Total Pageviews

Friday, February 15, 2013

Menyusuri Jalan Kenangan



Bukan semua yang kita mahu akan kita dapat dan bukan semua yang kita dapat itu ialah apa yang kita mahu.

Sama sahaja maknanya.

Itu yang selalu berlaku kepada kita dalam apa juga aspek hidup.

Kadang-kadang setelah berusaha bersungguh-sungguh, memang kita akan dapat juga apa yang kita mahu.

Sejak sekolah rendah, saya mahu menjadi mahasiswi Universiti Malaya jurusan penulisan kreatif. Itu yang saya selalu petakan dalam minda. Tiada impian lain, hanya itu.

Dalam kad sulit (saya tidak pasti sekarang masih ada atau tidak kad itu di sekolah), cita-cita saya juga tidak pernah berubah, hanya kedudukan sahaja yang berubah.

Maksudnya, jika dalam Darjah Tiga (sekarang disebut Tahun 3) inspektor polis berada di tempat pertama, diikuti pensyarah dan wartawan; pada tahun berikutnya wartawan berada di tempat pertama diikuti pensyarah dan inspektor polis. Itu sahaja tiga profesion yang saya mahu jadi.

Alhamdulillah, semua yang saya mahu itu saya dapat.

Saya berjaya ke Universiti Malaya tetapi di surat tawaran tertulis Pengajian Sejarah. Saya kecewa. Memang keputusan subjek Sejarah STPM saya bagus. Saya pun minat subjek Parameswara itu.

Untuk tahun-tahun 1980-an, yang hanya ada lima buah universiti, dan mendapat tawaran dari universiti tertua di Lembah Pantai adalah sesuatu yang dikira bertuah. Saringan pengambilannya ketat, hanya yang melepasi markah tertentu sahaja ditawar masuk.

Saya pergi juga walaupun kecewa. Masuk sekali sahaja ke dalam kuliah Pengajian Sejarah, saya tahu tempat saya bukan di situ. Saya tidak mendengar apa-apa meskipun Profesor Khoo Kay Kim adalah antara idola saya.

Akhirnya saya nekad, saya ke pejabat Rancangan Penulisan Kreatif & Deskriptif atau RPKD (kemudian bertukar kepada Jabatan Penulisan Kreatif & Deskriptif, seterusnya bertukar lagi namanya kepada Jabatan Pengajian Media).

Saya tunggu ketua jabatannya berjam-jam, dari pagi hingga ke petang. Waktu itulah hati berkembangan dapat melihat penulis-penulis tersohor di depan mata. Wajah-wajah yang saya hanya kenal melalui Majalah Dewan Sastera dan buku-buku.

Esoknya saya datang lagi, jumpa Profesor Hashim Awang. Dia mengerti kesungguhan saya. Tetapi dia mahu bukti bahawa saya menulis. Maka tengah hari itu saya berjalan kaki balik ke kolej kediaman kelima (paling jauh) dalam terik matahari untuk mengambil semua karya saya dan berpatah balik ke pejabatnya.

Dia berpuas hati. Maka dengan rasminya saya diterima masuk ke RPKD. Di situlah saya menemui pensyarah-pensyarah kesayangan saya, Dr Anis Amida Abd Hamid (Kak Anis) yang comel, Allahyarham Abdullah Tahir (Pak Lah), Prof Abu Bakar Hamid, Allahyarham Dr Anuar Nor Arai, Zaharan Razak, Allahyarham Pak Dharmawijaya dan ramai lagi. Kami sangat rapat. Dan oleh sebab mereka orang sastera asli, dalam kelas atau di luar, mereka membahasakan diri mereka dengan panggilan “kak” atau “pak”, tiada pangkat atau gelar yang membezakan kedudukan. Cuma kami yang kena tahu diri, tahu menghormati pensyarah-pensyarah yang juga penulis-penulis hebat itu.

Pada tahun pertama, bilangan kami agak ramai tetapi masuk tahun kedua, ramai yang tidak tahan dengan tekanan yang dihadapi. Maksudnya, jika memang tiada bakat menulis sudah pasti tekanan akan bertambah.

Maka, di tahun kedua itu, kami hanya berbaki lebih kurang dua puluh orang.

Daripada RPKD, hanya saya seorang lulus peperiksaan pengecualian dan dikecualikan daripada mengambil bahasa Inggeris. Terima kasih kepada dua buah sekolah yang memberikan latar belakang bahasa itu kepada saya iaitu MGS Ipoh dan Clifford School KK.

Oleh sebab itu saya kena mengambil subjek bahasa antarabangsa. Pergi ke pusat bahasa Jepun, Perancis dan Arab, semuanya penuh. Yang kosong hanyalah bahasa Rusia, Sepanyol dan beberapa bahasa lagi. Saya mengambil bahasa Sepanyol, satu-satunya siswi Melayu yang terkontang-kanting dalam kelas yang bahasa pengantarnya ialah bahasa Inggeris. Alhamdulillah, saya mendapat A dalam subjek itu sama ada dalam peperiksaan lisan dan bertulis, setelah puas membetulkan cuping untuk memahami loghat maestro yang berbunyi tagalog dan americano.

Mengambil subjek kewartawanan, ada kenangan tersendiri. Peperiksaan berlaku di bilik tertutup. Sebabnya kami kena menaip jawapan. Bukan dengan komputer tetapi mesin taip. Komputer tidak wujud lagi pada waktu itu. Menggerutup bunyinya apabila semuanya mula menaip.

Kami perlu juga ke lapangan. Saya ditugaskan membuat skrip untuk dokumentari. Waktu itu bangunan tertinggi di KL ialah bangunan Dayabumi. Kami ke situ untuk pengambaran, juga ke Perak dan Selangor.

Di UM, saya adalah Setiausaha 1 Ikatan Sasterawan UM (ISUM). Tidak tahu sama ada ISUM masih wujud atau tidak sekarang. Saya juga aktif dalam PEMARAK iaitu persatuan anak negeri kelahiran saya. Saya juga bertugas di Biro Penerbitan PMUM, yang ketika itu berada di bawah pengaruh ABIM.

Meskipun speakers corner sudah tiada ekoran AUKU, politik masih segar di kampus di bawah pimpinan The Jogging Professor, Prof Diraja Ungku Aziz . Saya masih ingat, TG Haji Hadi (waktu itu beliau masih muda) dijemput hadir di DTC. Saya berfahaman United Malay National Organisation ketika itu, tetapi saya hadir juga. Saya peminat Saudara Anwar (sebab kebijaksanaan berpidato di samping kekacakan wajahnya), dan beliau waktu itu berjaya dipujuk oleh Tun M untuk masuk kerajaan.

Saya melihat ketokohan TG Haji Hadi meskipun dipenuhi prejudis sebab itulah yang ditanam dalam jiwa saya puluhan tahun melalui akhbar dan media elektronik.

Peristiwa Memali dan amukan Prebet Adam berlaku dalam tahun-tahun sekitar dan selepas saya graduasi. Juga peristiwa seorang peguam berketurunan Tionghua yang dipenjarakan sebab membela nasib gadis bawah umur Melayu yang dirogol seorang ketua menteri.

Semua tragedi itu sangat melukakan hati agama, bangsa dan negara. Cerita sebenar tersembunyi puluhan tahun sehingga akhirnya sampah yang berada di bawah permaidani, disapu keluar kebenarannya oleh kecanggihan teknologi maya.

Universiti Malaya, sesuatu yang sangat menyuntik nostalgia ialah bunyi dentingan alarm berlagu yang akan kedengaran dari menara DTC setiap jam. Tidak tahu sama ada lagu itu masih ada atau tidak sekarang. Pohonan hijau yang mengitari tasik sudah tidak seperti dulu. Tasiknya juga sudah keras kaku, bangunan di mana-mana, kampus itu sudah kehilangan udara sejuknya.

Kata-kata Prof Diraja Ungku Aziz, “universiti yang ada tasik akan melahirkan graduan hebat...” hanya tinggal kenangan. Selepas itu, perlahan-lahan universiti tertua tersebut kehilangan auranya.

Saya tidak mahu menjadi guru, tetapi kemelesetan ekonomi sangat mendesak. Saya juga sudah mabuk-mabuk. Beberapa kali suami (ketika itu) menyebut, “abang tidak sanggup lihat kamu bersesak-sesak mengejar menteri untuk ditemu bual. Semalam di TV, keadaan kamu juga begitu...”

Maka berakhirlah riwayat pendek kerjaya kewartawanan saya. Sekurang-kurangnya, tercapai juga impian yang tertulis di kad sulit sekolah rendah saya itu.

Dengan tangisan, saya mengambil diploma pendidikan KPLI batch kedua di Institut Bahasa. Saya mahu mengambil pengajian bahasa Inggeris tetapi tiada kursus bahasa Inggeris yang ditawarkan. Hanya ada bahasa Melayu dengan pensyarahnya yang kelihatan ragu-ragu di kelas. Maklumlah kelulusan pensyarah dengan pelajar setaraf, malahan ada pelajar yang sudah ada master degree sedangkan pensyarahnya masih bachelor.

Saya belajar dengan sedih. Saya cemerlang untuk kertas yang ada ciri-ciri komunikasi. Dengan perut memboyot, saya lulus dan dihantar mengajar jauh di sebuah sekolah perempuan di Setapak. Namanya sahaja setapak, tetapi bertapak-tapak!

Tujuh tahun kemudian saya mengambil sarjana. Waktu mengisi borang, tertulis di situ Human Resource Management tetapi waktu temu duga saya diberitahu bahawa jurusannya ialah Science Management yang dipenuhi dengan subjek perniagaan, statistik, accounting, manegerial economics, finance dan seumpama dengannya. Sekali lagi saya hanya cemerlang dalam subjek berkaitan komunikasi, yang lain kepujian. Sekali lagi juga saya kena membetulkan cuping untuk memahami kuliah pensyarah dalam bahasa Inggeris dialek Lubnan, India dan Filipina.

Sebenarnya, tiada siapa pun tahu yang saya mendapat tawaran ke sebuah universiti di UK dalam bidang yang sama pada tahun itu. Sehinggalah pada tahun lepas, saya memberitahunya kepada anak sulung. Terbeliak mata sepetnya itu. "Kenapa ibu tak terima, kalau tidak kakak dapat duduk luar negara..." Hahaha, manalah dia dapat faham tempoh-tempoh sukar yang sedang saya hadapi ketika itu. Kalau saya pergi, maknanya saya kena tinggalkan mereka di Malaysia. Biasiswa yang diberi pasti tidak cukup. Siapa pula yang akan jaga mereka yang masih kecil di negara orang kalau saya berdegil mahu membawa? Meskipun saya menangis tatkala menolak tawaran tersebut tetapi saya tidak pernah kesal sebab memilih anak-anak saya! Malahan saya terlupa bahawa saya pernah mendapat tawaran itu kalau saya tidak terjumpa surat yang sudah berlipat dalam kotak lama!

Ia mengajar saya bahawa bukan semua yang kita mahu kita akan dapat.

Sebelas tahun menjadi guru, saya sempat menyarung seragam polis selama dua tahun. Saya menjadi inspector cadet. Satu lagi impian dalam kad sulit saya termakbul walaupun hanya sebagai inspektor “palsu”!

Satu hari, saya keputusan wang. Saya tidak sempat balik untuk menyalin pakaian seragam itu. Lama saya menunggu dalam kereta sehingga saya yakin tiada lagi orang beratur di mesin ATM. Cepat-cepat saya keluar, tetapi malangnya ketika sedang dalam proses transaksi, ada seorang pak cik berdiri di belakang saya.

“Puan bertugas di balai mana?” tanyanya ramah.

Err...saya terkedu. Tersengih-sengih saya di situ, agaknya dia tidak nampak lambang kadet polis di atas bahu saya. Yang dia nampak hanyalah “paku” tanda saya seorang inspektor!

Dia juga tidak perasan barangkali, mana ada inspektor polis yang sependek saya!

Selepas kejadian itu, jika saya berpakaian seragam, saya akan membawa sesalinan pakaian biasa dalam kereta. Selesai waktu sekolah, saya akan menyalin baju.

Sebelas tahun juga saya menjadi pensyarah. Satu lagi cita-cita di kad sulit saya tercapai meskipun asalnya saya mahu menjadi pensyarah universiti.

Alhamdulillah.

Saya tidak menyesal menjadi seorang guru walaupun ketika mengambil diploma pendidikan, saya melaluinya dengan tangisan.

Bukan semua yang saya mahu saya akan dapat. Tetapi Allah telah memakbulkan banyak keinginan saya. Berbanding dengan apa yang saya tidak dapat, banyak yang saya telah dapat.

Menjadi guru telah memanusiakan saya. Meskipun sekarang, akan masuk dua belas tahun saya bergelar pensyarah, tempoh sebelas tahun menjadi guru lebih kuat pengaruhnya terhadap kehidupan.

Saya masih menggelar diri saya guru. Jika ada yang bertanya, saya mengatakan saya seorang guru. Di kampung, tidak ramai yang tahu saya sudah lama tidak mengajar di sekolah. Saudara mara saya juga tidak tahu. Walaupun kerjaya itu telah bercalar teruk, saya tahu masih ada yang benar-benar berusaha mengesat cermin yang sudah dikotori sebilangan kecil guru.

Hanya Allah yang tahu mengapa saya ditakdirkan menjadi guru. Saya mengajar orang, dan saya mengajar diri saya sendiri.

Saya telah mengalami perasaan terharu tatkala pelajar-pelajar membawa anak isteri mencari saya dan mengatakan, “nak, inilah cikgu papa. Cikgu yang sangat sabar melayan kenakalan papa”. Saya tersedu ketika seorang lelaki berkupiah berdiri di hadapan saya dan menyebut “jika Allah tidak menghantar ibu ke sekolah saya, sudah tentu saya seorang yang tidak berguna ketika ini...”

Atau ketika membaca mesej, “saya hanya mahu khabarkan berita gembira sahaja kepada ibu pada tahun 2013 ini. Berita satu, saya telah beli rumah, insya-Allah 2015 siap!” Ini mesej terbaharu hari ini daripada wanita berusia 33 tahun yang hatinya sangat tabah membesarkan tiga anak. Pelajar ini yang saya selalu ceritakan dalam tulisan saya. Cikgu Rafidah!

Mereka selamanya menjadi ilham dan penguat semangat saya tatkala berhadapan dengan hujan panas kehidupan. Mereka selalu membuatkan saya tersenyum sendirian.

Menjadi guru melatih kita untuk mengawal diri sebab kita akan menjadi contoh kepada pelajar. Bukan mudah untuk mengawal diri. Sesekali kita terbabas juga.

Saya tiada pengalaman mengajar sekolah rendah. Hanya setahun setengah berpengalaman mengajar kelas menengah rendah, selebihnya kelas tingkatan empat, lima dan enam.

Tentu menarik sekali jika berpeluang mengajar pelajar-pelajar cilik di sekolah rendah. Inilah yang bakal dilalui guru-guru pelatih saya. Alangkah besarnya pahala jika kita berjaya memanusiakan budak-budak itu. Allah biasanya akan membalas dengan menjadikan anak-anak kita juga cemerlang akademik dan sahsiahnya.

Apabila anak kecewa sebab apa yang tertulis dalam permohonan berbeza dengan pengajian yang dia ikuti, ingin sekali saya katakan apa yang saya sebut di awal tulisan.

Dia mahu mengambil pengajian kesusasteraan Inggeris dan ada subjek terjemahan. Dalam permohonan, ada tertulis begitu. Tetapi entah di mana silapnya, universiti sudah menutup pengajian tersebut dan dia ditawarkan pengajian bahasa Inggeris yang subjeknya termasuklah linguistik.

Terus terang, waktu mengambil ijazah pertama, saya juga alergik dengan subjek linguistik.

Saya memahami kekecewaannya ketika terpaksa mengambil subjek itu. Saya pernah mengalaminya dahulu.

Terlalu kecewa sehingga tiada satu pun yang masuk ke dalam kepala walaupun pensyarah sangat terkenal di universiti. Tentu mereka yang sezaman dengan saya mengenali pensyarah berdarah raja yang ada hari-harinya akan mengenakan jubah besar berwarna merah dan mendakwa dia adalah pewaris sebenar istana Perak.

Semalam lewat pagi dia menghantar mesej. Sudah pasti dia sangat terkilan. Lagi beberapa point sahaja sudah boleh mencapai 4.0. Kebetulan dia stres sebab ada program besar di kampus dan dia ditugaskan di bahagian protokol. Beberapa waktu ini dia memang meminta bantuan saya menunjuk ajar hal-hal berkaitan pengurusan protokol dan pengacaraan itu.

Kepada saya, gred itu sangat cemerlang dalam keadaan dia yang terpaksa mengambil subjek yang bukan kegemarannya.

Si bongsu pun begitu. Permohonan penerapan untuk jurusan grafiknya gagal. Dia kena merayu. Atau memohon ke universiti tempatan lain dalam pengajian bahasa Inggeris. Saya belum mampu menghantarnya ke Jepun untuk jurusan manga yang disukainya. Sama seperti saya belum mampu menghantar kakaknya ke luar negara dalam jurusan yang dia suka.

Masih jauh perjalanan mereka. Ada yang akan mereka dapat dan ada yang akan tidak. Mereka dilahirkan sebagai anak saya yang tidak punya wang berjuta, kecuali jika saya memilih untuk menetap di Indonesia...hehe

Kalau apa yang kita mahu itu kita pasti dapat, tidak adalah perjuangan dalam hidup. Hanya Allah yang tahu sebabnya kita dapat dan sebabnya kita gagal dapat.

Saya pernah bercerita kepada mak, bagaimana Allah mengatur kehidupan saya. Dengan menjadi pendidik, saya punya waktu membesarkan anak-anak sendirian. Saya angkut anak-anak kecil saya ke mana sahaja saya pergi. Alangkah anehnya, saya tiada simpanan dan gaji kecil, tetapi waktu itu sentiasa ada jalan terbentang di hadapan kami.

Dia sahaja yang tahu apa yang terbaik buat kita. Nampak menyeksakan tetapi kemudian jika kita perhatikan dalam-dalam, ada sesuatu yang manis buat kita.

Cemerlang di dunia ini tiada masalah. Tetapi kena juga cemerlang dalam persediaan menuju akhirat.

Kaya di dunia pun tiada masalah. Dengan kekayaan, kita mampu membantu orang susah. Tetapi kita kena pastikan kita tidak muflis di akhirat.

Hidup kena gembira. Lihat hujan dan panas dengan hati riang. Sambil mensyukuri masih lagi kita hidup hari ini.

Waktu saya keluh kesah untuk dibiopsi itu, saya masih ingat seseorang yang berpakaian sut pesakit. Lelaki Cina itu sedang menghirup sup. Di kepala, leher dan bahunya ada besi pendukung. Mungkin dia kemalangan. Tetapi dia masih menikmati sup walaupun orang memandangnya seperti makhluk asing yang baru mendarat dari Planet Musytari.

Sudah tentu sukar untuk dia baring, berpaling, hatta mahu ke tandas. Tapi dia menerimanya dengan baik. Kalau tidak, sudah tentu dia tidak turun ke kafe sendirian dengan besi-besi yang berpalang-palang itu demi menghirup keenakan sup!

Nah, apalah sangat dengan urat saraf saya yang sengal waktu bangun tidur pagi tadi. Dah tua pun, masih salah tidur lagi!

Kalau ada uban pun jangan mengeluh. Uban tanda kedewasaan. Maknanya kena gandakan ibadah. Kena tinggalkan semua yang melalaikan perlahan-lahan (Rafidah...ayuh kita bertanding siapa yang cepat putih rambutnya. Mahu?)

Hehehe...ingat selalu, bukan semua yang kita mahu kita dapat. Rambut kita tidak akan hitam selama-lamanya walaupun itu yang kita mahu!