Total Pageviews

Wednesday, April 17, 2013

Jambatan Kenangan



Anak bongsu saya bercerita.

Pensyarahnya, seorang perempuan yang punya anak kecil menceritakan bagaimana dia mengasah bakat anaknya untuk menjadi kreatif.

“Sebenarnya semua yang beliau buat itu sama seperti yang ibu buat masa kakak dan adik kecil-kecil dahulu. Tapi kawan-kawan adik kagum sangat sebab parents mereka tak buat begitu...”

Saya pun sudah ingat-ingat lupa apa yang saya lakukan dengan anak-anak puluhan tahun yang lalu.

“Apa ya yang ibu buat?” tanya saya kelupaan.

Sudah lama, kotak ingatan pun sudah agak berkarat.

Memang saya suka bermain dengan anak-anak. Saya lihat mak saya dulu begitu. Dalam sibuknya menguruskan ayah yang sakit, dalam penatnya mencari nafkah untuk anak-anak, mak masih sempat bermain dengan kami.

Jadi, saya ikut bermain dengan anak. Ikut sama melukis. Atau mencipta lirik daripada lagu Tadika yang baru mereka pelajari.

Ada sebuah lagu mengenai kucing yang kami ubah liriknya. Kakak suka sekali jika saya nyanyikan sebab ia menggambarkan adiknya yang tembam itu.

"Kakak ada adik, pipinya tembam. Bila kakak panggil adik pun datang. Tersangat comelnya, kakak pun sayang..."

Saya masih ingat lirik yang diubah itu sebab sampai sekarang, kadang-kadang saya nyanyikan kepada mereka!

Kadang-kadang saya tekun mendengar mereka bercerita sambil menyusun buku-buku atau apa sahaja sebagai jambatan atau rumah, penuh satu bilik. Bilik mereka itu mahu cari lantai yang kosong pun payah. Semua susunan ada kisahnya yang sambung menyambung.

Saya tidak memarahi mereka atas sebab bilik yang “tidak berlantai” itu. Jika saya sibuk mengemas susunan “jambatan” mereka, bagaimana watak-watak yang ada dalam dunia imaginasi mahu menyeberang sungai? Ibu pun mahu ikut berenang dalam sungai yang cantik tetapi dipenuhi buaya itu!

Barangkali, itulah yang dimaksudkan oleh si adik!

Oleh sebab dalam adik beradik, saya paling suka mendengar cerita; maka mak adalah sasaran utama saya.

“Kadang-kadang mak sangat letih sampai merapu-rapu bercerita. Yang asyik minta lagi dan lagi. Ingat tak?” cerita kakak saya.

Jadi, apabila saya punya anak, maka saya pun suka bercerita. Macam mak, saya akan bercerita dengan gaya dan mimik muka. Sudah tentu mereka akan kesedihan mengenangkan nasib Awang yang merajuk naik ke bulan dengan si Jalak. Pengajarannya, ibu dan bapa jangan hanya pentingkan kerja sampaikan tidak peduli permintaan si Awang yang mahukan pisang.

Oleh sebab saya berpendapatan tetap, saya boleh membelikan buku-buku cerita dalam dua bahasa kepada anak.

Lawatan ke kedai buku dan perpustakaan menjadi perkara wajib dan paling dinanti.

Itu sebabnya sehingga sekarang, kami masih begitu. Membaca menjadi satu aktiviti yang sangat menyeronokkan. Cuma genre sudah berbeza.

Si sulung cenderung mengumpul koleksi novel berbahasa Inggeris dan saya lihat dia sudah mula membeli komik-komik juga termasuklah komik Islamik! Si adik pasti sahaja peminat manga. Dia hampir jadi otaku! Saya pula sudah beralih minat kepada karya penulis Asia seperti Korea dan Jepun. Meskipun novel itu diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris tetapi bahasa itu tidak berupaya menjajah jati diri mereka!

Lain? Saya tidak ingat apa yang saya lakukan...namun saya berharap anak-anak akan meneruskan apa yang saya buat jika ia baik untuk generasi seterusnya.

Dan pastinya saya mahu keturunan yang lebih Islamik. Saya sudah tidak boleh mengembalikan masa lalu anak-anak. Jika boleh, sudah pasti saya mahu budak-budak itu berada di sekolah tahfiz, menghafal kalimah Allah dan meneruskan perjuangan agama.

Masa lalu bukanlah semata-mata satu kesilapan, tetapi penuh dengan pengajaran!