Total Pageviews

Tuesday, February 26, 2013

Alpa dan Lupa



Kadang-kadang teguran kecil mengejutkan kealpaan.

Saya bukanlah kuat akar ke-Melayuannya. Tetapi sebagai anak kampung, ciri-ciri kekampungan menjadi kebanggaan saya. Justeru, saya bangga sekali tatkala menyebut bahawa saya anak kampung yang membesar dengan udara bersih dan hidup serba payah.

Namun, ada waktunya kita alpa.

Bukan salah tuntutan keadaan, tetapi kealpaan itu berpunca daripada diri sendiri.

Dua belas tahun genap, saya memang tinggal sepenuhnya di kampung. Gembira mengharungi lumpur bendang dan sesekali kulit tertusuk duri saat bersembunyi di belukar.

Waktu berkubang bersama-sama kerbau di bendang, agaknya kerbau itu pun mendoakan agar kanak-kanak yang berlarian ke sana ke mari di medan peperangan lumpur itu segera membesar agar tidak lagi mengganggu ketenteraman waktu rehatnya daripada tugas membajak.

Waktu beredar. Saya ke asrama selama tujuh tahun. Kemudian ke universiti. Langsung menetap di kota metropolitan.

Saya sibuk dengan kerja, anak-anak dan bergelut dengan seribu macam masalah hidup.

Cuba membesar dan mendidik anak sebaiknya, saya alpa dengan sesuatu.

*********************************************************************************************************

Ketika sedang menunggu bihun sup saya siap, saya melihat ke dinding.

Lukisannya amat menarik. Sepasang merpati sedang bertenggek dalam sangkar terbuka. Tidak boleh juga dikatakan sangkar sebab tiada jejaring apa pun. Hanya bekas bulat yang disangkutkan di tepi jendela.

Anehnya, jendela itu terbuka sedikit. Cukup untuk merpati sepasang ini untuk terbang ke langit luas. Ada jalan kecil yang bersih dari arah luar tingkap. Ada juga rumput-rumput dan pokok-pokok di sekitar. Langitnya nampak jelas. Kepulan awan bertaburan di dada langit.

Ada semacam tafsiran yang bermain dalam benak. Merpati sepasang itu dan jendela yang sedikit terbuka!

Restoran itu menyediakan pelantar untuk makan. Sebuah keluarga dengan anak seorang, perempuan, sekitar usia empat tahun sedang bersila mengadap hidangan yang diletakkan atas meja bonsai, yakni meja yang kakinya amat pendek.

Saya duduk di meja biasa.

Melihat anak kecil bertudung itu sangat membahagiakan. Dia sedang terkial-kial menyuap dengan sudu dan garfu.

Sudu dan garfu!

*********************************************************************************************************

Kejadian itu berlaku lama dahulu. Anak-anak saya berada di awal persekolahan rendah.

“Opah, mereka anak orang kaya ya?” tulus pertanyaan itu. Pertanyaan daripada seorang anak kecil. Anak saudara saya dari JB yang belum pun masuk tadika. Barangkali dia menganggap bahawa orang kaya memang caranya begitu.

Saya berhenti menyuap. Kealpaan saya sedang dikejutkan!

Kami sedang makan dengan adat kampungan, yakni duduk bersila atas tikar mengkuang. Semua sedang menjamu selera dengan menggunakan tangan, kecuali dua orang. Anak-anak saya!

Anak-anak saya bersila di lantai, makan nasi dengan sudu dan garfu. Makan tanpa kekok.

Pertanyaan kecil itu memberikan perubahan besar kepada saya selepas itu.

Barulah saya sedar, selama sembilan tahun usia si sulung, dan tujuh tahun usia si adik; saya tidak sedar bahawa selama tempoh itulah mereka makan menggunakan sudu dan garfu.

Selesai masak, saya akan meletakkan makanan di meja dengan sudu dan garfu di kanan kiri pinggan. Begitulah yang berlaku bertahun-tahun.

Mereka tidak menggunakan tangan untuk makan. Bukan adat Melayu yang saya fikirkan, tetapi adat kampungan yang telah saya lupakan.

Tidak menjadi dosa jika makan dengan sudu, garfu, chopstik atau apa sahaja. Tetapi oleh sebab saya orang kampung dan terdidik dengan kebiasaan masyarakat di mana saya membesar; sepatutnya saya tidak jadi demikian.

Bagaimana saya boleh terlupa? Saya pun kehabisan akal untuk mencari puncanya.

Pertanyaan daripada si kecil itu membuatkan saya kembali ke akar.

Saya mula membiasakan anak-anak itu makan dengan tangan. Oleh sebab sifat kanak-kanak yang cepat belajar, mereka dapat melakukannya dengan baik.

Tiada salahnya makan dengan sudu dan garfu, tetapi saya anak kampung. Meskipun anak-anak saya lahir di kota metropolitan, tetapi akarnya tetap di kampung.

Kalaulah bukan pertanyaan anak kecil itu, mungkin sukar untuk saya mengubah kebiasaan anak-anak jika mereka telah meningkat remaja.

*********************************************************************************************************

Mata saya masih menatap merpati putih sepasang yang sedang bertenggek di sangkar terbuka. Mereka selesa di situ.

Sangkar bulat dan jendela yang daunnya terbuka.

Mereka boleh sahaja membebaskan diri.

Sangkar terbuka.

Jendela juga terbuka.

Di luar, alam sedang mendepangkan tangan.

Tapi kenapa...?