Total Pageviews

Sunday, March 10, 2013

SELAMAT JALAN, KOGULAN...



Petang 6 Mac.

Tiba2 hati mahu meninjau cerita di laman sosial. Buka sekejaplah, mahu tahu kisah di Lahad Datu.

Kemudian terlihat gambar yang dipos seorang teman. Gambar kemalangan pelajar. Ada satu dua komen.

Saya pun menulis, “kenapa dengan Kogulan?”.

Malam itu, saat makan malam saya masih teringatkan Kogulan. Diakah? Terus menelefon teman lama.

“Ya, kak. Memang dia. Dia bawa motor bapanya. Mati di situ juga”.

Kogulan selalu berbasikal ke sekolah. Dia di tingkatan lima sekarang. Lama dia tidak sekolah. Hari ini dia datang untuk bertemu malaikat maut. Khabarnya, dia hanya tidur dalam kelas.

Hati saya sedih. Dia bukan budak nakal. Dia cuma tidak tahu membaca. Saya pernah membimbingnya belajar ABC, semasa dia di tingkatan satu. Waktu-waktu itu ibunya meninggal dunia. Kogulan tinggal bersama bapa, kakak dan seorang adik.

Mahu hadiahkan Al-Fatehah, Kogulan bukan Islam. Mahu ziarah, saya akan masuk wad esok. Saya hanya mampu mengenang.

Kalau nampak Kogulan dan empat rakannya bosan, saya akan belanja mereka di kantin. Sambil mendengar cerita mereka yang lucu dan sedih. Saya pernah menulis tentang Kogulan sekitar Jun 2011 di blog ini.

Ketika saya kembali ziarah bekas bos dan kawan-kawan, saya dengar suara dia menjerit dari aras tiga.

“Cikgu!” dia berteriak. Saya melambai. Kemudian sekelip mata, dia sudah ada di sisi.

“Cikgu, kenapa cikgu pergi. Baliklah sini. Saya sudah pandai baca. Sudah pandai tulis nama...”

Dia masih ingat pesan saya rupanya. Sebelum pergi, saya hadiahkan dia buku untuk pelajar tadika. Kata saya, “mesti tahu tulis nama dan alamat. Nanti Kogulan mudah dapat kerja. Kalau sesat, senang. Nanti dah dewasa, ada awek, macam mana nak SMS kalau tak tahu baca...”

“Cikgu, dia sudah ada awek. Budak Melayu TKS. Betul cikgu...” usik kawannya. Kogulan malu-malu, mereka berkejaran di sekeliling saya.

“Dia mahu anak kulit putih, cikgu!” jerit kawannya lagi yang juga berketurunan India. Semua pelajar buta huruf saya itu berketurunan India.

“Dio bongak, cikgu. Mana saya ada awek!” kata Kogulan.

Saya ke sekolah itu hanya singgah, tidak lama. Dia di tingkatan satu kelas corot waktu saya datang, bila dia mahu naik tingkatan tiga, saya berpindah. Budaknya bersaiz kecil kurus. Saya mengajarnya seni lukis. Walaupun kelas itu bilangannya mencapai 46 murid yang semuanya lelaki, saya mengambil risiko membawa mereka melukis di padang. Setiap kelompok ada ketua. Kogulan tak pandai melukis tetapi kadang-kadang saya memberinya markah yang tinggi. Melihat dia kesukaan, hati saya gembira. Saya menyediakan hadiah kecil jika ada yang memperoleh markah tinggi.

Kogulan anak orang susah. Bapanya buruh. Kakak dan adiknya juga bukan pelajar pandai. Dia tiada ibu. Kogulan buta huruf, tetapi dia bukan tergolong nakal.

Bagi seorang guru, kami buta warna kulit. Saya tiada impian besar terhadap Kogulan, saya cuma berharap dia dapat hidup sebagai warga yang baik.

Tetapi Kogulan telah tiada. Dia pergi dahulu dalam usia tujuh belas. Dia mendahului ibu gurunya.

Tahun lepas, waktu menziarahi sekolah itu, dia beritahu saya, “cikgu, nanti balik sini ya, ajar saya lukisan. Nanti saya belanja cikgu KFC”.

Saya hanya angguk sambil menyentuh kepalanya. Tidak sampai hati mahu mengatakan bahawa saya tidak akan kembali mengajar di situ meskipun saya sangat merindui teman-teman lama.

Selamat jalan, Kogulan. Selamat jalan.