan bahawa apa pun yang berlaku, kemaraan virus itu mesti disekat. Seorang wanita berpakaian santai, memberitahu saya, “tak apalah, kita terima saja. Saya pun kali kedua...”

Orangnya sangat cergas dan masih muda. Melihat dia yang energetik memang menyuntik semangat. Barangkali usianya sekitar 30-an atau awal 40-an.

Mereka yang ada di situ memang kelihatan tidak sakit. Kalau bersama dengan kelompok masyarakat di luar, tiada siapa pun yang tahu bahawa dalam badan mereka ada virus maut yang tidak tidur atau berehat. Saya melihat ini sebagai fenomena “penafian”. Kita cuba menafikan sedaya upaya bahawa ada sesuatu yang sedang mengancam nyawa kita. Maka kita melawannya dengan berlagak biasa atau sedikit luar biasa. Atau juga sebab sudah “terbiasa” diuji dan diuji sampai kadang-kadang terlupa.

Kadang-kadang kita juga tidak mahu simpati orang akan melemahkan semangat juang. Sebab itulah kita cuba menjadi senormal orang lain walaupun selepas itu kita berasa sangat penat. Ada orang yang telah menjalani pembedahan dan semua kalenjar limfanya dibuang, masih berupaya menceburi bidang sukan angkat berat. Saya pun cuba-cuba juga mengangkat lesung batu. Mana tahu esok-esok boleh masuk acara angkat berat!

Virus itu hanyalah penyebab. Mati itu pasti. Hari ini kita mendengar berita kematian orang, esok-esok giliran orang pula.

Ada orang yang segar-bugar petang ini, malam sudah menjadi allahyarham. Ada orang yang terlantar bertahun-tahun, hari ini sudah kembali sihat.

Yang penting ialah usaha dalam lingkungan yang diredhoi Allah. Jangan pergi ke dukun-dukun yang sibuk berjampi serapah dengan asap kemenyan. Boleh mencuba rawatan alternatif, rawatan moden, herba dan merawat dengan ayat al-Quran. Jangan sesekali tertipu, sikit-sikit buatan orang, sikit-sikit tersampuk hantu. Kalau kita suka sangat mengagungkan benda-benda hitam itu, makin sukalah hati mereka untuk merosakkan akidah kita.

Seperti cuaca yang berubah-ubah, begitulah perjalanan hidup kita. Pagi yang cerah tidak menjanjikan cerahnya hingga ke petang. Barangkali guruh akan berdentum di tengah hari. Atau pagi hujan mencurah-curah tetapi tatkala petang, matahari lambat sangat mahu berundur.

Hujan sudah turun di luar. Guruh pun berbunyi sayup-sayup. Sebentar lagi malam akan tiba. Esok adalah harapan. Hari ini sudah berlalu.

Wah, saya masih sempat membaca tulisan tentang Pokok Sukarno di Saudi Arabia!