Total Pageviews

Saturday, April 20, 2013

Menanti Posmen



Waktu saya remaja, hanya surat pengganti diri. Tiada telefon bimbit, Facebook atau Twitter.

Setiap hari, ada seorang lelaki yang kelibatnya sangat dinanti. Dia datang membawa kegembiraan, jarang sekali membawa kedukaan. Dengan motosikal merahnya, jika dia berhenti di hadapan rumah, bermakna ada surat buat penghuninya.

Alangkah hebatnya tugas seorang posmen. Dia menyambung siraturrahim. Dia menjadi jambatan dua hati.

Di kampung, meskipun tidak bersekolah di sana; posmen memang sangat mengenali nama saya. Apa tidaknya, sudahlah nama saya kedengaran pelik pada zaman-zaman itu, kadang-kadang surat-surat saya terpaksa diikat dengan gelang getah yang tebal. Banyak! Kata mak, ayah sangat curiga. Ayah yang konservatif bimbangkan sesuatu. Mana tahu, anak gadisnya sudah pandai bermain cinta!

“Mak, beritahu ayah, ini bukan surat cinta. Ini surat-surat mahu berkenalan sebab sajak Yang keluar di majalah. Ada juga sebab tulisan Yang keluar di Bujal dan Bambino. Ada alamat di situ. Bukan Yang yang mahu, mereka yang hantar”, saya jelaskan kepada mak.

Orang dulu-dulu, bukan macam anak saya sekarang. Mahu apa-apa, terus sahaja mengadap si bapa. Siap boleh bergurau-gurau lagi atau main sembunyi-sembunyi. Kami dahulu, salurannya ialah mak. Kalau ayah tidak senang hati dengan karenah kami yang liat solat misalnya, ayah akan merungut kepada mak. Mak akan sampaikan kepada kami pula.

Lama-lama ayah pun faham. Paling mengejutkan, ayah membeli mesin taip terpakai yang comel. Jika selalunya saya mengirim karya dengan bertulisan tangan, kini saya sudah boleh menaip dengan lebih kemas. Malangnya, akibat banjir, mesin taip itu hilang entah ke mana. Saya selalu sedih jika mengenang hal ini. Mesin taip pertama saya yang dibeli ayah sebagai tanda sokongan senyapnya terhadap aktiviti penulisan saya!

Saya menulis sejak di sekolah rendah, barangkali sekitar usia sembilan atau sepuluh tahun. Sudah pasti kanak-kanak sezaman dengan saya masih mengingati majalah Bujal dengan kenakalan Bujal dan kesabaran Wak Segan; majalah Bambino, Utusan Kanak-kanak dan beberapa majalah lain. Pelukis yang terkenal pada masa itu ialah Rizalman. Dia juga melukis untuk majalah Salina. Kadang-kadang saya curi-curi juga membaca Salina atau URTV. Ayah melarang keras kami membaca majalah sedemikian, apatah lagi jika membelinya.

Baca sahajalah sebab rumah kami tiada peti televisyen. Kalau pun artis yang saya kenal masa itu hanyalah Ahmad Daud yang popular dengan rancangan “Ahmad Daud Show”.

Saya merindui zaman-zaman posmen menjadi figur yang paling dinanti. Setelah saya masuk universiti, saya belajar bercinta juga, tapi bukanlah cinta macam orang zaman sekarang. Budak itu rakan sekelas saya masa di tingkatan enam. Dia masuk ITM (dan kemudiannya ke US untuk menyambung pengajian). Kalau cuti, saya tunggu suratnya dan dia menunggu surat saya. Hahaha...tapi saya memang jenis yang sangat kekampungan. Walaupun tahu bersastera tetapi surat saya dipenuhi ayat penyata tanpa bunga!

Kalau menjelang hari raya, kad ucapan merupakan pengganti diri. Di asrama, kawan-kawan gemar mengirim kad kepada pemimpin negara, sultan dan artis. Apabila mendapat balasan, satu asrama heboh. Si penerima kad, berjalan macam tak jejak ke bumi. Punyalah seronok sampaikan kad-kad itu lusuh diusung ke sana ke mari.

Saya kurang berminat dengan hal sedemikian, tetapi ikut tumpang seronok.

Di rumah, kad-kad digantung pada ranting kayu. Ayah akan mencari ranting kayu yang cantik, menanamnya dalam bekas yang berisi pasir dan menggantung kad-kad hari raya. Biasanya, kad untuk sayalah yang paling banyak!

Sampai sekarang, ada seorang kenalan zaman kecil saya, akhirnya saya jumpa di laman sosial. Saya tidak pernah lihat gambarnya. Hanya berutus surat sahaja. Cuma setahu saya, dia menulis. Rupa-rupanya sekarang ini dia berada di Dubai. Dia sudah jadi orang yang sangat terkenal dan hebat. Dulu-dulu, suratnya selalu sampai sebulan sekali, bercerita tentang aktiviti penulisan. Saya tidak pasti dia masih ingat saya atau tidak. Tetapi surat-surat zaman kecil itu sudah lenyap.

Kini, semacam ada sesuatu yang hilang. Mahu kata apa-apa, dail sahaja. Mahu luahkan apa-apa, tulis sahaja. Perasaan menjadi sangat murah nilainya. Tiada lagi imej gadis menanti di tangga. Tiada lagi gambaran si pemuda menyimpan surat daripada helaian kertas wangi di bawah bantal.

Semurah harga perasaan, semurah itulah nilai cinta!

Seperti kata bijaksana, teknologi itu seperti pisau. Jika kita gunakan dengan baik, baiklah akhirnya. Dengan pisau, kita dapat makan makanan enak. Pisau digunakan untuk memotong sayur, daging, ayam, makanan laut dan ikan untuk membuat tomyam potek yang enak. Tetapi pisau juga boleh mendatangkan keburukan jika digunakan untuk jalan yang salah. Pisau boleh menyebabkan ada isteri hilang suami, anak hilang bapa jika ia digunakan untuk membunuh.

Kesimpulannya, bukan pisau itu yang salah tetapi orang yang menggunakannya!

Samalah seperti teknologi. Teknologi tidak bersalah. Yang bersalah ialah kita.

Tetapi saya masih merindui perasaan itu.

Perasaan yang tidak mampu dihayati oleh generasi sekarang.

Keterujaan menanti posmen dengan motosikal merahnya.

Kenangan membaca surat yang banyak berikat-ikat itu!