Total Pageviews

Sunday, January 6, 2013

Nyah Si "Mesin Pengimbas"

Nyah dan saya

Dia berbintang Capricon. Kambing gurun yang bertanduk kukuh dan kelihatan sangat gagah.

Hari ini ulang tahunnya yang ke-50. Lazimnya, kami akan mencatat di telefon bimbit dan tepat jam dua belas tengah malam, mesej ucap selamat akan dilayangkan.

Oleh sebab kondisi saya yang masih tidak bermaya biarpun cuti dua hari hujung minggu, saya mengirim mesej lebih awal. Saya bimbang tertidur tepat jam dua belas itu.

Dia membalas, “terima kasih banyak-banyak hahaha... Yang orang pertama. Tadi Nyah cakap dalam hati. Siapa sayang Nyah, orang itu akan ucap dahulu. Yang rupa-rupanya. Yang rehat banyak-banyak. Dah lama tak kerja, perlahan-lahanlah...”

“Nyah” dan Yang” itu panggilan kekeluargaan masyarakat Perak. Dalam keluarga saya, “aku”, “kau”, “hang” dan seumpama dengannya adalah sesuatu yang forbidden dan kasar. Makanya, setua mana pun, anda hanya akan mendengar kami enam beradik menyebut nama kekeluargaan antara satu sama lain tatkala berkomunikasi.

Dia pulang ke kampung sekejap, membelikan hadiah telefon bimbit baharu untuk mak sempena ulang tahunnya itu. Mak yang lahirkan anak, maka setiap kali ulang tahun anak, siapa yang berhak terima hadiah? Mak dan ayah! Bukan sebaliknya!

Patutlah setiap kali saya telefon, ada nada dering tetapi selalu terputus. Mak masih kekok menggunakan telefon baharu “skrin sentuh” yang diinginkannya. Telefon yang boleh simpan lagu nasyid Iwan, ayat Quran, lagu R. Azmi dan M. Daud Kilau!

Lucu tatkala mengenangkan rupa mak yang asyik terkejut ketika kami memberitahu umur kami setiap kali tibanya tahun baharu. Mak tidak pernah sedar bahawa anak mak sudah tua-tua belaka!

Memang resam semua mak begitu. Kalau namanya seorang ibu, memang masih fikir anak-anaknya bayi yang terkurung dalam tubuh orang dewasa!

Dulu saya tidak tahu. Sekarang, apabila menjadi ibu kepada gadis berusia dua puluh tiga dan dua puluh satu, barulah saya tahu. Itu pun selepas menerima teguran daripada suami dan anak-anak. Tetapi kesedaran saya tidak lama sebab selepas itu saya kembali lupa!

Buah hati mak yang masih hidup, yakni kakak sulung saya, tahun ini usianya lima puluh sembilan. Yang paling bongsu pula sudah masuk tiga puluh sembilan. Cucu sulung mak barangkali tiga puluh enam. Cicit sulung pula sudah naik darjah lima atau enam. Emak sendiri sudah tujuh puluh lima. Saat seperti itu mak selalu mengenang gemulah ayah. Ayah pergi pada usia Nabi. Ayah paling ingat tahun lahir anak-anak termasuk separuh lagi yang telah meninggal dunia. Ayah mencatat dengan kapur di dinding rumah. Saya masih ingat tulisan jawi ayah yang cantik itu.

Januari ini ramai yang menyambut ulangtahun dalam keluarga. Suaminya Nyah, sehari selepas tarikh ulang tahun Nyah. Abangcho (abang sulung = abang besar = abang besor = abangcho mengikut loghat Perak), dan mak juga. Tapi mak tidak aci. Tarikh hari jadinya ada dua. Dalam surat lahir lain, dalam kad pengenalan lain. Itu pun entah betul atau tidak tarikhnya. Ayah juga begitu. Ayah lahir lebih awal tetapi beberapa tahun kemudian barulah datuk mendaftarkan kelahiran ayah.

Membaca novel penulis Korea, Kyung-Sook Shin yang bertajuk “Please Look After Mom”, saya dapati fenomena ini berlaku di mana-mana negara.

Kyung menulis, “everyone did that , back in the day. Because many children didn't survive their first three months, people raised them for a few years before making it official...”

Nyah adalah kakak saya. Tabiatnya yang melindungi saya telah saya tulis di bawah tajuk “Kakak Itu Payung”. Dia memang kambing gurun yang gagah. Jenis yang berani menyatakan isi hati. Seperti mak, kakak awet muda. Kulitnya mengikut kulit ayah, gelap sedikit daripada saya. Pendeknya? Macam saya juga. Sejak kecil, tubuhnya berisi. Ada dua tahi lalat di dagu. Manis! Bayi dan kanak-kanak selalu kalah dengannya. Dia sangat disukai!

Wajahnya iras saya. Suami saya selalu berlucu, “bahaya betul. Takut tersilap isteri!”.

Dia aneh.

Membawanya berjalan sangat menyiksakan. Sebab dia sangat cerewet. Kata mak, “sangat melampau”. Saya pernah membawanya bercuti. Dia lebih rela makan biskut daripada makan di kedai yang apabila “diimbas” tidak memenuhi kriteria “kebersihan” kedai atau pelayannya! Saya tidak boleh tulis apa yang menyebabkan “gagal” sebab kadang-kadang isunya sangat peribadi. Tapi betul juga, kalau sudah tahu berniaga makanan, bau badan, kebersihan kuku, hidung, mata, gigi kenalah jaga. Saya makan sahaja kalau sudah lapar, meskipun selepas itu terpaksa mencari sireh dan daun pokok beka bagi menghilangkan loya.

Membawanya ke Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor, dia sanggup sehari suntuk tidak makan sebab tiba-tiba ternampak “sesuatu”. Akhirnya saya pun sama walaupun dia mahu menemani makan. Kami hanya menogok air mineral sampai kembung!

Saya juga cerewet apabila tiba bab kebersihan. Sebab saya bukan jenis berkongsi minum daripada botol atau makan daripada sudu yang sama. Dalam beg saya memang ada sudu yang saya bawa ke mana-mana. Nampaknya ada pewaris. Anak bongsu saya begitu!

Tetapi saya tidaklah secerewet kakak! Mahu tidur di katil hotel pun dia periksa dahulu. Dia akan melapik kain untuk alas tidur (saya pun sama) dan tidak akan berselimut dengan selimut hotel itu.

Dia memang mesin pengimbas yang cemerlang. Sangat cemerlang sampai kadang-kadang meletihkan!

Kalau pergi kenduri, abangcho akan selalu kata, “kalau kita lihat Nyah makan, maknanya perut kita semua akan selamat...”

Dia anak yang mengambil berat. Apa sahaja yang mak mahu makan, dia akan belikan meskipun harganya RM1000 sebiji!

“Kasihan mak. Dulu, mak sanggup berlapar sebab mahu beri kita makan. Mak padamkan segala keinginan sebab kita,” katanya.

Walaupun dia seorang yang berani berterus terang, dia jugalah manusia yang paling memahami. Pelajarannya tidak setinggi saya, tetapi anak-anak saya lebih selesa bercerita dengannya sebab ilmu kaunselingnya lebih menjadi!

Selalu dia mengulang-ulang, “sesiapa yang menyakiti hati adik Nyah, maka dia sedang menyakiti hati Nyah!”

Maka dia akan berdepan dengan orang itu tidak kira siapa pun!

Termasuk seorang tua yang gemar sekali mengusik untuk melarikan saya waktu kecil dahulu. Dengan suaranya yang kuat, wajah garang, dia akan berdiri seperti perisai di hadapan saya yang ketakutan. Tangannya didepangkan. Saat itu dia seperti lupa tubuhnya hanyalah separas lutut orang tua bertubuh agam yang sangat ditakuti kanak-kanak seantero kampung. Kanak-kanak lain sudah cabut lari, menyorok di mana sahaja yang termampu, hanya dia yang berani berhadapan dengan orang tua yang mahu “mencuri” adiknya yang lembik macam obor-obor itu.

Saya hanya mahu dia tahu, di mana juga saya berada, imejnya yang seperti payung itu sentiasa ada di atas kepala saya. Melindungi saya daripada terik matahari dan lebatnya hujan.

Saya beruntung menjadi adiknya.

Saya tidak kisah walaupun dia sangat cerewet dengan kebersihan makanan.

Yang aneh itulah menjadikannya seorang yang unik.

Selamat ulang tahun kelahiran, Nyah.

Semoga Allah memberkati perjalanan hidup Nyah, suami dan anak tunggalnya sampai ke syurga.