Total Pageviews

Saturday, December 1, 2012

Tanya Yang Tertunda



Jam tiga sembilan minit pagi, ada mesej.

“Tak boleh tidur”.

Anak ini mengadu masih batuk-batukan. Perutnya sudah sakit akibat batuk. Bagaimana mahu hilang batuk itu jika ubat batuk dia takut untuk minum?

Nampaknya dia memberi isyarat supaya ibunya datang lagi. Rasanya belum sampai seminggu saya datang membawanya ke doktor.

Kasihan betul. Akhirnya saya memandu juga ke kampus. “Sekejap saja, ibu kurang sedap badan,” kata saya.

Pergi terus mencari ubat-ubatan, membeli keperluan-keperluannya, saya menemuinya di kampus.

Dia duduk di bendul tempat duduk pemandu. Meletakkan kepalanya di pangkuan saya. Kaki saya kedua-dua belah berada di luar kereta. Aduh, nampaknya seperti biasa, pertemuan itu kelihatannya bakal jadi panjang dan hampir Maghrib barangkali baru dapat pulang ke rumah.

Gerimis turun. Kemudian perlahan-lahan melebat.

“Masuk ke kereta, nanti kakak kehujanan. Ibu orang kampung, tidak takut dengan hujan. Kami orang-orang yang dilahirkan dengan kekuatan jasmani dan rohani,” kata saya.

Dia pun masuk. Duduk di sebelah pemandu. Kemudian, saya teringat. Baik saya membeli beberapa botol air jenama Anugerah dan sedikit lagi bekalan makanan untuknya.

Saya terus menghidupkan enjin dan bergerak ke pasar raya.

Sampai di parkir tempat biasa saya meletakkan kereta, saya bingung. Dia sedang bicara dengan opahnya di telefon. Usai bicara, saya bertanya, “mana kasut ibu, kak?”

Hehe...barangkali kasut jenama buaya saya itu sedang tersusun cantik di laman kampus tempat saya berbual dengannya sebelum gerimis.

Kami kelucuan. Mujur ada kasut lain. Masalahnya kasut itu sudah lama tidak dipakai sebab tumitnya tinggi. Saya sedang melazimi diri untuk tidak lagi menyarung kasut bertumit tinggi demi kesihatan otot kaki yang sudah empat puluh tujuh tahun menampung berat badan saya.

Pakai jugalah. Dan si anak memimpin saya. Dia memegang tangan kiri, sementara tangan saya yang lagi satu memegang sekaki payung sebagai tongkat.

Pengajarannya ialah, sediakan sandal atau kasut lain saat mahu berpergian...dan pakai kasut tatkala memandu!

Macam biasa juga, tatkala mahu pulang, jalan macet. Kenderaan seperti seekor kura-kura yang cedera. Ada yang berani mati, mencelah tiba-tiba.

Jam delapan setengah malam baru tiba di rumah. Tidak mengapalah, yang penting anak itu tidak berasa terabai dan punya wang cukup buat biaya pengajian.

Sambil mendengar siaran IKIM, saya terkenang.

Ada seorang bapa yang sudah enam puluh. Empat puluh tahun daripada kehidupan enam puluhnya itu “dikorbankan” untuk anak-anak, sehingga dia tiada satu apa pun harta dunia yang boleh menjadi jaminan usia tua. Bapa ini cuma punya sebuah kereta kecil yang barangkali tiada nilai langsung dalam pasaran. Dia memberikan pendidikan terbaik, kereta, rumah, tanah, menguruskan majlis walimah, malahan segala-galanya buat anak-anak. Apakah dia tidak mahu melakukan sesuatu untuk dirinya sendiri? Orang banyak melihatnya dengan mata sebelah sebab dia tidak “kelihatan” mewah.

Melihatnya, sebagai manusia biasa, saya ada sedikit kesal. Kadangkala berubah menjadi secubit amarah.

Lalu saya bertanya, mengapa?

Ada pula seorang bapa yang tidak punya kepedulian. Jawatannya hebat, orang-orang di sisinya juga hebat-hebat. Orang banyak melihat dengan mata besar sebab “kehebatan”, malahan “kemewahannya”. Anaknya tujuh, barangkali sudah mahu masuk delapan; daripada beberapa ibu yang ditinggalkan saat jemu menjenguk. Anak-anaknya hanya dikenal melalui nama, tidak lebih daripada itu. Anak-anak daripada beberapa ibu ini tidak saling mengenal. Bapanya juga barangkali tidak ingat tarikh lahir si anak. Tidak arif juga apakah kegemaran-kegemaran anak, juga kebencian-kebencian mereka. Wangnya? Dihabiskan berjalan ke serata dunia mencari akar diri, sedangkan akar yang berada dekat, tidak dicari. Dihabiskan dengan membeli kereta besar jenama luar negara. Tapi katanya, “anakku, kalaulah kalian tahu ayah sangat mengasihimu...ayah sedang berjuang untuk memartabatkan bangsa Melayu, supaya tanah ini tetap milik Melayu!”

Percayakah? Barangkali benar, tetapi ada kalangan anaknya yang memaling muka dan senyum, sebab masih mahu bersantun.

Retorika palsu persis yang selalu dijerit-pekik dalam sebuah dewan perhimpunan saban tahun.

Saya ingin berkata, “tanah ini milik Allah!” Tapi saya tidak mampu ikut campur dalam kemelut rasa si anak. Dia entiti yang berbeza. Saya tidak memahami jerit sukma anak itu sebab saya anak yang punya bapa.

Melihat lelaki itu, sebagai manusia biasa, saya dijentik kesal. Kadangkala berubah menjadi secubit amarah.

Lalu saya kembali bertanya, mengapa?

Saya tidak punya jawapan. Seperti saya tidak boleh menjawab, mengapa saya meninggalkan kasut sepasang di lantai aspal.

Meskipun ditinggalkan dalam hujan, kebasahan dan tidak mungkin ketemu lagi, saya masih mengenal kasut sepasang itu. Masih tahu harganya, jenama, warna, reka bentuk, saiz dan dari kedai yang mana.

Apa pun, kita selalu bertanya, mengapa? Mengapa?

Itu menunjukkan kelemahan kita sebagai manusia. Nah, berhenti bertanya. Biarkan luncai terjun dengan labu-labunya. Luncai moden yang siap siaga dengan ilmu bernafas di dasar sungai.

Hanya Dia yang tahu. Dia yang memiliki jiwa!

No comments: