Total Pageviews

Sunday, February 24, 2013

Kata Yang Diam



Selepas Isyak, saya tidur dan tidur. Bangun hanya untuk menutup suis pendingin hawa yang ternyata dinginnya makin menegangkan urat-urat di bahagian kiri belakang.

Hujung minggu langit mendung. Bunyi guruh sayup menjauh. Anak mengirim pesanan, “ada program Beauty With Brains hari ini, kalau larat dan ada lapang, ibu datanglah”. Itulah antara program yang kami buatkan skrip pengacaraan majlisnya bersama-sama.

Boleh datang, tapi tidak boleh berlama-lama duduk di kerusi. Ketegangan urat belakang sangat menyakitkan.

Memikirkan bahawa hujung minggu yang akan datang, saya akan berada di Program Jejak Budaya Kampung Lonek selama tiga hari, hati berbelah bahagi.

Akhirnya selepas Zohor, saya memandu ke kampus. Memang ramai gadis dan wanita rupawan di majlis itu. Ada forum juga. Memang cantik tetapi ada sesuatu yang kurang pada jelitawan-jelitawan itu. Kemahiran komunikasi!

"Banyaknya plastik," kata saya. Anak saya faham. "Mahu buat sajak, ibu?" tanyanya.

Mujur juga pergi, anak itu perlukan bantuan saya untuk bercakap dengan seseorang.

Rakannya sebaya si adik. Dua puluh satu tahun usianya. Budak itu ada masalah kesihatan yang berkait dengan penyakit saya. Masalahnya dia tidak mahu melakukan operasi seperti saranan doktor.

Bagaimana mahu bercakap dengannya jika baru seayat dua matanya sudah berair?

Kasihan betul.

Saya mahu beritahunya apa yang menjadi azimat saya. Kata-kata yang disebut mak setiap kali saya menghadapi kesukaran. Kata mak, “jangan takut dengan apa yang ada di dunia. Di akhirat nanti, macam-macam lagi yang ada!”

Kata-kata azimat itu akan saya perturunkan kepada anak-anak saya. Untuk peringatan, saya lekatkan stiker “awas, akhirat di hadapan!” di cermin belakang kereta.

Saya faham ketakutan-ketakutan yang bersarang di hatinya. Dia masih muda. Episod hidupnya belum banyak bersiri.

Tetapi penyakit zaman moden ini tidak mengenal usia muda atau tua. Mereka (?) sangat berdaya maju dan proaktif.

Oleh sebab itu, kita pun kena menentang habis-habisan juga.

Saya juga mahu katakan kepada gadis itu, jika dia risau, maknya lagi risau. Alasan bahawa “takut mak susah hati” sudah tidak relevan lagi.

Mak akan susah hati juga walaupun hanya benda-benda kecil yang menimpa kita. Contohnya, waktu anak SMS beritahu kafe tutup dan dia sangat lapar. Mahu pesan piza, kena kumpulkan enam orang yang lapar sebab harganya seratus lebih. Saya yang tidak lena tidur. Tidak berhenti berdoa dan akhirnya turut tidak makan malam juga.

Memang perangai mak-mak begitu. Saya mahu tanya dia, ada atau tidak mak yang melompat-lompat gembira jika dapat tahu anaknya demam? Atau ada atau tidak mak yang buat kenduri kesyukuran selepas dapat khabar anaknya mengidap kanser?

Kalau ada mak yang begitu, memang dia bakal menghuni Wad dua belas Hospital Universiti Malaya, atau ke kampus Hospital Tanjung Rambutan.

Saya mahu beritahunya macam-macam. Tetapi semua itu hanya menjadi keinginan-keinginan.

Dia bertanya saya, “mak cik sihat?”

Saya senyum. “Sihat. Sakit-sakit itu biasa. Badan sudah lama. Tapi kita kena yakin dengan keajaiban yang Allah beri. Doa mak, doa suami, doa orang-orang yang mengasihi kita; semuanya Allah dengar. Itu sebab mak cik yang sepatutnya menjalani kimo, tiba-tiba diberi keajaiban dan hanya perlu radio...”

Tatkala melihat air matanya bergenang, saya mengalih cerita.

Air matanya...

Itulah sebabnya saya tidak jadi mahu memberitahunya macam-macam.

“Dia menangis, ibu...” anak mengirim mesej setelah saya tiba di rumah.

Alamak, apa yang telah saya buat! Rasanya, saya sudah berlakon dengan ceria walaupun terpaksa menahan sakit sepanjang perbualan kami itu.

Malam itu, saya tidak lena. Gelisah betul. Pertama, belakang sangat sakit. Kedua, saya mengenang gadis itu.

Entah zikir yang ke berapa ratus, saya lena sekejap. Tetapi belum apa-apa, loceng pagi berbunyi. Suara anak jiran yang menangis kuat, menendang cuping.

Pagi ini saya berdoa, semoga Allah melapangkan jalan untuknya.