Total Pageviews

Thursday, December 6, 2012

Murai Also Can Remember!



Hari ini cerah. Luar biasa sedikit untuk cuaca Disember.

Cuaca hati saya juga cerah.

Nampaknya usaha saya dan anak menggantungkan kain cadar Garfield (kain itu saya borong banyak untuk cadar, sarung bantal, selimut dan langsir bilik anak-anak waktu mereka masih kecil), telah berjaya memperdayakan si burung kecil.

Cadar itu kami gantung di gril pintu hadapan. Tujuannya supaya burung kecil ekor panjang itu tidak lagi menjadikan kisi itu sebagai tandas.

“Nanti dia akan keliru. Cari-cari tandasnya yang hilang. Otak burung kecil. Nanti pasti dia lupa,” saya optimis.

Saya tidak bercadang mahu pasang lama-lama. Aneh dilihat orang yang lalu-lalang. Entah ritual apa sampai menggantung cadar Gerfield itu di kisi pintu.

Setelah seminggu, saya mengagak burung kecil itu telah melupakan tandasnya dan mencari tandas lain. Maka saya memasukkan cadar ke dalam mesin basuh.

Wah, pagi ini saya dengar dia bernyanyi riang. Berbual-bual lagi bersahut-sahutan atas dahan pokok bunga di rumah si Tuti. Tuti pula sudah pulang ke kampungnya di Segamat, dan lima hari saya akan kesunyian tanpa suara anak-anaknya yang riang bergurauan.

“Tahu apa nama burung ekor panjang itu? Murai belukar atau kadang-kadang dipanggil murai tahi,” sampuk suami yang sedang sibuk mencatat idea modulnya di kertas. Dia bercuti hari ini, khas untuk anak saya yang “kurang” kasih sayang Daddynya (suami terkandas di Cameron Highland selama tiga hari ekoran tanah runtuh dan bos yang terpaksa mengambilnya di sana).

Hah! Patutlah berlambak tahinya di kisi pintu. Saya pernah bertanya Tuti, burung kecil itu seekor sahaja, tetapi mengapa tahinya begitu banyak. Setiap pagi, saya kena mencuci najisnya yang banyak itu. Langsung saya teringat iklan di TV (pemuda dilimpahi najis burung yang banyak dan saya sangat geli melihat iklan tersebut).

Nampaknya si burung itu sudah ternampak tandasnya semula. Itu sebab dia sangat riang. Aduh, barangkali rutin setiap pagi saya akan berulang lagi.

Kejiranan yang sunyi ini bagus juga jika ada suara burung yang bernyanyi. Tidak apalah jika terpaksa terbongkok pagi-pagi mencuci najisnya. Balasannya ialah suara murai yang entah bersembang apa. Burung kecil itu sangat riang. Tiada masalah, terbang dan melompat-lompat di pagar.

Sekejap lagi dia akan kesukaan. Kami akan ke Pelabuhan Barat mengambil kereta anak bongsu di pejabat Daddynya. Si burung kecil bebas sebab tiada orang yang akan keluar masuk dan mengganggu ketenteramannya untuk “melepas”.

Selamat tinggal si burung kecil.

Dia mengajar saya sesuatu.

Elephant Can Remember.

Begitu juga dengan makhluk yang kecil comel itu!

No comments: