Total Pageviews

Sunday, March 24, 2013

Hanya Dia Yang Tahu


Seperti pemuda mengintai cinta

Hujung minggu, budak-budak berdua itu balik.

Berdentam-dentum bunyi lesung batu. Apabila saya mencadangkan si kakak menggunakan pengisar, dia menjawab, “tak mahu. Kakak nak main tumbuk-tumbuk!”

Masalahnya, perut ibu sudah berbunyi-bunyi, nak!

Saya memintanya menggoreng bihun putih. Si adik masak asam ikan.


Bihun putih si kakak


Masak asam si adik

Saya kasihankan si adik. Banyak tugasan yang diberi pensyarah dan dia pula sejak tiba di rumah, langsung tidak berehat.

Hari jadi saya sudah berlalu tiga hari. Kedua-duanya memberikan saya buku-buku. Sudah tentu macam mendapat emas sekarung. Walaupun belum mampu membaca sebab ada buku-buku yang berat, saya menyusunnya di meja. Saya melihat buku-buku itu seperti pemuda mengintai gadis pujaan. Ada antologi cerita pendek penulis Jepun versi bahasa Inggeris, komik Islamik pelukis Indonesia, komik-komik komikus majalah Gempak (daripada kakak), komik Eori yang comel, buku-buku motivasi Islamik (daripada adik).

Dia pula memberikan saya rangkaian barangan wangian jenama kegemaran saya “Women On Earth” dan dompet jenama yang sama. Barangkali dia kasihan melihat saya masih menggunakan dompet pemberiannya sebelas tahun yang lalu. Dompet itu sudah sangat uzur tetapi saya enggan membuangnya.

Nampaknya masing-masing sudah arif apa yang saya dambakan. Pertama, buku dan kedua, wangian.

Jujurnya, saya bersyukur melihat budak-budak ini ada di depan mata. Cuma berasa belas sebab mereka mahasiswi yang sepatutnya berada di kampus, bukannya menjaga ibu di rumah.

“Kalau kakak adik ikhlas menjaga ibu, Allah akan gantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Mungkin keputusan yang baik, kawan-kawan yang baik, kesihatan, kemudahan, atau hati yang tenang,” saya menyebut.

Masing-masing sudah basah kain dan baju. Bersungguh-sungguh benar memasak dan membuat kerja rumah. Kemudian mereka ke pasar raya membeli barang yang mahu mereka masak.

Adik yang memandu. Dia sudah arif dengan jalan setelah saya tidak lagi boleh memandu. Bagus juga ujian sakit ini. Anak itu nekad sekali memandu.

Selalu saya berpesan, sesat di jalanan hal yang sangat biasa. Jangan panik lebih-lebih. Berhenti di tempat selamat dan tenangkan diri. Kemudian berpatah balik ke laluan asal. Mulakan dari tempat di mana kita tahu.

Dalam pemanduan, yang penting ialah lampu isyarat kereta, papan tanda, mercu tanda, jangan gopoh, jangan panik. Saya kerap tersesat, berpusing-pusing lama sehingga akhirnya menemui jalan yang betul.

Tengah hari Ahad selepas Zuhur, mereka bergerak pulang. Saya membacakan doa perjalanan dan doa biasa yang saya bacakan waktu zaman mereka sekolah dahulu. Pesanan saya beribu-ribu. Memastikan tas tangan mereka tidak kelihatan oleh “pencopet” dari luar kereta, memastikan juga tali pinggang keselamatan telah dipakai dengan betul, barulah saya izinkan mereka bergerak.

Melihat kereta hilang dari pandangan, saya mengangkat tangan dan berdoa, “Ya Rabb, peliharalah perjalanan kedua-dua anak itu sehingga ke destinasi. Peliharalah kenderaan mereka dan orang-orang di dalamnya. Peliharalah juga pengguna-pengguna jalan raya yang lain...”

Mengunci pagar, saya berdiri lama.

Betulkah itu budak-budak yang saya heret ke sana sini menaiki bas mini di tengah jantung Kuala Lumpur satu ketika dahulu?

Betulkah itu budak-budak yang kadang-kadang hanya mampu saya suapkan lauk telor goreng dengan nasi putih tatkala wang di dompet hanya berbaki sehelai dua?

Betulkah?

Dahulu saya yang menyediakan makanan buat mereka. Sekarang, mereka sedang melakukannya untuk saya.

Hanya Allah yang tahu apa yang sedang berkocak dalam nubari saya.

Sebab Dia pemilik jiwa. Hanya Dia yang memakbulkan doa.

Hanya Dia.