Total Pageviews

Wednesday, March 20, 2013

Apabila Mak Menangis...



Saya tidak berani menghubungi emak.

Sudah dua hari saya hanya menyampaikan pesan sama ada melalui kakak di Ipoh, kakak ipar di kampong atau melalui anak bongsu saya.

“Beritahu mak, Yang sudah makan nasi, minum jus delima, minum jus buah campur daun herba, sudah makan ubat, sudah mandi”.

Menjelang tengah hari, saya berpesan lagi, “cakap dengan mak, 20 Mac ini Yang sudah tua, sudah empat puluh tujuh. Maknanya Yang sudah tempuh macam-macam kesusahan dalam hidup. Oleh sebab itu, mak jangan risau lebih-lebih. Beritahu juga, Yang kan anak mak!”

Kemudian tatkala tibanya petang, “Yang sudah minum petang. Beritahu mak. Ada jiran yang datang sapu sampah, cuci kain dan pinggan...”

Sebenarnya saya boleh lakukan semua kerja itu dengan tangan kiri. Tangan kanan saya pun sudah mula pulih. Tetapi saya tidak boleh terlalu menggunakannya selagi luka masih berbalut.

Mendengar suara mak yang begitu, saya jadi terlalu takut untuk menelefon.

Sungguh! Saya tidak berani!

Sudah dua kali saya menelefon dan mak menangis.

Apabila mak yang suka ketawa dan riang itu menangis...

Mak wanita yang kuat. Saya pernah abadikan kekuatan jiwa mak dalam sajak panjang “Namanya Mariam” dalam antologi Ratib 1000 Syair. Sajak itu juga dideklamasikan secara langsung melalui RTM dalam usaha mendapatkan pengikhtirafan Rekod Guinness Malaysia untuk deklamasi tanpa henti beberapa tahun yang lalu.

Tetapi apabila mak menangis...

Hati saya luruh dan saya ketakutan. Tidak mengapa jika orang lain menangis meraung-raung sampai ke langit Afrika dan mematikan zirafah dan dubuk akibat terkejut, atau meraung-raung sehinggakan ketulan ais di Antartika mencair. Tetapi sedu-sedan mak, sangat mengerikan!

Kami balik ke kampong tetapi tiba-tiba ada urusan mustahak melibatkan dokumen transkrip anak yang perlu diambilnya di kampus lama di Perak. Juga urusan pemeriksaan perubatan. Ada juga beberapa hal lagi. Perancangan berubah. Dengan anak yang memandu, saya di sebelah menunjuk jalan.

Anak itu barangkali akan mewarisi “kekuatan” ibu dan opahnya. Sejak jam 6.30 pagi sehingga menjelang jam 2 pagi, dia tidak berhenti-henti menguruskan segala hal berkaitan kemasukan ke kampus baharu, memandu ke sana sini, dan dalam masa yang sama menguruskan hal ibunya.

Mak terkedu. Mak tidak tahu perancangan yang tiba-tiba berubah itu. Sengaja kami tidak memberitahu. Saya rasa bersalah juga sebab mematikan keriangan mak yang mahu menjaga saya di kampong.

“Nanti Yang balik lagi hari mengundi...” jerit saya dari dalam kereta. Waktu itu mak masih boleh senyum walaupun saya nampak mak asyik berpaling meraup muka.

Sudah tentu hati mak rusuh. Baru seminggu saya keluar dari bilik pembedahan. Tetapi sudah melakukan perjalanan jauh beberapa hari ulang alik tanpa rehat yang cukup. Memang terasa sedikit bentan, tetapi hati saya tidak akan tenang jika membiarkan si anak melakukan semunya sendirian. Saya tahu mak memahami, tetapi sudah namanya seorang emak...

Anak memberitahu, “opah masih menangis. Adik pun tak tahu nak cakap apa...”

Itu puncanya saya tidak berani menghubungi mak. Mak yang selalu kuat sudah menangis. Mak sudah tujuh puluh lima. Mampukah mak bertahan dengan keberangkalian-keberangkalian anak yang pernah berada dalam rahimnya akan mendahuluinya ke negeri abadi?

Mak mesti membayangkan kesukaran-kesukaran yang saya hadapi apabila tiada sesiapa yang menemani saya. Bagaimana mahu masak sedangkan saya tidak boleh dekat dengan api, bagaimana mahu potong sayur dengan tangan kiri, bagaimana mahu kisar jus, bagaimana itu dan ini. Mak risau saya jatuh dalam bilik air, mak gusar kalau-kalau saya berdegil mahu menyapu dan mengemas rumah; atau memandu; sebagaimana perangai saya yang biasa.

“Kalau adik cuti hujung minggu, adik balik uruskan ibu. Sudah pun belikan pengisar yang lebih ringan. Adik sudah cakap begitu, tetapi opah masih sebek (tersedu). Opah meme (penangis), patutlah anak-anak opah pun meme,” lapor anak.

Anak-anak mak memang penangis, cepat berasa kasihan antara satu sama lain. Sebelum itu, abang sulung saya sudah menangis mengenangkan nasib adiknya yang lembek macam agar-agar ini. Adik-adik lelaki saya terutama yang bongsu itu pun sama, walhal ketiga-tiga mereka adalah tentera dan bekas tentera. Bukan tentera biasa pula tu...hahaha.

Yang perempuan pula, sayalah juara menangis sedunia. Apa tidaknya, tengok anjing kaki kudung sebelah pun, sedihnya bukan kepalang. Rasa mahu pergi suapkan makanan!

Kakak pula memang spesis ganas sejak kecil. Dialah pelindung saya, abang dan adik-adik kalau kami dibuli. Lokasi kegemarannya kecil-kecil dahulu ialah di atas pokok, meredah hutan atau menyamar jadi kerbau di bendang. Tetapi dalam hatinya penuh taman, khususnya apabila melihat adik yang selalu dilindunginya tiba-tiba terpaksa berperang dengan virus yang tidak mampu untuk dia menentangnya; sebagaimana dia melakukannya ketika ada budak-budak nakal menyakiti saya dahulu.

“Kalaulah kuman itu Nyah boleh tumbuk, memang dah lama kuman tu Nyah lanyak!” katanya dan kami ketawa-ketawa sepanjang jalan pulang ke kampong, terutama tatkala dia menceritakan kelasakannya semasa masih anak-anak.

Hari ini saya beranikan diri menelefon. Itu pun selepas kakak ipar memberitahu mak sudah tidak menangis.

Mak di klinik. Suaranya lemah. Saya tidak bercakap lama sebab radar telinga saya mengesan bahawa kepiluan hati mak belum berakhir.

Nampaknya dialog lucu yang mahu saya katakan kepada mak tidak menjadi.

Saya SMS kakak. “Kata kepada mak, kalau mak tak menangis lagi, nanti Yang bagi hadiah. Hadiah istimewa...”

Macamlah mak budak-budak kecil!

Oleh sebab mak yang lahirkan saya, menjelang ulang tahun kelahiran, sayalah yang kena bagi hadiah untuk mak. Bukan mak yang bagi hadiah kepada saya. Mak yang susah payah melahirkan saya yang keluar dengan kaki dahulu, bukan dalam kedudukan yang normal. Saya seperti “menendang dunia”, menyebabkan mak sendiri nyaris berdepan dengan maut.

Kata orang kampong, saya yang lahir songsang boleh ubatkan orang. Hahaha...entah teori mana pula yang mereka pakai. Ubatkan dengan panadol, bolehlah!

Saya masih berdoa agar mak tidak mendung atau gerimis. Susah mahu “menyidai kain” kalau mak terus begitu. Saya akan pulang juga. Tunggu pemandu-pemandu saya yang sangat sibuk itu menghantar saya ke sisi mak. Supaya akhirnya mak akan jadi matahari.

Saya pun tidak akan menjadi bunga matahari jika mak masih bersedih.

Sebab ketakutan akan mengetuk pintu hati tatkala mak menangis.

Dia ibu yang periang dan suka ketawa. Dia juga seorang yang sangat positif.

Tetapi apabila dia menangis...

Saya tidak nampak ada matahari atau bulan yang bergantungan di langit!