Total Pageviews

Saturday, March 16, 2013

Cerita Panjang IBM



Pagi 7 Mac. Khamis.

Kami bergerak ke HUKM. Mendaftar di kaunter, saya dimaklumkan katil tiada kosong.

“Tak apalah, saya merayau dulu,” saya tinggalkan beg dan menuju ke Klinik Surgeri untuk mengambil dokumen daripada Jururawat Kamelia. Surat keizinan dan pengesahan doktor pakar untuk rayuan menjadi tetamu Allah.

Saya ke kedai fotostat. Kemudian mengepos semua dokumen berkaitan. Membeli beberapa botol air mineral juga.

Teringat hari ini Si Ef ada temu janji di Klinik Surgeri. Suaminya sedang mencari parkir.

“Ef turun dulu. Kak Yang tunggu di tangga lobi,” usul saya. Saya bawanya ke klinik dan tunjukkan cara daftar. Selepas itu saya tunjukkan juga laluan ke kafe dan kedai. Dalam pada itu kaunter menelefon, katil sudah ada.

Saya tinggalkan Ef, mengambil beg dan surat masuk wad, naik ke aras lima. Katil hujung. Tiada lagi bilik seorang macam dulu. Selepas menyalin seragam hospital, saya berbual dengan mak cik sebelah.

Doktor housemanship datang untuk memasukkan jarum, juga mengambil darah. Caranya agak kasar dan gopoh. Darah banyak keluar. Selepas itu, ramailah doktor pelatih yang datang. Saya pura-pura tidur. Dari celah penutup mata warna kelabu itu saya nampak mereka mundar-mandir.

Saya kantoi juga beberapa kali. Layan jugalah, tak sampai hati. Tapi mereka tergelak apabila saya menyebut satu persatu info yang mereka mahu tahu, sebelum sempat mereka bertanya.

“Sudah biasa ya, mak cik...” kata mereka. Sia-sia sahaja nampaknya mereka belajar Dinamika Kemahiran di kolej matrikulasi. Kemahiran komunikasi lemah.

Doktor lelaki Tionghua yang memasukkan jarum ke tangan saya itu ditanya profesornya, mengapa dimasukkan di kanan sedangkan bahagian yang mahu dibedah juga adalah kanan. Dia kena marah di depan saya.

“Sudah cuba di kiri tetapi tidak boleh!” dia menipu untuk menyelamatkan diri.

Terus terang, perasaan saya sudah lain macam. Saya tidak suka doktor itu menipu.

Dengan baju hospital dan jarum tertanam di tangan, saya turun ke aras bawah. Saya cari Ef. Rupanya dia dalam kamar rawatan. Saya masuk. Suaminya berdiri gelisah. Ef sedang baring, menunggu doktor lain untuk memeriksa sekali lagi.

Saya merayau ke kedai, membeli makanan. Saya tidak boleh “masuk” dengan makanan hospital.

Akhirnya saya naik ke wad. Saya kena pindah ke bahagian lain. Apa lagi, seronoklah saya duduk atas katil yang ditolak dua jururawat. Menjerit-jerit jururawat lain, bimbang saya jatuh sebab ditolak agak laju. Pesakit lain ketawa kelucuan melihat saya duduk bersila atas katil yang ditolak, tersengih-sengih. Sekali sekala “merempit” apa salahnya!

Lokasi baharu lapang. Mudah untuk solat, dekat dengan tandas. Ada dinding yang memisahkan dengan katil sebelah.

Malam itu, bekas pelajar yang sekarang berada di tingkatan lima menelefon. Menyatakan resahnya sebab ada khabar angin Malaysia akan diserang dengan lebih hebat di Sabah. Saya tergelak.

“Askar kita terlatih. Mereka pun pasti suka dapat pengalaman berperang. Eh, cikgu di wad ni Taput. Tak dapat cakap lama-lama...”

Dia terkejut. Budak itu namanya Fais, tapi saya memanggilnya Taput sebab kawan-kawannya memanggil begitu. Seminggu lepas dia mengadu ketidakyakinannya sebab disuruh melakonkan watak utama di pentas. Jenuh juga saya memberi nasihat berdasarkan pengalaman saya dalam bidang lakonan pentas itu.

Kotak mesej dipenuhi doa guru-guru pelatih, rakan-rakan sekerja, rakan-rakan penulis dan keluarga. Jam sepuluh malam, Kak Tumerah, pengarah IPG Melaka; dan suaminya datang. Suaminya masih teringat-ingat peristiwa dia pergi ke pekan Lenggong tahun lepas, mengambil anak-anak saya dan sepupu mereka, dengan bersandarkan muka “fotostat” anak bongsu saya!

Mak, adik bongsu, anak bongsu dan sepupu saya tiba jam enam petang. Melihat saya yang cergas, mak baru boleh makan. Mereka bermalam di rumah sepupu saya yakni anak susuan mak. Takjubnya saya sebab si anak bongsu saya mampu memandu di KL mengekori kereta Pak Cu beliau.

Jam dua belas saya diberi ubat tidur. Jam dua pagi saya mula puasa. Sebelum itu saya diberi taklimat oleh pakar bius.

Jam lima pagi, jururawat mengambil tekanan darah dan ujian jantung. Tiada masalah. Jam delapan, saya berjalan kaki dengan doktor ke aras bawah, ke unit nuklear yang sudah direnovasi, berbeza dengan keadaan pusat itu tahun lepas.

Di situ memang sejuk amat. Rupanya mesin di situ memang kena cuaca dingin. Manja betul. Mesin puteri lilin.

“Dr Shahril mana?” tanya saya apabila melihat radiologis lain yang datang.

“Dia sambung belajar di Kelantan,” jawab Dr Sarah. Kami menunggu lama. Sebatian radioaktif yang akan disuntik hidup-hidup 4 kali di bawah puting kanan itu rupa-rupanya ada tempoh tertentu sebelum digunakan.

“Macam kenal. Saya jumpa puan tahun lepas masa radioterapi, betul?” kata doktor yang lain.

Allah, sekali lagi saya mengalami suntikan yang amat menyakitkan itu. Saya berdoa agar saya mampu menahan atau Allah mengurangkan kesakitan. Maut nanti entah bagaimana sakitnya, apalah sangat dengan tusukan jarum itu.

Selepas diplaster, saya kena melakukan gerakan tertentu supaya sebatian itu bergerak lancar ke bahagian kalenjar limfa. Kemudian saya dibaringkan dalam terowong CT Scan. Tangan diletakkan dalam keadaan surrender. Lama betul berada dalam terowong tersebut.

Selepas itu, saya menjalani ujian mengesan kalenjar limfa dengan alat yang berbunyi nyaring. Radiologis dapat mengesan tiga kalenjar limfa yang besar dan dua kecil. Kelima-lima kalenjar itu akan dibuang bersama dengan ketulan. maknanya ada dua tempat yang akan "dihiris" nanti.

Saya dikuarantin kerana dibimbangi radiasi di tubuh saya akan memberi kesan kepada orang lain. Amat membosankan sendirian dalam bilik yang sangat sejuk. Saya kena berada dalam jarak 2 meter daripada orang lain supaya mereka tidak menerima bahang radiasi.

Tidak berapa lama kemudian doktor datang mengambil saya. Dia sempat membawa saya berjalan-jalan ke bilik pembedahan yang mempunyai pintu automatik. Seronok betul bermain dengan pintu “berhantu”. Apabila saya menjulurkan kaki, pintu itu terbuka. Kalau saya menyembunyikan kaki, pintu itu akan tertutup dengan sendirinya. Orang lain pelik-pelik mengapa pintu itu terbuka dan tertutup walaupun orang tiada. Mereka tidak tahu itu angkara saya!

Balik ke wad, jururawat sudah sibuk memanggil untuk turun ke bilik OT. Saya menyalin pakaian pembedahan dan baring di katil khas. Jam 1 petang, saya disorong ke aras bawah. Di OT, saya ditanya beberapa soalan untuk memastikan bahawa saya pesakit yang betul.

5 jam 15 minit saya ditidurkan dalam OT. Jam 6.30 saya kembali ke wad. Mak, anak, suami, anak saudara dan sepupu masuk ke wad.

“Mana Pak Cu?” tanya saya. Rupa-rupanya kata anak saya, bekas komando itu sedang menangis di luar. Agaknya dia tidak sanggup melihat kakaknya terbaring lesu. Malam itu, mak menemani saya. Saya tidak boleh bergerak kerana tangan sebelah kanan tidak boleh diangkat dan tangan kiri dimasukkan air.

Jam 5 pagi, jururawat mengambil tekanan darah beberapa kali. Tekanan darah saya rendah. Patutlah saya kepeningan dan terhoyong-hayang. Saya tidak solat 4 waktu. Subuh itu saya solat duduk. Sempat juga saya membantu seorang wanita India yang mahu muntah. Dia lagi kasihan. Tiada yang meneman sebab suaminya kena menjaga anak-anak yang masih kecil.

Sepupu-sepupu yang rapat dengan saya datang bersama keluarga mereka. Anak sulung saya dan kawannya juga datang. Saya bersiap-siap untuk balik ke rumah. Menjelang petang, saya dibenarkan balik walaupun kepala masih berpinar-pinar. Agaknya, doktor pun rimas melihat mak cik yang asyik hilang dari katil. Dengan botol air dan jarum yang tertanam di tangan, saya berjalan-jalan melakukan sesi lawatan sosial, hahaha...

Anak saya ikut balik ke rumah. Kami singgah di farmasi membeli ubat sebab tiada ubat itu di HUKM.

Ahad petang, adik bongsu menghantar anak sulung saya ke UKM dan dia terus pulang ke Ipoh.

Kali ini, agak teruk kondisi saya berbanding dua pembedahan sebelum ini. Maka, mak dan anak bongsu melakukan semuanya untuk saya. Termasuklah menaip untuk blog ini.

Puan Hajah Mahaya Yasin dan anaknya menziarahi saya. Dia memberitahu hibanya hati tatkala membaca status yang ditulis oleh penulis Puan Rosmiaty Shaari di laman sosial mengenai saya. Selepas itu, seorang demi seorang rakan sejabatan bertamu.

Tiba-tiba si bongsu mendapat tawaran menyambung pengajian di Puncak Alam. Saya menemaninya menguruskan yuran dan segala macam urusan. Mujur ada pensyarah senior seperti Kak Amanah dan Kak Yam yang membantu.

Tetapi akibatnya, saya bentan. Jumaat itu, saya tidak dapat lena. Esoknya Sabtu, Daddy mengangkut barangan adik ke kolej kediaman. Mujur ada kakak saya dan kawannya yang sampai dengan bas awal pagi Sabtu. Mereka menggantikan saya mengangkut barangan adik ke kediaman.

Saya dipaksa balik ke kampong seminggu. Beratnya hati mahu balik, sebab walaupun tiada apa yang boleh saya buat, kehadiran saya yang “dekat” dengan anak-anak; sekurang-kurangnya memberikan mereka kekuatan dan kelegaan. Ke UKM sejam dari rumah dan ke Puncak Alam dua jam. Meskipun adik sudah tawar hati mahu ke universiti tersebut (dia mahu ke USM) tetapi dia masuk melalui program penerapan untuk ijazah, bererti hanya dua tahun setengah. Dia akan tamat pengajian serentak dengan si kakak. Demi meringankan “beban” ibu, mereka pun belajar berkorban juga akhirnya.

Bukan saya elergik sangat dengan universiti berkenaan, tetapi dasarnya itu... Pelajar yang kurang cemerlang pun boleh masuk dengan kabel-kabel politik. Akibatnya tempat untuk pelajar lain sudah diambil orang.

Kampusnya panas kontang seperti gurun dan agak besar tapi miskin papan tanda penunjuk arah. Berpusing-pusing si adik memandu. Daddynya lagi lucu, konfiden saja membelok ke Puncak Perdana. Daripada kami yang mengekori dia, akhirnya dia yang tertinggal di belakang.

Adik dapat duduk di kolej kediaman tetapi kena bayar sebab asalnya kolej itu untuk pelajar diploma sahaja. Ertinya adik kena tinggalkan Mini-Atiranya di rumah. Tak apalah, sebab kata adik, konsep kediaman sama macam apartmen kakaknya semasa buat diploma di KUIS dahulu, walaupun tidak semewah apartmen si kakak.

Sedihnya sebab saya tidak dapat uruskan kemasukannya dengan kondisi saya ini. Dia yang ke sana ke mari memandu. Jururawat terbaik saya itu telah melambai pergi dengan membawa Babam si kura-kura kecilnya. Saya tahu dia sedih. Kakaknya akan cuba gantikan dia cuti hujung minggu jika tidak sibuk.  Lucunya juga, si kakak mengadu letih “bergaduh” dengan monyet-monyet yang mencuri masuk ke biliknya di kampus.

Ya, banyak yang tiba-tiba berlaku serentak dalam seminggu ini tanpa diduga. Tiada istilah masa yang salah. Bagi saya, itulah rahmat ujian. Rahmat untuk si anak belajar berdikari. Supaya saya sedar bahawa mereka telah dewasa dan bersedia untuk saya “melepaskan” tangan yang selama ini menggenggam kuat tangan mereka.

Terima kasih untuk mesej, panggilan, doa dan ziarah yang tidak putus-putus daripada sebelum hingga selepas operasi. Daripada pelajar-pelajar, rakan-rakan, penulis-penulis, senior-senior, jiran-jiran, adik beradik, dan semuanya yang tidak mampu saya sebutkan seorang demi seorang. Allah sahaja yang akan membalas kebaikan anda semua.

Luka saya kali ini agak sukar sembuh. Pedihnya menguji.

Tetapi saya yakin, Allah pasti menyembuhkan luka sebesar mana pun, dengan kasih cinta-Nya.

NOTA: kredit kepada Atira Laila yang menjadi juru taip ibu. Selamat belajar di gurun puncak segala alam! Ibu bangga sekali denganmu!