Total Pageviews

Saturday, January 26, 2013

Mak-mak



“Tak apalah. Sabar itu sudah menjadi makanan ruji saya. Air mata menjadi minuman saya. Tetapi saya ada suplimen penguat diri. Doa dan rasa syukur!”

Saya melihat dia. Dia persis muka cermin yang melantun imejan yang sama.

Pasrah dan sabar itu berbeda. Pasrah bukan sabar. Pasrah bermakna "lantaklah, malas mahu fikir!". Sabar itu kematangan dalam meyakini ada hikmah dalam setiap kejadian.

Malam tadi lewat sekali saya lena. Saya habiskan novel Please Look After Mom tulisan novelis Korea, Kyung-Sook-Shin.

You will never think of your mother the same way after you read this book...tercatat demikian di kulit belakang buku itu.

Benarlah sebab selepas itu saya duduk berfikir tentang mak. Sejauh mana saya kenal mak? Atau apakah anak-anak yang pernah menginap di kantung saya itu benar-benar mengenal siapa ibunya?

Seperti saya pernah bertanya juga, sejauh mana saya kenal Allah dan Rasulallah SAW tatkala saya begitu sensitif jika Tuhan dan Nabi saya dipermainkan?

Ada kaitan dialog mula-mula itu dengan ayat-ayat di bawahnya.

Kita selalu mengakui cinta kita kepada mak.

Mak dan ayah yang kita hidup dengan mereka begitu lama, rupa-rupanya barangkali hanya separuh sahaja yang kita tahu tentang mereka.

Tahu atau tidak kita ini, derita yang bersarang dalam rongga hati mak?

Sedar atau tidak bahawa makanan ruji mak bukan nasi tetapi sabar? Minuman harian mak bukan kopi tetapi air mata?

Jika mampu mak menakung air matanya yang luruh dari langit derita, entah sebesar kolam mana.

Mak yang semakin hari semakin menuju penghujung jalan, dia yang dengan cepatnya berlari tatkala mendengar kita jatuh tersungkur dengan luka di tangan dan kaki.

Dalam kudratnya yang telah dipindahkan separuh kepada kita, mak masih begitu biar pun kita telah cukup dewasa.

Ranjau yang menanti di setiap lorong perjalanan hidup mak ada saatnya membuatkan mak kalah. Tetapi jangan melihat kalah itu sebagai lemah. Mak tidak pernah lemah di hadapan kita. Dia adalah pelakon yang hebat!

“Mak tak susah hati. Tak sedih. Mak sihat. Mak baru lepas makan. Mak OK. Mak tak risau sikit pun...”

Itu dialog rutin dalam drama hidup yang dibintangi mak. Mak gelak-gelak seolah-olah mak memang super. Mak cergas ke sana sini seolah-olah tiada penyakit apa pun yang bersarang dalam darah dagingnya.

Sehingga semua orang lupa bahawa mak masih bertarung dengan maut.

Hakikatnya mak tidaklah sebagus itu.

Sebab mak manusia biasa. Mak hanya jadi kuat untuk jaga hati anak. Mak sembunyikan lemah sebab mahu jadi teladan. Supaya dia tetap akan dikenang sebagai mak yang hebat, yang putih dan tiada hitam. Walaupun mak juga punya sisi hitam, tetapi mak hanya mahu diingati dengan sisi yang putih bersih.

Mak senyum sahaja walaupun mak dibenci dan dihina anak kandungnya sendiri. Mak masih boleh ketawa dan menyanyi-nyanyi. Sukma yang mendengar berasa riang.

“Hidup mesti diteruskan!” kata mak selalu.

Tetapi hari-hari hati mak terluka.

Kadang-kadang kita tak nampak yang dekat tetapi selalu menghargai yang jauh. Kita tak pernah ucap terima kasih kepada mak tetapi beria-ia terbongkok-bongkok berterima kasih kepada orang lain yang hanya sekali dua memberi kepada kita. Kita jaja cerita kebaikan orang itu dan kita langsung melupakan apa yang selalu siap siaga untuk kita.

Dalam hati, kita mengharapkan agar mak orang itu menjadi mak kita. Sebab kita melihat mak orang itu maha sempurna.

Kita mendakwa mak tidak memahami gelora jiwa. Mak membuatkan hidup kita menjadi tidak tentu hala. Mak merosakkan apa yang kita miliki. Mak tidak adil. Mak kuat berleter. Mak garang. Mak mengjengkelkan. Mak sangat memalukan. Mak itu dan ini.

Sehingga tiada satu pun yang baiknya mak itu. Nihil.

Barangkali betul mak tidak sebaik mak idaman kita. Tetapi perasan atau tidak, tiada mak yang sanggup menukar anaknya walau seburuk mana pun dengan anak orang lain yang jauh lebih comel.

Kalau ada, itu perempuan yang kurang siuman.

Masih ingat kata-kata mak saya, “kalau anak orang itu putih melepak macam kapas pun, mak tak akan tukarkan dengan anak mak yang hitam itu...”

Setelah mak hilang seperti Park So-nyo dalam novel itu, barulah semua orang tahu mengenang mak.

Rupa-rupanya semua mak kengerian berhadapan dengan masa.

Masa akan perlahan-lahan mengambil anak-anak daripada mak.

Yang berbaki kepadanya hanyalah kenangan.

Dengan sesekali dia menyelak album lama melihat wajah anak-anak yang riang.

Sesekali juga dia membuka kotak berhabuk dan mencium baju dan topi kecil yang masih kekal dalam simpanan.

Baju-baju itu menjadi sapu tangan untuk mengelap air mata yang tumpah. Mak tidak pernah dahaga sebab itulah minuman mak setiap hari sejak anak itu lahir sehingga saat mak menutup matanya.

Untuk kita yang masih ada mak, jangan keterlaluan menghina mak.

Suatu saat nanti, ketika tiada lagi mak di sisi, kita akan mencari-cari bayangan mak.

Bayangkan juga jika anak yang kita kandung sembilan bulan itu, anak yang kita pertaruhkan nyawa kita buatnya; suatu waktu nanti menghina kita.

Apakah rasanya?

Saat itu, kita akan menjadi seperti mak-mak di luar sana.

Sabar menjadi sepinggan nasi dan air mata menjadi segelas minuman.

Biarlah sepinggan sabar dan segelas air mata itu kita bayar dengan memohon keampunan.

Jika pernah kita berbuat dosa terhadap mak, kembalilah ke sisinya.

Seburuk-buruk perangai kita, mak tidak pernah meninggalkan kita.

Seluka-luka hati mak, keampunan dengan cepat akan membuatkan mak kembali muda.

Percayalah, mak tidak perlukan segunung intan untuk membeli hatinya.

Sebab seperti yang selalu saya katakan, marah mak hanya di mulut dan tak pernah sampai ke hati!