Total Pageviews

Friday, January 25, 2013

Kampung Bayi



Kalau melihat bayi, kita akan cenderung untuk mengagah. Ketawa bayi tanpa gigi itu nampak comel.

Ironinya, kalau orang tua tiada gigi yang ketawa, nampak lucu!

Dulu-dulu, saya akan memegang bayi itu dan menyebut, “ala tayang-tayang, tusuk-tusuk, tanja-tanja...” Budak itu pun ketawa, mungkin kalau otak kecilnya boleh berfikir, dia pun lucu juga. Sudah tua pun pelat lagi mak cik ini!

Saya bermaksud begini, “ala sayang-sayang, busuk-busuk, manja-manja...”

Ada orang menegur, jangan bercakap pelat dengan kanak-kanak, supaya nanti kanak-kanak itu dapat berbahasa dengan baik.

Alhamdulillah, anak-anak saya waktu kecil, tiada yang pelat. Kalau ada pun, hanya kekreatifan mereka mengubah perkataan.

Tok Wan menjadi Tok An. Swimming pool menjadi smiming pool. Suratkhabar lama menjadi suratkama-kama. Skirt menjadi suket.

Mereka tahu sebutan itu salah sebab semua sepupu menyebut Tok Wan. Tapi mereka suka menyebut lain sedikit.

Mula-mula membawa mereka duduk di kampung, saya masih ingat ketakutan mereka kepada semua benda. Si kakak menjerit-jerit apabila masuk ke dalam sungai.

“Ada ulat gigit kaki kakak!” dia menangis ketakutan dengan dua kakinya melingkar di kaki saya dan tangannya kuat memeluk leher.

Bukan ulat, tapi pasir sungai yang halus itu masuk ke celah-celah jari kakinya.

Nampak ayam jantan, mereka menangis juga. Malam-malam, mata dipejam rapat-rapat sebab sunyi di kampung membawa bunyi cengkerik dan unggas yang riuh rendah di luar.

Tetapi sekarang, hati saya tersenyum.

Anak-anak saya sudah dewasa. Kampung bagi mereka, lambang kehidupan manis. Mujur saya sempat membawa mereka duduk di kampung meskipun hanya selama tiga tahun.

Saya mahu mereka melihat kampung dari sudut pandangan berbeza.

Seperti bayi yang nampak comel meskipun tanpa giginya.

Biar pun kampung seperti sifatnya kampung, tiada kemudahan seperti yang ada di bandar; ia tetap memberikan kita udara comel.

Ya, kampung saya sekarang tidak seperti apa yang saya diami empat puluh tujuh tahun lalu. Waktu itu kampung saya ibarat gadis sunti yang suci.

Sungainya, jeram, hutan belukar, sawah padi, parit jernih, pokok buah-buahan, denai kecil, lampu gasolin, surat khabar jawi, motor vespa, songkok senget ayah dengan kemeja sterika arang yang berat, jambul seketul di hujung dahi jejaka kacak, sanggul tinggi cucur keria padanan kebaya bandung, sanggul tinggi aniki grondo padanan baju payung dan baju kota baru, kaca mata hitam emak yang seperti bentuk topeng batman, radiogram, wayang pacak, tv hitam putih, ais kepal...

Nostalgia itu, nostalgia itu memanggil saya.

Dan saya melihat seorang anak kecil dalam kerusi rotan comel yang diikat di palang basikal, gembira menghirup udara petang bersama si ayah tinggi tegap yang sentiasa kemas dandanan dan pakaiannya.

Itulah saya!

Anak yang rindu. Dengan bayangan ayah yang Mac ini sudah tiga belas tahun kembali ke sisi-Nya.

Bagi saya, ke mana pun pernah dan akan saya jelajahi, kampung tetap bayi comel biar pun tidak secomel dahulu. Itulah yang saya mahu sentiasa ada di hati anak-anak.

Perubahan perkara normal. Kampung dan nilai-nilai di dalamnya sudah sedikit berubah.

Mahu mengagah bayi pun sudah lain kaedahnya.

Kita mesti menggunakan bahasa yang betul.

Contohnya, “saya akan memuji kamu sebagai bayi yang comel. Tetapi kamu mesti membesar dengan sihat dan kuat sebab kamu adalah generasi yang bakal memimpin negara kita kelak...”

Bayi itu pasti ketawa juga.

Tidak percaya?

Cubalah!

Sebab dia peduli apa dengan bahasa kita itu. Yang penting ialah mimik muka kita dan dua bibir yang bergerak-gerak.

Macam badut!